Pada zaman Imam An-Nawawi rahmatullah 'alaih, terdapat seorang pemuda yang ingin mencari seorang ulama untuk menimba ilmu agama. Lalu, pemuda tersebut akhirnya menemui Imam Nawawi dan meminta izin untuk belajar daripada Imam Nawawi.
Maka, Imam Nawawi menerima pemuda itu sebagai anak muridnya dan setiap hari, pemuda tersebut belajar dengannya. Sepanjang hidupnya bersama Imam Nawawi, Imam Nawawi tidak pernah bertanya mengenai diri pemuda itu.
Pada suatu hari, pemuda tersebut bertekad untuk menceritakan tentang hal dirinya pada Imam Nawawi kerana sudah lama pemuda tersebut belajar dengan Imam Nawawi tetapi gurunya tidak tahu mengenai diri pemuda tersebut.
Maka ditanya pemuda tersebut, "Wahai guruku, kenapa engkau tidak pernah bertanya mengenai perihal diriku sepanjang pembelajaran aku bersama kau selama ini?"
Lalu dijawab oleh Imam Nawawi, "Aku hanya gurumu dan tugasku adalah untuk mengajar ilmu kepada mu. Aku tidak perlu tahu mengenai dirimu, wahai pemuda."
Pemuda itu menjawab, "Aku tetap mahu menceritakan mengenai diri aku dan sejarah hidup ku kepada kamu, wahai Imam Nawawi dan aku ingin bertanya sesuatu."
Maka, Imam Nawawi bersetuju dengannya dan pemuda itu bercerita mengenai sejarah kehidupannya,
"Sebelum aku datang berjumpa kamu, aku merupakan pencuri kain kafan di kampung ku. Setiap kali, ada kematian, itulah punca rezeki aku dan aku pasti akan mencurinya selepas selesai pengebumian mayat. Selepas itu, aku akn menjual semula kain kafan tersebut untuk diguna semula. Itulah kehidupanku. Namun begitu, aku sudahpun bertaubat kepada Allah dan aku berjanji untuk mencari ulama sebagai satu cara menebus kesalahanku pada masa lalu."
"Soalan yang aku ingin tanya kepadamu, wahai guruku ialah sepanjang pekerjaanku sebaga pencuri kain kafan, aku terjumpa satu perkara pelik kepada mayat-mayat yang aku jumpa. Daripada 10 mayat yang aku jumpa, 8 mayat berpaling dari arah kiblat dan 2 mayat berkedudukan ke arah kiblat. Mengapakah 8 mayat itu berpaling daripada arah kiblat?"
Setelai Imam Nawawi mendengar persoalan yang ditujukan oleh pemuda tersebut, beliau menjawab;
“Sesungguhnya, mayat yang kau jumpa berpaling dari arah kiblat merupakan manusia yang mencampuri urusan pentadbiran Allah ketika hidupnya.”Pemuda itu bertanya lagi, "Apakah yang dimaksudkan dengan mencampuri urusan pentadbiran Allah?"
Imam Nawawi berkata;
“Yang dimaksudkan ialah manusia yang merasakan dirinya ialah punca rezeki kehidupannya dan manusia yang lupa untuk bersyukur dengan kuasa yang Allah berikan kepadanya.”Berdasarkan cerita tersebut, ia menyentuh isu ber-ilah-kan manusia ataupun diri sendiri mungkin secara tanpa sedar disebabkan kejahilan tentang hakikat iman kepada Allah.
Mungkin ramai yang tidak jelas mengenai maksud tersebut.
Contoh realiti, manusia yang mempertikaikan rezeki yang mereka perolehi dengan mengatakan usaha merekalah punca rezeki bukan Allah. Menyebabkan mereka mempersoalkan atau tidak mahu mengeluarkan sebahagian dari rezeki/harta yang diperolehi tersebut menerusi zakat yang telah diwajibkan oleh Allah untuk golongan asnaf tertentu yang berhak ke atas bahagian harta tersebut.
Contoh lain, seperti ayat berikut ini :
"..memanglah rezeki Allah yang bagi TAPI kalau aku tak kerja sapa yang nak bagi anak bini aku makan?"
Orang yang bercakap seperti di atas tanpa sedar telah mensyirikkan atau menyekutukan Allah dengan kerja dalam hal rezeki untuk anak isterinya. Padahal soal rezeki adalah hak Allah. Hanya Allah yang berkuasa memberi rezeki bukan makhluk. Allah berkuasa beri rezeki dengan asbab ataupun tanpa ada apa-apa asbab sekalipun.
Jika dia betul-betul beriman dan faham hakikat pemberi rezeki adalah Allah, dia akan berkata begini :
"..soal rezeki adalah urusan Allah dan kita perlu bekerja untuk memperolehi rezeki yang ditetapkan Allah untuk kita."
Contoh ayat lain orang yang mencampuri urusan pentadbiran Allah :
"..saya solat kat rumah dengan anak isteri. Kalau saya solat di masjid, sapa nak jaga anak isteri saya?"
Orang yang imannya benar akan meyakini bahawa Allah yang menjaga mereka. Allah s.w.t lah yang pelihara mereka dan beri rezeki pada mereka. Bukan suami, bapa atau sebagainya.
Ini contoh yang dimaksudkan oleh Imam Nawawi. Orang lebih mementingkan atau MEMBESARKAN kerjaya dan kehidupan manusia daripada Allah. Walaupun telah mendengar laungan azan menyebut Allahu Akbar! Allahu Akbar! (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Tetapi tetap tidak mengendahkan seruan membesarkan Allah tersebut.
- Gaya mati kita bergantung kepada gaya hidup kita -
Rumusannya, manusia yang bersikap begitu adalah manusia yang tidak mempunyai sifat pergantungan dirinya kepada Allah dalam kehidupannya. Mereka terlupa atau tidak sedar bahawa pada hakikatnya semua yang mereka miliki dan apa sahaja yang berlaku di dalam kehidupan mereka adalah berlaku atas kehendak dan keizinan dari Allah s.w.t jua.
Maka, kita jangan lupa kepada Allah s.w.t tidak kira waktu senang atau waktu susah.
Sedarlah bahawa tiada ILAH yang berkuasa mendatangkan manfaat mahupun mudarat di sekalian alam (bukan sahaja di dunia) kecuali ALLAH.
Semoga Allah memberi hidayah-Nya kepada kita semua. Amin.
Allahu a'lam.