Kebahagiaan hidup berumah tangga bukan hanya melalui kehidupan bersama pasangan semata, malah juga dengan keluarga baru anda. Lebih-lebih lagi mentua. Jangan tersilap langkah dalam mengambil hati mentua.
Berikut 8 tip bagaimana memikat hati mentua dan keluarga baru anda :
1. First Impression
Ingat bagaimana kali pertama anda bertemu dengan bakal suami dulu? Macam itu jugalah persiapan untuk bertemu dengan bakal mentua. Fizikal harus kemas dan sopan.
Tidak semestinya perlu lengkap berbaju kurung atau dengan gaya kasual sekalipun, asalkan kemas dan tidak mendedahkan bahagian tubuh seksi sudah memadai.
2. Tutur
Seharusnya anda merendahkan suara dan ringan mulut. Orang tua kalau kena cara dilayan mereka akan cepat dekat dengan diri kita. Komunikasi berkesan tentu sahaja mampu membuatkan hubungan anda dengan mentua lebih cepat erat.
Tawan hati mereka dengan tutur kata yang lembut dan penting untuk anda sentiasa mendengar apa pun cerita yang mereka ingin kongsikan. Jika mereka sudah mula mahu bercerita dengan anda maknanya mereka sudah percaya akan chemistry yang tercipta.
3. Kenali Rentak Ibu Mentua
Risiklah apa yang perlu daripada pasangan anda. Contohnya seperti minat mereka. Jika ibu pasangan anda minat memasak, cuba luangkan masa anda untuk mencuri berbual tips masakan bersama ibu pasangan anda.
Jika minatnya pula lebih kepada membeli-belah, luangkan masa anda bersama-sama membeli-belah ataupun boleh juga jika anda berbicara tentang jenama yang ibu mentua anda minati.
4. Jadi Diri Sendiri
Susah untuk jadi diri sendiri depan mentua? Kuncinya mudah sahaja. Anda hanya perlu faham cara mereka. Apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka.
Jika anda betul-betul faham akan kehendak mereka, jadi tiada masalah untuk anda menjadi diri sendiri dan secara perlahan-lahan mentua akan melihat dan menerima siapa diri anda sebenarnya.
5. Ringankan Tangan Menolong
Jika anda menziarahi mereka rajinkan tangan menolong seperti mencuci pinggan dan sebagainya. Atau paling ringkas yang anda boleh lakukan adalah belikan sesuatu jika anda mengunjungi mereka. Seperti buah-buahan, kuih-muih, kek dan sebagainya. Mudah bukan?
Bukan perlu berbelanja besar, cukuplah sekadar membeli apa yang patut. Terapkan nilai murni, adab menziarahi dalam diri, mudah-mudahan lembut hati mentua anda yang melihatkan keperibadian anda yang tidak berkira.
6. Sense Of Humor
Fakta yang perlu anda tahu adalah orang tua suka jika diusik kalau isu yang dibangkitkan berkaitan dengan apa yang mereka suka. Jika perbualan yang dikongsi membosankan, ‘twist’ cerita mereka dalam nada bergurau tetapi jangan sampai berlebihan dan kalau boleh berpakat dengan pasangan bagi meyakinkan setiap jenaka yang cuba dijual untuk memikat hati mereka.
7. Berkelakuan Sopan Dan Bertanya Khabar
Tunjukkan rasa hormat anda terhadap mentua dengan bersikap sopan dengan mereka. Ringankan mulut anda hubungi mentua anda dan tanyakan khabar mereka. Jika anda memerlukan pandangan dan pendapat, kongsikan serta tanyakanlah pada mereka supaya mertua anda merasakan diri mereka diperlukan.
8. Bangun Awal
Sesekali bila pulang ke rumah mentua jangan bangun lambat. Rajinkan diri untuk bangun awal setiap pagi. Bunyinya mungkin sukar tapi ini merupakan satu cara terbaik untuk anda menjadi isteri atau suami dan menantu yang faham akan maksud tanggungjawab.
Lama-kelamaan perkara ini akan menjadi rutin yang berguna terutama apabila sudah sampai masa anda menimang cahaya mata nanti.