Petua Untuk Mudah Bangun Subuh


Sebenarnya sikap liat nak bangun subuh atau pagi ini adalah sikap semulajadi orang yang pemalas! Jangan marah, tapi memang itulah sebabnya. Jika anda seorang yang rajin dan ada prinsip yang tegas, mesti anda tak perlukan jam locang dan sebagainya untuk bangun subuh.

Ada sesetengan orang mengharapkan ibu bapa atau kawan-kawan kejutkan mereka untuk bangun subuh dan tak kurang yang menjadikan jam loceng dan ‘alarm’ handset sebagai alat untuk membangunkan mereka di waktu subuh.

Namun apa yang berlaku, jam loceng atau alarm handset yang berbunyi dimatikan dan kejutan oleh ibu bapa, mulut saja menyahut tetapi mata tak dibuka dan tubuh masih baring di tilam empuk.

Berikut memberi manfaat buat kita semua bangun subuh :

1. Tekad yang kuat

Yakinlah, jika kita membulatkan tekad yang bersungguh-sungguh, tidak ada seorang pun yang boleh menghalang kita untuk bangun subuh. Tidak cukup sekadar azam di mulut saja tapi tidak mempersiapkan apa-apa usaha untuk mencapai azam itu.

Contohnya, kalau tidur lewat malam, tidak pula usaha untuk memasang ‘alarm’ atau pesan supaya ahli keluarga dan kawan-kawan kejutkannya, mana mungkin dia boleh mengatakan nak buat macamana tak jaga juga. Kalau tiada keinginan yang kuat untuk bangun, jangan haraplah nak terjaga. Bahkan kalau terjaga sekalipun, tapi tiada kesungguhan untuk bangun tetap tak akan bangun subuh juga.

2. Jauhilah dosa maksiat

Orang yang mudah bangun subuh dan menyempurnakan solat fardhu sudah tentu seorang yang berusaha menghiasi kehidupan hariannya di bawah naungan redha dan rahmat Allah. Maksudnya setiap minit dan saat hidupnya akan berusaha melaksanakan kebaikan dan menjaga dirinya agar tidak membuat suatu perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah.

Apabila hatinya bersih dan diwarnai zikrullah, maka laungan “As-Solatu Khairam Minan Naum” (solat lebih baik dari tidur) menjadi 'alarm' untuk dia segera mencari redha dan kasih sayang Allah.

Sebelum tidur, muhasabahlah diri dan mohonlah keampunan Allah atas dosa dan maksiat sama ada disedari atau tidak yang kita lakukan sepanjang hari. Banyakkan beristighfar mohon keampunan Allah dan peliharalah diri dari melakukan maksiat yang ada di sekeliling kita. Jadilah seperti ikan di laut, walaupun dunia kehidupannya masin, tetapi isinya tetap tidak masin.

3. Memenuhi dada dengan iman, ilmu dan amal soleh

Keimanan yang kuat adalah merupakan pendorong utama bagi seseorang melakukan sesuatu yang sukar. Mengerjakan qiamullail dan solat Subuh di Masjid adalah suatu amalan yang sukar dan ia tidak dapat dilakukan kecuali oleh mereka yang benar-benar yakin kepada janji kebaikan daripada Allah Taala.

Justeru bagi meningkatkan keimanan dalam dada, seseorang itu hendaklah menambahkan ilmu dan amalannya dengan banyak duduk dalam kuliah agama, melakukan usaha atas iman yakni dengan membuat kerja mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini kerana dengannya hati seseorang itu akan menjadi suci dan bersih yang memudahkan untuk suburnya Iman.

Sebaliknya hati yang kotor akan menjadi keras dan kekerasan hati adalah menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk melakukan amal ibadah yang sukar seperti solat Subuh berjamaah di Masjid dan qiamullail. Hati boleh menjadi keras kerana dikotori oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, ujub dan riak atau disebabkan makan dari sumber haram.

4. Banyak berdoa

Doa itu senjata orang mukmin. Terus berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa dan dimudahkan untuk kita bangun subuh.

Seringkali kita lupa untuk berdoa sebelum dan selepas bangun tidur. Padahal itu kan sunnah Rasul Salallahu Alaihi Wasallam. Berdoalah dengan penuh yakin dan tidak berputus harap dengan kasih sayang Allah.

5. Tidur Cara Sunnah

Bila kita mengamalkan tidur cara Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam, di sana ada keberkatannya. Dengan tidur cara yang diajar Nabi s.a.w, dengan izin Allah kita mudah untuk bangun subuh.

