Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasa'i, seorang sahabat Rasulullah s.a.w, bernama Anas bin Malik r.a menceritakan sebuah kejadian yang dialaminya ketika ia berada dalam sebuah majlis bersama Rusulullah s.a.w.
Anas bercerita; "Pada suatu hari kamu duduk bersama Rasulullah s.a.w, kemudian baginda bersabda, "Sebentar lagi akan muncul di hadapan kalian seorang lelaki penghuni syurga." Tiba-tiba muncullah lelaki Anshar yang janggutnya basah dengan air wuduknya. Dia mengikat kedua sandalnya pada tangan sebelah kiri.
Esok harinya, Rasulullahs.a.w berkata begitu juga, "Akan datang seorang lelaki penghuni syurga." Dan munculah laki-laki yang sama. Begitulah Nabi mengulang sampai tiga kali.
Ketika majlis Rasulullah selesai, Abdullah bin Amr bin Al-Ash r.a mencuba mengikuti seorang lelaki yang disebut oleh Nabi sebagai penghuni syurga itu.
Kemudian dia berkata kepadanya; "Saya ini bertengkar dengan ayah saya, dan saya berjanji kepada ayah saya bahawa selama tiga hari saya tidak akan menemuinya. Mahukah kamu memberi tempat tinggal buat saya selama hari-hari itu?"
Abdullah mengikuti orang itu ke rumahnya, dan tidurlah Abdullah di rumah orang itu selama tiga malam. Selama itu Abdullah ingin menyaksikan ibadah apa gerangan yang dilakukan oleh orang itu yang disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai penghuni syurga. Tetapi selama itu pula dia tidak menyaksikan sesuatu yang istimewa di dalam ibadahnya.
Kata Abdullah; "Setelah lewat tiga hari aku tidak melihat amalannya sampai-sampai aku hampir-hampir meremehkan amalannya, lalu aku berkata, Hai hamba Allah, sebenarnya aku tidak bertengkar dengan ayahku dan tidak juga aku menjauhinya. Tetapi aku mendengar Rasulullah s.a.w berkata tentang dirimu sampai tiga kali; "Akan datang seorang darimu sebagai penghuni syurga." Aku ingin memperhatikan amalanmu supaya aku dapat menirunya. Mudah-mudahan dengan amal yang sama aku mencapai kedudukanmu."
Lalu orang itu berkata;
"Yang aku amalkan tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan."
Ketika aku mahu berpaling, kata Abdullah, dia memanggil lagi, kemudian berkata; "Demi Allah, amalku tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan itu. Hanya saja aku tidak pernah menyimpan pada diriku niat yang buruk terhadap kaum Muslim, dan aku tidak pernah menyimpan rasa dengki kepada mereka atas kebaikan yang diberikan Allah kepada mereka."
Lalu Abdullah bin Amr berkata; "Beginilah bersihnya hatimu dari perasaan buruk kepada kaum Muslim, dan bersihnya hatimu dari perasaan dengki. Inilah yang menyebabkan engkau sampai ke tempat yang terpuji itu. Inilah justeru yang tidak mampu kami lakukan." Kata Abdullah bin Amr. (Dipetik dari kitab Hayatus-Shahabah)
Kesimpulannya, memiliki hati yang bersih, tidak menyimpan prasangka yang buruk terhadap kaum Muslim, kelihatannya sederhana tetapi justeru amal itulah yang seringkali sukar kita lakukan. Mungkin kita mampu berdiri di malam hari, sujud dan rukuk di hadapan Allah s.w.t, akan tetapi amat sukar bagi kita menghilangkan kedengkian kepada sesama kaum Muslim, hanya kerana dia memperolehi kelebihan yang diberikan Allah s.w.t, dan kelebihan itu tidak kita miliki.
Wallahu a'lam.