Waktu subur ialah waktu berlakunya ovulasi. Oleh sebab jangka hayat ovum hanya 24 jam, maka amat penting untuk pasangan suami isteri menganggar dengan tepat waktu tersebut. Jika sedang berikhtiar untuk mengandung, adakan hubungan intim dalam tempoh seawal-awalnya 72 jam sebelum ovulasi ini kerana jangka hayat sperma puratanya ialah 72 jam.
Atau selewat-lewatnya sebelum tamat 24 jam jangka hayat ovum atau sebaik-baiknya setiap hari atau selang sehari dalam anggaran waktu subur. Contohnya jika waktu subur ialah pada 28hb, maka sasarkan hubungan pada 25hb, 26hb, 27hb dan 28hb.
Jika anda sebagai pasangan yang sah ingin mengelakkan kehamilan, elakkan hubungan intim atau guna metod pencegahan kehamilan yang lain pada waktu subur. Natural method sahaja biasanya tidak berapa efektif dan kebarangkalian berlakunya "kemalangan" adalah tinggi.
Berikut adalah 5 cara bagaimana mahu anggar waktu subur isteri :
1. Kalendar
Kaedah ini terpakai hanya untuk wanita yang mempunyai kitaran haid yang teratur. Caranya ialah anggarkan bila tarikh anda akan datang haid berikutnya (contohnya 11 Mei) dan tolak 12 hari (11 Mei - 12 hari = 29 April), dan tolak lagi dengan 5 hari (29 April - 5 hari = 24 April). Waktu subur anda ialah antara 24 April hingga 28 April.
2. Suhu badan basal
Ia merujuk kepada "Basal Body Temperature" iaitu suhu terendah dalam tempoh 24 jam. Apabila ovulasi berlaku, suhu badan (basal body temperature) akan meningkat sedikit daripada biasa. Jika diperhati, suhu meningkat selepas ovulasi. Maknanya anda mungkin terlepas saat ovulasi tersebut. Namun jangan bimbang, teruskan carta anda dan lihat pattern setiap bulan.
Lama-lama anda boleh agak bila waktu subur anda. Gunakan termometer basal temperature dan sukat suhu anda serta merta selepas bangun tidur pagi (pada masa yang sama setiap hari) sebelum melakukan apa-apa aktiviti termasuk berjalan ke bilik air.
3. Lendiran servik (cervical mucus)
Anda mungkin mengalami perubahan kepada sifat lendiran servik atau lelehan daripada kemaluan sepanjang kitaran haid. Lendiran ini sebenarnya menyediakan medium yang sesuai untuk pergerakan sperma pada waktu subur. Hebat, bukan?
Keadaan lendir yang paling baik (subur) ialah seperti putih telur (white egg) diikuti oleh berair (watery). Keadaan lendir yang tidak sesuai untuk sperma ialah seperti krim (creamy) dan melekit (sticky).
4. Sakit sebelah badan
Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit (cramping) pada sebelah tubuh ketika ovulasi berlaku.
5. Kit komersial
Ovulation Predictor Kit. Kit ini akan memberitahu anda kebarangkalian anda sedang subur pada waktu itu dengan mengukur tahap hormon LH. Pada waktu subur, lapisan dinding rahim juga sangat baik untuk berlakunya penempelan (implantation) hasil persenyawaan antara ovum dan sperma.
Hebat sungguh kuasa Allah yang mengatur kondisi terbaik keadaan rahim, lendiran mukus, suhu badan dan lain-lain bagi mengoptimakan persenyawaan.
Ini hanyalah tanda-tanda yang biasanya berlaku namun tidak semestinya ada pada setiap wanita. Teruskan doa dan berikhtiar agar Allah kurnia rezeki cahaya mata kepada anda.
- Daku Amat