Berikut tidur cara sunnah Rasulullah s.a.w :

(a) Tidur lebih awal

Antara wasiat Rasulullah s.a.w kepada umatnya ialah tidur selepas waktu Isyak. Tidur awal bukan dikhususkan untuk kanak-kanak sahaja tetapi kepada semua manusia. Nabi s.a.w akan tidur awal dan bangun di sepertiga malam untuk beribadat kepada Allah s.w.t.

Jika tidak ada perkara penting yang ingin dilakukan, lebih baik kita masuk tidur lebih awal daripada menghabiskan masa dengan menonton televisyen atau lepak-lepak di gerai makan.

Bagi golongan pelajar, kajian menunjukkan mengulangkaji pelajaran selepas solat Subuh atau bangun tidur awal pagi adalah lebih baik dari berjaga malam bersengkang mata untuk mengulangkaji pelajaran.

(b) Berwuduk sebelum tidur

Pastikan masuk tidur dalam keadaan suci dan bersih dari hadas kecil dengan mengambil wuduk.

(c) Membaca doa

Baca doa sebelum tidur dan tiga surah (tiga Qul) ditiupkan pada tapak tangan dan disapukan diseluruh badan. Ditambah Ayatul Kursi dan surah Al-Kafirun sebagai benteng dari diganggu oleh jin dah iblis dalam tidur kita.

(d) Tidur di lambung kanan dan mengadap qiblat

Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda :

“Apabila kamu ke tempat tidurmu, ambillah wuduk seperti wuduk solatmu kemudian berbaringlah di atas lambung kananmu.”

Berkenaan hikmah tidur di atas lambung kanan, Imam Ibn Qayyim menjelaskan hati manusia terletak di sebelah kiri, maka apabila seseorang tidur di atas lambung kiri, hatinya akan tertindih yang menyebabkan tidur menjadi nyenyak dan rasa berat untuk bangun. Berbanding bila tidur di atas lambung kanan, hatinya tidak tertindih seterusnya menyebabkan ia tidak terlalu tenggelam dalam tidurnya.

6. Mengetahui kelebihan solat Subuh berjemaah di Masjid

Hendaklah mengetahui kelebihan dan keistimewaan amalan solat subuh dan mengerjakannya di Masjid kerana dengan mengetahuinya barulah seseorang itu terdorong untuk berlumba melakukannya. Saidina Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Nabi s.a.w bersabda :

"Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam”. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Kebesaran dan keagungan solat Subuh berjamaah di Masjid hendaklah dimasukkan ke dalam hati kerana ia akan menangkis bisikan syaitan yang selalu membisikkan rasa ringan meninggalkannya. Bagi para ulama dan ustaz pula hendaklah menanamkan rasa malu dan bersalah yang amat sangat jika tidak hadir solat Subuh berjamaah kerana dia adalah contoh ikutan orang awam.

7. Mengetahui kesan meninggalkan solat Subuh berjamaah

Antara punca jiwa menjadi lemah dan hilangnya banyak daripada kelebihan agama dan dunia ialah bangun lewat dan meninggalkan fardhu subuh. Oleh kerana itulah syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan di waktu subuh dengan menghalangnya daripada bangun tidur.

Nabi s.a.w bersabda : "Syaitan mengikat/membelenggu tengkuk di kalangan kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Dia memukul di atas ketiga-tiga ikatan (sambil berkata) : Malam masih panjang, teruskan tidur! Jika dia bangun lalu berzikir menyebut nama Allah Taala maka terungkailah satu iakatan, jika dia berwuduk terungkailah ikatan berikutnya dan jika dia solat maka terungkailah semua ikatan. Maka pagi itu dia akan cergas dan baik jiwanya, jika tidak dia akan berpagi dalam keadaan jelek dan malas. (HR Al-Bukhari)

Waktu selepas solat Subuh adalah waktu yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan, justeru Nabi s.a.w memelihara waktu tersebut iaitu memenuhkannya dengan zikir dan baginda selalunya selepas subuh terus duduk sambil berzikir sehinggalah terbit matahari dan kemudian baginda solat dua rakaat Dhuha.

