7 Cara Wanita Haid Rebut Pahala Di Bulan Ramadhan


Ramai golongan wanita akan begitu gusar takut kehilangan pahala di bulan Ramadhan. Ini kerana dalam tempoh sebulan Ramadhan, wanita muslimat akan mengalami tempoh waktu yang tidak dibenarkan melakukan beberapa amalan kerana kedatangan haid.

La Tahzan. Seharusnya kaum wanita muslimat faham dan redha di atas ketentuan Allah ini. Ia adalah fitrah bagi seorang perempuan yang baligh. Ingat lagi kisah Aisyah yang menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan Haji Widak? Rasulullah menenangkan hati Aisyah dengan berkata;

“Sesungguhnya pekara ini (haid) adalah ketentuan Allah ke atas wanita.” Hadis riwayat Bukhari

Sebenarnya, banyak lagi amalan yang boleh dilakukan oleh wanita haid berbanding yang dilarang. Mana mungkin Allah mengabaikan kaum muslimat untuk mengumpul pahala seperti orang lain yang berpuasa. Jadi bagaimanakah caranya?

Berikut 7 cara wanita haid merebut pahala di bulan Ramadhan :

1. Tetap bangun bersahur walaupun tidak berpuasa

Dari Anas Bin Malik, Rasululullah s.a.w bersabda;

“Bersahurlah, kerana di dalamnya terdapat keberkatan.” Hadis riwayat Bukhari.

Bahkan, Ibnu Umar r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Allah s.w.t dan para malaikat-Nya menurunkan rahmat ke atas orang yang bersahur.”

2. Perbanyakan sedekah

Kita sedia tahu betapa hebatnya ganjaran yang Allah berikan kepada mereka yang suka bersedekah. Kehebatan itu bertambah sewaktu di bulan yang mulia ini seperti mana sabda Rasulullah s.a.w;

“Sedekah paling utama adalah sedekah di bulan Ramadhan.”

Menurut Ibnu Abbas, “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya Al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah itu melebihi angin yang berhembus.” Hadis riwayat Bukhari.

3. Berzikir

Berzikir juga adalah dibenarkan bagi wanita haid. Jangan melepaskan pahala yang telah dijanjikan Allah dalam bulan Ramadhan dengan berkata perkara yang sia-sia.

Sebaliknya banyakkan membaca zikir mutlak (perlaksanaannya tidak dibatasi oleh waktu, jumlah dan tatacara tertentu) dan zikir muqayyad (perlaksanaannya dibatasi oleh waktu, benda, jumlah bacaan dan tempat tertentu).

Contoh zikir multak ialah membaca tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), tahlil, (La ilaha illallah) dan takbir (Allahu Akbar).

Manakala contoh bagi zikir muqayyad ialah membaca ‘Bismikallahumma ahya wa amut’ ketika hendak tidur.

4. Beristighfar

Lazimi lidah kita dengan sentiasa beristighfar terutamanya pada waktu sahur. Allah telah berfirman :


"Iaitu) orang-orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari siksa neraka,"
"Iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur." (Surah Ali Imran, Ayat 16-17)
5. Membaca Al-Quran

Terdapat perselisihan sama ada wanita haid dibenarkan atau tidak untuk membaca Al-Quran. Namun, pendapat yang kuat daripada Imam Malik, Imam Syafi’i dan Iman Ahmad menyatakan bahawa wanita haid adalah dibenarkan untuk membaca Al-Quran (yang dihafal) kerana tiada dalil yang mengharamkannya.

Namun, mereka dilarang untuk memegang atau menyentuh mushaf Al-Quran.

6. Menyediakan juadah berbuka untuk orang berpuasa

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani, Rasulullah s.a.w bersabda;

“Barangsiapa memberikan makanan untuk berbuka kepada yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” Hadis riwayat Tirmidzi.

7. Keluar melihat solat Hari Raya dan mendengar khutbah Raya

Ummu Athiyah berkata;

“Kami disuruh mengajak keluar wanita haid pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, juga para gadis yang dikurung di dalam rumah. Mereka perlu menyaksikan kaum Muslimin dan doa mereka. Tetapi wanita haid perlu menjauhi tempat solat.” Hadis riwayat Bukhari

Kesimpulan

Cuti berpuasa tidak bererti cuti mengumpul pahala. Lakukan sebanyak mungkin kebaikan seperti senyum dan berwajah ceria kepada sesama insan, membantu orang yang memerlukan pertolongan, menyediakan pakaian bagi mereka yang mahu berterawih dan pelbagai lagi.

Semoga Allah menerima amalan para wanita muslimat di bulan Ramadhan dan memberi pahala seperti mereka yang berpuasa.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: