Tiada ribut dan angin, tiba-tiba sikapnya berubah. Daripada seorang periang terus menjadi pendiam. Apa yang cuba dilakukannya hanyalah ingin menemani kamu, mengajak menikmati makan malam di gerai murah. Lebih gemar mendiamkan diri dan tidak lagi bergayut panjang melalui telefon bimbit.
Persoalannya, adakah si dia poket sudah kering, tetapi malu untuk memberitahu? atau apa yang harus kamu lakukan sekiranya dia langsung tidak mahu berterus-terang?
Bagi lelaki, antara perkara paling sensitif dalam hidup mereka adalah apabila disentuh soal kewangan. Jadi, mereka tidak akan sesekali memberitahu kepada kamu tentang masalah berkaitan wang ringgit. Sebagai pasangannya, kamu seharusnya memahami situasi yang dihadapi dan jangan menambahkan lagi kekusutan fikirannya.
Berikut 10 tanda suami berhadapan dengan masalah kewangan :
1. Menghabiskan masa di rumah
Setiap kali tibanya hujung minggu, suami lebih gemar menghabiskan masa bersama ahli keluarganya di rumah daripada keluar bersama kawan-kawannya. Daripada keluar tidak berduit, lebih baik menghabiskan waktu untuk tidur dan bersantai di rumah. Keputusan yang dibuatnya itu atas alasan ingin bebas daripada beban kewangan.
2. Menonton movie online di rumah
Ketika poket kering, menonton movie online atau bermain video game di rumah lebih memberi keuntungan daripada keluar bersiar-siar atau menonton wayang. Alasannya, hanya perlu menonton beberapa movie sambil menikmati makanan ringan, ringkas dan praktis.
3. Makan di gerai murah
Sebelum ini, suami sering mengajak kamu menikmati hidangan di restoran-restoran eksklusif dan mewah. Tetapi kali ini, dia mengambil keputusan membawa kamu ke gerai murah sahaja.
4. Pulang awal
Selepas menjemput kamu dari pejabat, suami terus membawa kamu pulang ke rumah. Padahal, kebiasaannya dia selalu membawa kamu keluar makan bersama. Alasannya, memang dia berhajat untuk membawa kamu keluar bersama tetapi disebabkan badan terasa lemah, apa kata kita pulang rumah saja.
5. Tiada hadiah ulang tahun
Selama ini, suami tidak pernah ketinggalan memberi hadiah menjelang ulang tahun kamu berdua atau menjelang hari-hari istimewa. Tetapi kali ini, dia hanya memberikan ucapan tanpa pemberian sebarang hadiah. Alasannya dia belum menemui sebarang hadiah yang sesuai buat kamu.
6. Hindari ajakan ke pusat beli-belah
Suami kelihatan tidak tenang apabila kamu mengajaknya ke pusat beli-belah. Mungkin dia takut apabila kamu memintanya membelikan sesuatu untuk kamu. Alasannya, lain kali sahajalah kita pergi.
7. Destinasi legenda jadi pilihan
Tidak seperti biasa, dia mengajak kamu mengunjungi ke tempat-tempat peninggalan sejarah lampau seperti muzium ataupun zoo. Alasannya, ia merupakan destinasi yang aman dan tenang untuk kita berdua.
8. Hanya menemani
“Maaf, saya sudahpun makan di rumah, saya temankan kamu makan saja ya?” Itulah jawapannya ketika kamu mengajaknya makan di luar. Dengan kata ‘menemani’, ia bererti tiada keperluan untuknya membelanja kamu.
9. Whatsapp sahaja
Kebiasaannya, setiap saat dan minit suami rajin menelefon kamu, tetapi kali ini dia lebih gemar menghantar mesej menerusi khidmat pesanan ringkas atau Whatsapp. Alasannya, apa kata kita berWhatsapp sahaja, ia lebih murah dan berbaloi.
10. Kereta kerap rosak
Tanpa kamu bertanya, suami menceritakan perihal berkaitan keretanya yang selalu meragam. Selalunya elok sahaja tetapi sejak kebelakangan ini enjin kerap meragam!
Begitulah alasannya. Suami mungkin sukar berterus-terang kepada kamu tentang masalah kewangannya dan dia mengharapkan kamu faham keadaan itu melalui perubahan tingkah lakunya mahupun daripada bahasa percakapannya.