8. Menjauhi sifat-sifat munafiq

Kehadiran diri ke Masjid di waktu subuh adalah merupakan bukti kekuatan iman seseorang muslim dan bebasnya diri dari sifat munafiq kerana ia adalah waktu paling sukar untuk melaksanakan ketaatan.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :

"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak." (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Abdullah bin Mas ‘ud r.a berkata : “Engkau telah melihat kami dan tidak meninggalkannya (solat Subuh) melainkan munafiq yang dimaklumi sifat nifaqnya.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, Al-Nasai dan Ibnu Majah)

Ibnu Umar r.a pula berkata : “Apabila kami dapati ada lelaki yang tidak hadir solat (di masjid) pada waktu fajar (Subuh) dan Isyak kami akan berburuk sangka terhadapnya.” (Riwayat Al-Bazzar, Al-Tobrani dan Ibnu Khuzaimah)

Oleh itu jika anda mahu mengukur secara zahir iman seseorang maka ia boleh diukur dengan keadaan solat Subuhnya. Jika dia seorang yang sangat memelihara solat Subuh dan melaksanakannya secara berjamaah di masjid maka ia menjadi bukti kepada kekuatan imannya. Namun jika sebaliknya, dia sangat malas berjamaah di masjid waktu subuh maka itu adalah petanda imannya ada masalah serta keras hatinya. Ia juga menunjukkan ketundukannya kepada hawa nafsu dan kekalahannya kepada bisikan syaitan.

Seseorang yang mampu bangun untuk pergi berjamaah di waktu subuh adalah bukti kekuatan iman seseorang kerana dia telah menang dalam peperangan dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan supaya terus tidur.

Bagi mereka yang terus tidur, apakah mereka berasa lebih seronok diulit mimpi di atas katil sedangkan ahli jamaah yang lain sedang beribadah dan mendengar bacaan Al-Quran di dalam solat di Masjid. Adalah menjadi satu kerugian yang besar bagi mereka yang tidak merasakan apa-apa kekurangan pada diri mereka sedangkan mereka terus jauh dari rahmat Allah Taala di waktu subuh/pagi.

9. Jangan banyak makan sebelum tidur

Ini merupakan satu tip yang sesuai dengan syariat dan kesihatan. Perut yang terlalu kenyang akan menjadikan tubuh badan menjadi berat dan susah untuk bangun di subuh hari.

Tetaplah dengan makan malam yang lebih ringan seperti sup, sayur-sayuran rebus dan salad merupakan menu makan malam yang menyihatkan jantung. Seeloknya makan malam pada awal waktu, misalnya sekitar pukul 7 atau 8 malam. Jangan sekali-kali makan pada lewat malam.

Selain itu, jauhi daripada minum teh, kopi dan minuman bergas. Minuman tersebut yang mengandungi kafein akan melambatkan tidur atau mengakibatkan kegelisahan ketika tidur seperti sering terjaga untuk kencing. Akhirnya badan menjadi lemah dan sukar untuk bangun subuh.

10. Pasang penggera atau alarm

Pasang alarm tepat pada waktu solat Subuh. Untuk peringkat awal ini, cukuplah kita melatihkan diri untuk bangun tepat pada ketika subuh telah masuk. Selepas sudah membiasakan diri, berlatihlah pula bangun lebih awal agar kita boleh menunaikan ibadah qiamullail walaupun hanya sekadar 15 minit sahaja.

Usahakan memasang alarm yang mengeluarkan deringan kuat sama ada jam loceng mahu pun handset. Jangan sesekali memasang alarm menggunakan muzik lembut atau deringan biasa kerana ia bukan saja tak membangunkan kita bahkan akan membuaikan kita untuk terus tidur.

Memasang alarm dalam pelbagai waktu. Contohnya jika jam loceng dikunci pukul 6.17 pagi, alarm handset pula dikunci pukul 6.22 pagi sebagai persediaan takut-takut alarm pertama ditutup secara tidak sengaja dan sedar.

11. Tukar bunyi alarm dari semasa ke semasa

Handset mungkin tiada masalah tapi bagi jam loceng, tukarlah dengan ahli keluarga yang lain atau kawan-kawan yang mempunyai bunyi berbeza dengan jam kita. Jauhkan jam loceng atau handset dari mudah dicapai oleh tangan. Adalah lebih baik letak di tempat yang agak tinggi atau pun di tempat yang perlu kita bangun dan berjalan ke arahnya.

12. Pasang alarm yang menginsafkan

Alarm yang menginsafkan ini, macam lagu di alam barzakh ke, zikir taubat ke, nasyid Sepohon Kayu ke. Cara ini mungkin membantu untuk seminggu dua.

13. Tepuk bantal baca selawat niatkan nak bangun awal subuh

Ini cara yang diajar orang tua-tua dahulu. Dulu masa kecil-kecil, tak tahu apa singnifikannya tepuk bantal. Tapi bila dah besar, baru tahu, kuasa niat tu. Secara tak langsung niat kita akan masuk ke dalam minda separa sedar kita dan minda kita akan alert untuk bangun awal. Bila niat kita baik, insya Allah kita mudah bangun pagi.

