21 Pesanan Dari Rasulullah S.A.W


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Syurga adalah tempat tinggal yang abadi di hari akhirat disediakan oleh Allah s.w.t untuk orang-orang mukmin.

Anas bin Malik r.a berkata; "Nabi Muhammad s.a.w bersabda maksudnya :

"Siapa yang minta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka syurga berdoa; "Ya Allah, masukkan ia kesyurga" dan siapa berlindung kepada Allah dari neraka tiga kali maka neraka berdoa; "Ya Allah, hindarkan ia dari neraka."
Seorang ahli hikmah berkata;

"Condong kepada dunia setelah mengetahui pahala bererti satu kebodohan. Dan tidak bersungguh-sungguh beramal setelah mengetahui besarnya pahala bererti lemah malas dan di syurga ada masa istirehat tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang tidak pernah istirehat di dunia dan ada kepuasan yang tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang meninggalkan berlebihan di dunia dan cukup dengan kesederhanaan yang ada di dunia."
Terdapat 21 soalan dan jawapannya telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w, untuk kalian mendekatkan diri kepada Allah, mendapat balasan pahala dan jalan menuju ke syurga Allah s.w.t. Perhatikan berikut ini :

1. Adakah kalian ingin mendekatkan diri kepada Allah?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Seorang hamba itu paling hampir dengan Allah adalah ketika dia sujud, hendaklah kamu banyak berdoa sewaktu sujud." (Hadis Riwayat Muslim).

2. Adakah kalian inginkan pahala seperti mengerjakan haji?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Mengerjakan umrah pada bulan Ramadan adalah seperti mengerjakan haji bersama-samaku." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Adakah kalian inginkan sebuah istana didalam syurga?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang membina masjid, Allah akan membina sebuah istana didalam syurga untuknya." (Hadis Riwayat Muslim).

4. Adakah kalian inginkan keredhaan Allah setiap masa?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesungguhnya Allah reda kepada hambanya yang mengucapkan syukur di waktu makan dan minum." (Hadis Riwayat Muslim).

5. Adakah kalian mahu doa dimakbulkan oleh Allah?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Allah tidak menolak doa hamba-Nya di antara waktu azan dan waktu qamat." (Hadis Riwayat Abu Daud).

6. Adakah anda inginkan pahala seperti orang yang berpuasa setahun?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Puasa tiga hari pada setiap bulan adalah sama pahalanya seperti puasa setahun." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Adakah kalian inginkan pahala sebesar gunung?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang menziarahi dan solat jenazah, pahalanya seperti sebuah gunung dan sekiranya dia juga menghantar jenazah ke kubur maka dia akan mendapat pahala seperti dua gunung." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Adakah kalian ingin bersama-sama Nabi dalam syurga?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Aku akan bersama-sama dengan orang yang telah menjaga anak yatim di dalam syurga." (Hadis Riwayat Bukhari).

9. Adakah kalian inginkan pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau orang yang berpuasa atau orang yang mendirikan solat?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Orang-orang yang berusaha dan menolong ibu tunggal dan orang miskin pahalanya seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti pahala orang yang mendirikan solat atau seperti pahala orang yang berpuasa." (Hadis Riwayat Muslim).

10. Adakah kalian ingin mendapat jaminan Nabi untuk masuk ke syurga?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang dapat memelihara mulutnya dan di antara dua pehanya maka aku akan memberi jaminan kepadanya untuk masuk syurga." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

11. Adakah kalian inginkan pahala amalan walaupun selepas mati?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Tiga perkara yang akan berterusan mendapat pahala walaupun seseorang itu meninggal dunia adalah sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diberikan kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa kepadanya." (Hadis Riwayat Muslim).

12. Adakah kalian ingin mendapat satu daripada khazanah syurga?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang membaca; LAHAULAWALA QUWATA ILLABILLAH dia akan mendapat satu daripada khazanah syurga." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

13. Adakah kalian inginkan pahala seperti orang yang mendirikan solat sepanjang malam?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang solat isyak dan subuh berjemaah dia akan mendapat pahala seperti mereka yang mendirikan solat sepanjang malam." ( Hadis Riwayat Muslim).

14. Adakah kalian inginkan pahala seperti orang yang membaca 1/3 Al-Quran?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang membaca "QUL HUWA ALLAHU AHAD.." dia akan mendapat pahala seperti membaca 1/3 al-Quran." (Hadis Riwayat Muslim).

15. Adakah kalian ingin menambah pahala dalam timbangan untuk masuk ke syurga?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Dua kalimah yang Allah sangat suka kita membacanya dan sangat banyak pahala untuk memberatkan timbangan kebajikan di akhirat adalah 'SUBHANALLAH WABIHAM BIHI' dan 'SUBHANALLAH HAL A'ZIIM." (Hadis Riwayat Bukhari).

16. Adakah kalian mahu supaya dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang selalu menghubungkan silaturrahim dia akan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki." (Hadis Riwayat Bukhari).

17. Adakah kalian mahu dipelihara oleh Allah sepanjang masa?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang sentiasa solat subuh dia akan sentiasa dilindungi oleh Allah." (Hadis Riwayat Muslim).

18. Adakah kalian ingin Allah mengampunkan semua dosa kalian?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang membaca Subhanallah wa bihamdihi sebanyak 100 kali sehari, Allah akan mengampunkan dosanya walaupun sebanyak buih dilaut." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

19. Adakah kalian mahu dijauhkan daripada azab api neraka?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang berpuasa satu hari ikhlas kerana Allah dia akan dijauhkan daripada azab api neraka." (Hadis Riwayat Bukhari).

20. Adakah kalian ingin dirahmati oleh Allah?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang membaca satu kali selawat kepada Nabi Muhammad Allah akan memberi sepuluh kali rahmat kepadanya." (Hadis Riwayat Bukhari).

21. Adakah kalian ingin Allah mengangkat darjat kalian?

Nabi s.a.w bersabda maksudnya; "Sesiapa yang merendah diri kepada Allah, Allah akan menangkat darjatnya dan memuliakannya." (Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dimuliakan. Marilah kita beramal dengan amal soleh, beribadah dengan ikhlas dan khusyuk kepada Allah s.w.t, melaksanakan jihad dan kerja-kerja kebajikan di dunia ini semata-mata mencari keredaan Allah s.w.t.

Balasan untuk mukmin yang istiqamah dengan Islam adalah kebaikan di dunia dan kebaikan di Akhirat dan dijauhi daripada seksaan api neraka.

Wallahu 'alam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: