Hukum yang dijalankan manusia di dunia ini adalah berdasarkan pada sesuatu yang zahir, berdasarkan apa yang didengar dan disaksikan oleh mata. Akan tetapi di akhirat kelak, yang akan dinilai adalah apa yang terbetik di dalam hati.
Kita memohon kepada Allah agar Dia membersihkan hati kita semua.
Jika hati kita baik, maka kita optimis akan mendapatkan kebaikan walaupun anggota badan yang lain tidak baik pada pandangan zahirnya.
Jadi, yang akan dinilai di akhirat kelak adalah apa yang ada di dalam hati. Jika Allah s.w.t di dalam Kitab-Nya dan Rasulullah s.a.w di dalam sunahnya menegaskan agar memperbaiki niat (dalam hati), maka yang harus dilakukan manusia adalah agar dia memperbaiki niatnya, menghias hatinya dan melihat keraguan yang ada di dalamnya, lalu menghilangkannya menuju keyakinan.
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesungguhnya Allah s.w.t tidak memandang pada rupa paras dan hartamu, melainkan yang dipandang-Nya ialah hati dan amal perbuatanmu." (Hadis Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)Ramai manusia sekarang dalam ghaflah (lalai). Mereka bersusah payah dan berhabis-habisan untuk menghias rupa paras dan tubuh badan tetapi tidak berusaha hias hati.
Padahal sakit rohani yang paling bahaya ialah penyakit hati, contohnya takabur.
Antara penyakit lain hati adalah memandang kepada wanita yang bukan muhrim dengan pandangan berahi, nafsu dan syahwat.
Kesan terbesar penyakit hati ialah tangan menjadi berat untuk menadah memohon doa kepada Allah.
Zikrullah (dengan mengingati Allah) merupakan 'syifak lilqulub' - penawar bagi hati.
Allah s.w.t tidak letak dua hati dalam satu jasad manusia.
Sebaliknya satu hati ini hanyalah untuk Ar-Rahmaan yakni Allah bukan syaitan atau makhluk selain Allah yang hakikatnya mereka sendiri memerlukan Allah taala.
Hati mukmin tempat 'tajalliyat' - mengenal Allah taala.
Sebagaimana malaikat rahmat tidak masuk dalam rumah yang ada gambar maka begitu juga rahmat Allah tidak masuk dalam hati orang yang ada 'gambaran' lain selain Allah seperti gambaran wanita-wanita yang bukan muhrim dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w berjaya mentarbiyah hati-hati para sahabat sehingga Allah s.w.t mengiktiraf mereka menerusi firman-Nya dalam Surah Al-Bayyinah ayat 8 :
"Allah redha terhadap mereka dan merekapun redha kepada-Nya."Jika ada kotoran dalam bekas yang kita nak masukkan susu mesti kita cuci dulu, begitu juga Allah yang mahu kita cuci hati kita daripada selain-Nya, maka barulah Dia akan masukkan mahabbah-Nya (cinta-Nya) bila sudah dicuci.
Bila hati sudah dipenuhi cinta Allah maka dia akan sentiasa mencari-cari ruang untuk beribadah kepada Allah. Bila hati sudah cinta, maka masa bermunajat kepada Allah dirasa sekejap seperti yang berlaku kepada Nabi s.a.w, sehingga bengkak-bengkak tumit kaki baginda yang mulia itu kerana lamanya berdiri beribadah mengerjakan solat malam.
Suatu manifestasi hamba yang bersyukur kepada Rabbnya.
Allahu a'lam.