Caranya, sebelum tidur, baca bismillah kemudian tepuk bantal tiga kali sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Niat dalam hati untuk bangun sekian-sekian waktu (sebaiknya sebelum masuk solat fardhu subuh). Insya Allah, esok terjaga dengan sendirinya dan yang pelik dan ajaibnya, waktunya pun tepat.

14. Suruh isteri kejutkan

Cara ini untuk mereka yang telah berkahwin. Bila isteri tercinta yang kejutkan dengan penuh kelembutan pulak tu mestilah mudah untuk si suami bangun dari tidur. Tapi banyak juga yang berlaku, kalau suami jenis liat bangun subuh, isteri dia pun sama liat juga nak bangun subuh. Jadi, sama-samalah berpesan-pesan ya.

15. Buatlah rutin malam hari sebagai persediaan untuk keesokannya

Mulakanlah rutin malam hari dengan menyiapkan tubuh anda untuk santai dan menempatkan anda dalam gerakan rutin setidaknya 7-8 jam sebelum anda bangun pada keesokan paginya. Ini mampu diamalkan dengan mandi air suam, minum secawan teh chamomile, ambil nafas dalam-dalam atau meringkuk di atas katil, berselimut dan membaca atau menulis catatan anda. Ciptakan sebuah ritual yang benar-benar akan membuat anda dapat tidur dengan lena dan menyambut waktu bangun subuh dengan hati terbuka.

16. Matikan televisyen dan komputer pada jam sewajarnya

Televisyen dan internet terlalu menstimulasi perilaku sebelum waktu tidur. Jangan menonton televisyen di tempat tidur dan berhentilah melayari internet lama sebelum rutin tidur anda.

17. Buka langsir bilik dan tingkap di bilik

Biarkan udara pagi mengalir masuk ke dalam bilik anda. Lihatlah matahari yang mula menampakkan dirinya dan mula menyinari bilik anda.

18. Mengetahui motivasi anda

Jika anda ingin bangun awal pagi hanya kerana anda merasa seperti seorang yang kecundang jika anda tetap tidur, itu bukanlah benar-benar apa yang para pakar psikologi sebut motivator positif. Anda perlukan satu alasan kukuh untuk melakukan sesuatu agar berhasil, tidak hanya alasan untuk tidak melakukan sesuatu yang lain.

Apakah anda ingin pergi kerja sebelum boss anda sehingga beliau dapat melihat anda kelihatan produktif sebaik saja ia melangkah masuk pejabat? Apakah anda ingin memiliki waktu untuk menulis di awal permulaan hari? Fikirkan apa yang terlebih dulu memotivasi anda untuk bangun pagi-pagi dan tulis semua alasan-alasan itu. Letakkan tulisan-tulisan motivasi anda di depan meja sisi katil anda sebagai peringatan untuk anda lebih bermotivasi untuk bangun subuh.

19. Buat perjanjian di pagi hari

Jadualkan pertemuan di awal pagi, sesi olahraga di tempat kerja dengan teman dan pembersihan gigi. Buat kewajiban anda untuk bangun pagi-pagi tidak hanya untuk diri anda sendiri tetapi juga untuk orang lain. Anda akan lebih bertanggungjawab jika anda tahu ada sesuatu yang menanti anda untuk dilakukan.

20. Berikan diri sendiri sebuah penghargaan

Jika anda adalah jenis yang menginginkan penghargaan untuk sebuah pekerjaan yang telah dilakukan dengan baik, maka petunjuk ini istimewa pentingnya. Hanya secawan kopi di kafe kesukaan anda atau 15 minit membaca sebelum anda melompat ke bilik mandi, tetapi sekali anda telah menyelesaikan kerja keras anda untuk bangun dari tempat tidur anda yang empuk dan nyaman itu, berikan diri anda sendiri sedikit hadiah.

Diharap cara dan langkah-langkah di atas mampu memotivasikan anda untuk bangun subuh. Apatah lagi sebagai seorang muslim, yang mana kita disarankan untuk bangun awal pagi untuk menunaikan ibadat wajib sebelum apa-apa kerja yang lainnya.

Anak muda, bab solat subuh ni memang problem. Baik teruna mahupun dara. Rasa berat 'giler' nak bangun dari keheningan pagi yang sejuk. Nak angkat selimut tu aduhaii, lagi berat daripada nak angkat dumbell.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: