Kali ini dikongsikan resepi masakan ayam yang mudah tetapi sangat sedap iaitu Ayam Masak Halia. Kekadang kita tidak perlu bersusah payah untuk masak sesuatu yang terlalu complicated untuk dihidangkan kepada keluarga.
Cukup sekadar masakan yang mudah tapi istimewa hidangan air tangan sendiri dan dipadankan pula dengan nasi yang panas. Memang sedap! Silalah dicuba resepi ini.
Bahan-Bahan :
1 - 500 gram ayam - potong kecil.
2 - 4 ulas bawang putih - hiris nipis.
3 - 2 cm halia - hiris halus memanjang.
4 - 1 sudu besar kicap cair.
5 - 1 sudu besar sos tiram.
6 - 1 biji bawang besar - hiris nipis membulat.
7 - 1 biji cili merah - hiris nipis.
8 - 1 tangkai daun bawang - hiris panjang 2 cm.
9 - 1 1/2 sudu kecil tepung jagung - dibancuh dengan sedikit air.
10 - minyak masak - untuk goreng ayam.
11 - sedikit lada sulah atau lada hitam.
12 - sedikit garam + kunyit + garam + gula - secukup rasa.
Cara Penyediaan :
1 - Panaskan minyak. Gaul ayam bersama garam dan kunyit kemudian goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
2 - Ambil sedikit minyak dari baki gorengan ayam tadi anggaran 1/2 senduk dan tumis bawang putih bersama halia sehingga naik bau. Masukkan kembali ayam yang digoreng separuh masak tadi.
3 - Masukkan pula sos tiram, kicap cair dan sedikit taburan lada hitam. Kacau seketika (jaga jangan sampai bawang putih hangus).
4 - Masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga kuah menjadi sebati dan pekat. Tambah sedikit lagi air jika anda suka lebih kuah.
5 - Taburkan dengan cili merah dan bawang besar dan kacau selama 2-3 minit sebelum diangkat.
6 - Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
7 - Angkat dan tabur dengan daun bawang dan dihidangkan bersama nasi panas.
Tips :
Hati-hati semasa masukkan garam kerana kicap cair sudah masin. Begitu juga ayam tadi yang sudah masin diperasakan garam semasa menggoreng.
Selamat mencuba.