Saya fikir saya perlu mencatatkan ini, sebagai persediaan dan perkongsian (pengalaman) untuk rakan-rakan, terutama para isteri.
Ada kawan-kawan yang cakap pada saya;
“Kalau jadi kat aku, tak tahulah nak buat apa. Semua laki yang buat. Bayarkan bil, beli barang dapur, semualah dia buat.”
Jiran saya pula kata;
“Takutnya kalau jadi kat saya. Saya bawa kereta pun tak reti. Saya tahu jaga anak je!”
Setelah melalui perkara ini (suami jatuh sakit), saya rasa setiap suami atau isteri perlu duduk berbincang (buat mesyuarat keluarga) dan senaraikan beberapa perkara, sebagai persediaan sekiranya berlaku apa-apa.
Berikut beberapa perkara penting isteri kena tahu apabila suami jatuh sakit :
1. Password
Handphone, Maybank2u, pin ATM, e-mail, Facebook dan lain-lain.
2. Senarai bil dan hutang
Bil – Nombor akaun bil dan amaun bulanan yang perlu dibayar. Contoh : Bil telefon, Unifi, Astro, bil eletrik dan lain-lain.
Hutang, Pinjaman, Pembiayaan – Nama bank, nombor akaun dan amaun. Catatkan juga nama dan nombor telefon pegawai atau agen jika berkenaan. Contoh : Loan kereta, loan rumah, pinjaman pelajaran, pinjaman peribadi dan lain-lain.
3. Berkenaan insurans
Catatkan nama dan nombor telefon agen insurans masing-masing. Jika tidak buat potongan bulanan, catatkan nombor akaun dan amaun yang perlu dibayar setiap bulan.
4. Berkenaan kereta
Saya yakin ramai orang perempuan (isteri-isteri) yang tak ambil tahu pasal kereta kerana semuanya suami yang uruskan. Mulai sekarang kena ambil tahu. Antaranya :
1 - Bagaimana hendak memperbaharui road tax dan insurans. Sekurang-kurangnya tahu agen yang berkenaan. Boleh telefon dan minta mereka uruskan.
2 - Tahu di mana bengkel biasa kereta dihantar servis dan tahu bila perlu dihantar servis (tukar minyak hitam dan lain-lain).
3 - Tahu bagaimana nak buka bonet depan kereta. Ya, saya percaya memang ramai orang perempuan tak tahu. Mengapa perlu tahu? Supaya anda boleh periksa air, minyak enjin, minyak power steering, check air wiper dan lain-lain.
Ini cuma catatan ringkas. Saya fikir, mereka yang lebih banyak aset dan pelaburan, maka perincian dan catatan akan menjadi lebih panjang. Bila sudah dicatat, mudah bagi pihak suami atau isteri untuk rujuk jika terjadi apa-apa.
5. Lain-lain perkara
Selain itu elok disemak semula status penama bagi akaun KWSP, insurans dan lain-lain.
Ada kawan saya, mereka suami isteri sangat ‘detail’. Selain sangat terperinci tentang hal bil, hutang dan lain-lain, mereka sudah siapkan surat akuan sumpah, kepada siapa anak mereka akan diserahkan jika kedua-dua mereka meninggal dunia. Jadi penama itu (adik beradik mereka) yang bertanggungjawab menguruskan semua harta (hak anak-anak itu) sementara mereka dewasa.
Saya juga sangat mengesyorkan orang perempuan belajar memandu kereta. Bagi yang ada lesen tapi hanya dibuat hiasan dalam dompet, mungkin boleh mula cuba bawa sekitar taman atau tempat yang tidak sibuk.
Bagi para suami juga, boleh mula ambil tahu hal isteri (atau yang isteri saja buat) yang selama ini tak pernah ambil tahu. Sebagai contoh (ada banyak lagi) :
1. Sukatan susu anak
Berapa ml air dan berapa scoop susu.
2. Jenis pad (tuala wanita) yang biasa dipakai isteri
Ketahuilah para suami, selain ada bermacam jenis brand, jenis pad ada yang bersayap, ada yang tidak, ada jenis untuk dipakai pada tempoh aliran banyak, ada jenis ‘slim’ dan lain-lain.
Sekadar catatan. Semoga bermanfaat.
Wallahu’alam.