Pengalaman masuk hutan, berkawan dengan budak-budak orang asli dan termasuk juga kawan-kawan askar dan kaki pancing banyak benda yang dipelajari.
1. Lumut taik kera
Kalau kita berjalan di waktu malam, terutama di hutan padat dekat dengan air terjun atau sungai (macam di Janda Baik, Pahang), bila kita jalan dalam gelap, kita akan nampak ada benda-benda bercahaya warna hijau.
Benda yang bercahaya itu ialah lumut taik kera, bila siang tak nampak apa-apa, bila malam dia akan keluarkan cahaya walaupun dengan sikit bantuan cahaya dari bulan. Apa yang menariknya, lumut ini hanya tumbuh di denai (laluan binatang atau orang), jadi kalau sesat boleh ikut laluan ini di waktu malam, insya Allah tak langgar pokok.
2. Ular tedung
Kalau terserempak dengan ular masa dalam hutan, jangan buat gerakan mengejut tapi stay still dan undur balik. Ular tedung tidak mematuk bila kepalanya tengah kembang penuh, sebaliknya akan mematuk bila kepala dia kembang separuh.
Oleh itu, kita acah-acah bagi ular itu kembang penuh dengan ranting kayu dan kita pun berundur perlahan-lahan. [belajar dari orang asli]
3. Kera, lutong dan spesis yang sama
Spesis kera takkan lari bila kita libas dengan sebatang ranting kayu, in fact dia lebih lincah dari gerakan ranting kita.
Untuk halau kera, patahkan pokok renek dengan daun dan ranting yang mengembang dan hayunkan kat kera itu. Baru dia akan lari (rasionalnya, ranting dan daun yang kembang itu nampak lagi besar dari sebatang ranting). [belajar dari askar]
4. Harimau
kalau memancing dalam hutan, sedang dalam hutan itu bunyi penuh dengan unggas atau serangga, tiba-tiba suasana hutan jadi sunyi sepi, biasanya ada haiwan menghendap terutamanya harimau belang, harimau akar atau beruang.
Selepas hutan jadi 'diam', kemudian disusuli dengan bau hamis, confirm harimau. Apa lagi, bagi letup satu mercun bolalah. [belajar dari orang asli]
5. Beruang madu
Hutan paya di Malaysia banyak beruang madu (bersaiz kecil, takat pinggang dengan dada warna oren), kalau terserempak, kita yang perlu menjerit dan buat seperti nak kejar, automatik beruang itu akan lari. [belajar dari orang asli]
6. Kepala air
Kalau berkhemah di tepi sungai, jangan buat khemah di tepi air tapi buat dibahagian atau kawasan yang pokok-pokoknya besar.
Tandakan satu batu yang besar, kalau tengah malam batu itu hilang, maknanya air tengah naiklah tu. [belajar dengan kaki pancing]
7. Tanda-tanda kepala air
Kalau hujan di hulu, biasanya akan ada kepala air (air naik dalam perbezaan paras 5 kaki tak sampai 10 minit).
Tanda-tanda lain yang kita perlu tengok ialah kehadiran buih-buih putih di tempat tak berbuih (kalau tempat air jatuh for sure ada buih), maksudnya tempat air mengalir biasa, tiba-tiba ada buih-buih halus timbul. Itu tandanya arus bawah lagi laju dari arus atas. Selepas itu, akan ada daun basah hanyut. Kemudian barulah ada perubahan warna air sungai dari jernih ke warna oren, coklat dan sebagainya.
Biasanya perubahan ini sekejap saja, dalam 5-6 minit sebelum arus besar datang (kepala air). Kalau kepala air datang, bunyi air lebih kuat dari biasa, dari kejauhan sudah dengar.
8. Hendak masak air
Jangan ambil air di tepi sungai tapi ambil air di tengah sungai atau tempat yang mengalir deras.
