Rahsia Menjadi Isteri Solehah


Baitul muslim atau rumah tangga Islam adalah lahir daripada gabungan suami dan isteri yang soleh dan solehah. Tanpa wujud kedua-duanya atau salah seorangnya tidak soleh maka akan berlaku kekurangan dan kepincangan. Tidak mungkin baitul muslim tersebut dapat dibina untuk menjadi rumah tangga yang bahagia dalam keredhaan Allah.

Isteri yang solehah adalah komponen penting untuk membentuk rumah tangga bahagia tetapi sebaliknya jika para isteri tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumahtangga yang kucar-kacir.

Terdapat tiga perkara yang membahagiakan iaitu; isteri yang solehah, jiran-tetangga yang baik dan kenderaan yang sempurna.

Wanita adalah penentu buruk baik sebuah masyarakat. Sedangkan masyarakat yang baik lahir dari rumah tangga dan keluarga yang bahagia. Wanita dengan sifat kehalusan yang dianugerahi oleh Allah s.w.t, sesuai sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami.

Dari sifat asal dengan kehalusan sifat kewanitaan inilah jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal-awal maka akan melahirkan kematangan berfikir dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan seorang isteri yang solehah, sudah pasti berhasil.

Ada yang bertanya, bagaimana saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), mempunyai ilmu Islam yang tinggi atau pandai menafsir al-Quran?

Jika memiliki kelebihan tersebut adalah bonus, tetapi jika tidak memiliki sepenuhnya masih layak menjadi isteri yang solehah. Sebenarnya untuk menjadi isteri solehah bukanlah suatu perkara sukar, dia mesti pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya dan merasai seronok berada disampingnya. Walaupun si isteri tersebut cuma melaksanakan amalan fardhu dalam Islam dan menambah amalan sunat menurut keizinan dari suaminya.

Bagi isteri hanya 4 syarat untuk mereka ke syurga iaitu apabila seorang isteri mengerjakan solat 5 waktu, mengerjakan puasa sebulan, memelihara kehormatannya (termasuklah aurat) serta mentaati suaminya, nescaya dia akan masuk syurga.

Daripada Anas r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Senyuman yang manis dari seorang isteri

Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta isteri solehah itu.

Sekiranya senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.

Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.

Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.

Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.?

Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.

Sabda Rasulullah s.a.w dari Ibnu Abbas r.a maksudnya : “Mahukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu wanita yang solehah. Apabila suaminya melihat kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga. Sudah pasti rasa letih suaminya akan hilang serta-merta.

Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.

Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.

Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami?

Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah s.w.t.

Bersabda Rasulullah s.a.w : “Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya.”(Hadis Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Rasulullah s.a.w bersabda : “Apabila seorang wanita reda atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah; dan jika ia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Isteri yang sengaja enggan melayan hajat suami di tempat tidur tanpa alasan yang menasabah akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut satu kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami juga manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.

Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.

Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.

Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman dan ketaatan adalah senjata untuk memikat hati suami dan menjamin kebahagiaan rumah tangga yang sedang dibina.

Walaupun kalian belum sempurna dengan ciri-ciri isteri solehah, kalian perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kriteria ini dengan berdoa dan berazam untuk mencapai tahap solehah yang akan meletakkan kalian menjadi perhiasan terbaik di dunia seperti sabda Nabi s.a.w yang menyatakan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.

Wallahu a'lam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: