11 September 2001 - 2016...15 tahun telah berlalu.
Teringat masa keluar di Bangladesh pada bulan Februari 2004. Pada hari-hari akhir semasa di markas Kakrail, Dhaka, seorang tanggungjawab markas datang kepada kami jemaah Malaysia dan beri targhib dalam bahasa Inggeris.
Di akhir targhibnya beliau cerita tentang pengalamannya keluar di New York, USA pada masa Twin Tower dilanggar kapal terbang.
Pada masa itu beliau merupakan amir kepada jemaah yang terdiri dari 7 orang. Mereka buat usaha di sebuah masjid yang berdekatan dengan Twin Tower. Pada malam itu beliau telah mendapat mimpi yang meminta jemaah ini kena pindah ke tempat lain seawal pagi esoknya.
Jadi, keesokkan harinya, awal-awal pagi jemaah ini berkemas dan pindah dengan menyewa teksi. Pemandu teksi itu tak habis-habis cerita tentang kehebatan dan kemahsyuran Twin Tower tersebut.
Amir Bangladesh ini kata; "Ini bangunan sekarang ada dan bila-bila boleh tak ada. Allah kuasa, makhluk tak ada kuasa."
Selang beberapa minit, tepat seperti yang dikata, dua biji kapal terbang dah langgar Twin Tower itu menyebabkan ianya roboh. Maka dipendekkan cerita semua ahli jemaah kena tangkap dengan pihak berkuasa yang lengkap bersenjata.
Mereka dibawa ke satu tempat dan disoal siasat bertubi-tubi. Sebelum itu amir jemaah sudah pesan, apapun yang mereka tanya, kita cakap 6 perkara saja. Jangan cakap perkara-perkara lain. Akhirnya yang tukang soal itu pun jadi bosan.
Tak lama kemudian, seorang ketua pegawai yang senior datang untuk soal siasat. Masa dia tengah bercakap dengan amir jemaah, si amir ini menyeluk poketnya untuk ambil sesuatu. Apalagi, pihak berkuasa yang ramai-ramai itu angkat senjata mereka dan hala kepada jemaah.
Ketua pegawai itu suruh orang-orangnya check poket amir itu dan sebatang kayu sepanjang 1½ jengkal dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam bekas plastik.
Setelah pemeriksaan dibuat, ketua pegawai itu tanya, ini kayu apa? Jadi, amir jemaah jawab itu KAYU SUGI yang kami guna untuk berus gigi mengikut sunah Nabi kami.
Lepas itu, ketua pegawai tersebut berkata kepada orang-orangnya, mereka ini nak berus gigi pun guna kayu, takkanlah nak buat rancangan runtuhkan Twin Tower. Tak masuk akal langsung. Satu surat dikeluarkan mengatakan jemaah itu bebas dan diberi kebenaran duduk kat US sebulan lagi.
Kesimpulannya
1. Bantuan Allah dalam kerja dakwah.
2. Dalam sunnah ada kejayaan dunia dan akhirat.
3. Kerja dakwah ini kerja kita (umat Muhammad s.a.w), jadi kita buat saja. Nak ubah keadaan, itu hak Allah. Tak payah kita nak mengamuk dan tunjuk perasaan sana sini.
Sekarang ini Allah sudah mudahkan jemaah-jemaah dari Malaysia untuk ke USA. Kalau kita bersyukur, Allah akan tambah nikmat. Jadi, jangan tunggu-tunggu lagi keluarlah di jalan Allah dengan diri dan harta sendiri. Sesungguhnya Allah sudah beli diri dan harta orang mukmin dengan syurga! (Al-Quran : At-Taubah - 111).
Rujukan Perkataan :
Targhib - Mendorong atau memotivasi diri untuk tingkatkan usaha dan tambah korban dalam usaha agama/dakwah kerana Allah taala.
Enam Sifat - Rumusan daripada sifat para sahabat Nabi s.a.w secara umumnya mereka memiliki 6 sifat yang unggul :
1. Hakikat kalimah La Ilahaillallah Muhammadurrasulullah.
2. Hakikat Solat yang Khuyuk dan Khuduq.
3. Hakikat Ilmu dan Zikir.
4. Hakikat Ikram muslimin.
5. Hakikat Ikhlas Niat (betulkan niat kerana Allah semata).
6. Hakikat Khuruj Fi Sabilillah.