Ramai kalangan kita yang mampu menjadi usahawan namun untuk menjadi usahawan yang berjaya itu yang tidak mudah. Pelbagai liku dalam perniagaan terpaksa dihadapi contohnya, risiko kerugian, persaingan, kebolehjualan produk dan paling teruk ialah risiko bankrup.
Berikut 5 penyebab utama yang selalu gagalkan 95% usahawan :
1. Wang syarikat jadi wang peribadi
Fahaman yang mengatakan bahawa wang syarikat adalah wang peribadi adalah salah sama sekali. Tindakan ini ibarat seperti anda mencuri wang syarikat sendiri. Syarikat dan individu merupakan dua entiti yang berbeza. Oleh itu, tindakan menggunakan wang syarikat untuk kepentingan peribadi mampu melumpuhkan perniagaan anda.
Terdapat sesetengah usahawan berpendapat bahawa wang yang masuk ke dalam akaun syarikat adalah keuntungan dan sebagai pemilik syarikat, mereka bebas membelanjakan wang tersebut untuk apa sahaja termasuk untuk perkara yang tidak menguntungkan perniagaan.
Kesan daripada tindakan ini dapat dilihat apabila di saat syarikat memerlukan bajet tambahan dan ketika itu duit yang ada tidak mencukupi kerana sudah habis dibelanjakan untuk kepentingan peribadi.
2. Mulakan perniagaan dengan wang pinjaman
Memang terdapat banyak jalan pintas untuk mencari modal bagi memulakan perniagaan. Ini termasuklah pinjaman daripada bank dan sebagainya. Seeloknya, elakkan daripada memulakan perniagaan anda dengan menggunakan wang pinjaman kerana hal ini akan meletakkan anda di dalam situasi tertekan.
Fokus anda untuk mengembangkan perniagaan akan terganggu kerana sibuk memikirkan tentang beban hutang yang tidak tertanggung kerana hasil keuntungan tidak seberapa. Pinjaman bank seeloknya digunakan apabila perniagaan sudah stabil, bukan ketika anda hendak memulakan perniagaan itu sendiri.
3. Gagal merancang
Mereka yang gagal merancang sebenarnya merancang untuk gagal. Mungkin ada yang sudah merancang, tetapi rancangan yang dibuat tidak jelas dan spesifik.
Sebagai contoh; Encik A mensasarkan untuk mencapai keuntungan di hujung tahun. Namun, dapat dilihat beliau tidak meletakkan sasaran keuntungan yang ingin dicapai, malah cara untuk merealisasikan sasarannya juga tidak diperincikan dengan betul. Sasarannya hanya terawang-awang di atas kepala dan tidak dikaji, ditapis dan dipersembahkan dahulu di atas kertas.
4. Kurang ilmu perniagaan
Para usahawan seharusnya rajin untuk menambah ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa agar tidak mudah ditipu. Semakin kurang ilmu seseorang itu, semakin mudah untuk dia diperdaya. Ramai para usahawan yang sanggup mengeluarkan modal berpuluh ribu ringgit tetapi perniagaannya tetap tidak berjaya.
Dalam berniaga, terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira seperti strategi pemasaran, pemilihan lokasi dan sebagainya. Ilmu perniagaan ini bukan sahaja boleh didapati dengan menghadiri seminar atau kursus tetapi boleh juga diperolehi daripada buku-buku perniagaan yang ditulis oleh pakar-pakar industri.
5. Sikap negatif usahawan itu sendiri
Terdapat segelintir usahawan yang mempunyai sikap negatif seperti tamak, hasad dengki dan sebagainya. Harus diingat, apabila tamak dan hasad dengki mula menguasai diri, anda mula tersasar jauh dari landasan yang benar. Perkara ini bukan sahaja mampu menggoyahkan perniagaan anda, malah boleh menjadikan perniagaan anda bertemu dengan kegagalan.
Ada juga para usahawan yang mengambil mudah aspek persaingan dan terlalu yakin dengan kelebihan diri sendiri. Mereka bukan sahaja tidak berdaya saing malah tidak berusaha dalam meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan mereka.