Rasionalnya, tikus, rusa, kancil, babi dan lain-lain kencing di tepi sungai dan arus akan tolak air kencing itu ke tebing. Jadi, ambil air yang tengah-tengah. [belajar dengan askar]
9. Binatang besar
Kera atau monyet akan lari dan buat bising bila ada bahaya seperti harimau, gajah, badak, seladang dan seumpamanya. Kalau dari jauh dengar bunyi kera buat bising tentu ada binatang besar tengah lalu. [belajar dgn orang asli]
10. Makan makanan yang dimasak
Semasa di hutan, kita mesti makan sampai habis dan hanyutkan atau tanam lebihan makanan sebab bau makanan tadi (ikan bakar dan lain-lain) akan menarik perhatian beruang, kera, gajah untuk datang bertandang. [belajar denngan kaki pancing]
11. Buat semua perkara sebelum jam 5.00 petang
Biasanya, bila kita di hutan, kita akan selesaikan semua urusan (seperti masak, mandi, membasuh dan lain-lain) sebelum jam 5.00 petang. Sebab, dalam pukul 5.00 lebih, hutan sudah gelap disebabkan oleh kanopi pokok dan kecondongan matahari. [belajar dari pengalaman]
12. Bila hutan sepi ada yang tak kena
Hutan yang bising dengan bunyi unggas lebih baik di waktu malam daripada hutan yang sunyi sepi. Bila hutan sepi, mesti ada sesuatu yang tak kena. [orang asli]
Tips memasang khemah dalam hutan
Hendak memasang khemah di dalam hutan perlukan pengetahuan yang betul tidak boleh pasang khemah sebarangan. Berikut tip yang perlu diketahui jika mahu memasang khemah di dalam hutan.
1. Cari kanopi yang masih hijau
Bila sudah tentukan hendak memasang khemah, dongak ke atas cari pokok muda dan kanopi (rimbunan daun) yang masih hijau. Jadi, risiko kena hempap ranting dahan bila angin kuat rendah.
2. Ketinggian dari paras air
Bila sudah tentukan mana bahagian yang lapang nak dibuat khemah, tentukan ketinggian khemah sekurang-kurangnya 4 kaki dari aras air sungai.
Kalau landai jangan buat khemah di situ, biasanya kawasan landai akan ada banyak pokok-pokok rendah dan renek macam pokok senduduk dan lain-lain itu tandanya air selalu naik kat kawasan itu. Cari kawasan yang pokoknya besar-besar.
3. Tentukan laluan/denai dalam radius 20 meter dari khemah
Jangan buat khemah di dalam laluan denai, sebab laluan denai bukan untuk manusia sahaja, ianya adalah laluan binatang juga. Nanti seladang tumpang tidur, naya pula.
4. Bersihkan tapak perkhemahan dari daun dan pokok renek
Potong saja pokok-pokok kecil jangan bimbang nanti akan tumbuh semula.
Pakai saja ranting-ranting pokok dijadikan penyapu. Sapu sampai nampak tanah dan tiada daun, jadi, risiko terkena sengat lipan, kala jengking berkurangan.
5. Tabur karbaid di sekeliling khemah
Dah ready, baru tabur karbaid warna kuning itu di sekeliling tapak khemah.
6. Khemah dipasang menghadap unggun api
Kalau pakai khemah jenis igloo atau T shape, pasang khemah secara menghadap atau berhadapan dengan unggun api di tengah-tengah.
7. Sediakan beberapa kayu panjang dalam nyalaan api
Dalam nyalaan unggun api itu, standby dengan beberapa batang kayu panjang. Kalau boleh, sesuai dengan jumlah orang yang pergi camping tersebut.
Ini supaya apabila ada bahaya, perimeter diceroboh, apa lagi capailah kayu yang ada api sebagai senjata. Parang atau pisau binatang tak takut tapi api confirm binatang lari.
8. Kena buat perimeter
Kalau ikut pengalaman, kita memang kena buat perimeter, risau kalau-kalau binatang datang (beruang terutamanya) datang ke khemah sebab bau masakan. Boleh buat pagar dengan tali tangsi disambing dengan loceng, terlanggar tali itu, loceng akan bunyi.
Itulah ilmu berkaitan hutan yang sangat bermanfaat bagi mereka yang berminat dengan aktiviti mencabar di dalam hutan.