Adab Memandikan Bayi Baru Lahir


Bayi baru lahir adalah khalifah Allah yang baru menjengah alam dunia selepas lebih sembilan bulan tinggal di alam rahim. Justeru ibu bapa yang beragama Islam mestilah menyambut kelahirannya mengikut cara yang dianjurkan oleh Islam.

Antara yang mungkin kita semua tidak beri perhatian adalah tatacara memandikan bayi baru lahir iaitu dari usia sehari hingga 40 hari. Dalam tempoh ini, kaedah mandian memainkan peranan penting dalam membentuk aliran darah dan pembentukan tulang yang baik.

Ramai orang terlepas pandang. Zaman ini ramai yang suka gunakan kapas lembab (wet nappy) untuk lap najis bayi tanpa mencuci dengan air. Apabila memandikan bayi, jangan terus masukkan badan bayi ke dalam tab. Cuci dahulu kemaluan bayi depan dan belakang menggunakan air mengalir supaya bersih. Tujuannya supaya apabila memasukkan bayi dalam tab, air tidak menjadi air najis kerana kemaluan bayi yang beristinjak tidak dicuci dengan air.

Berikut adab-adab memandikan bayi yang baru lahir :

1. Mandi pada waktu Dhuha

Seeloknya mandikan bayi pada waktu dhuha, kerana pada waktu tersebut fisiologi kitaran darah dan degupan jantung bayi dalam keadaan tenang. Gunakan air yang suam.

Waktu Dhuha secara purata bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan waktu tamat Dhuha adalah ketika matahari tegak di atas kepala iaitu lebih kurang 9 minit sebelum masuknya waktu Zuhur.

2. Siraman pertama

Siraman pertama perlu dimulakan ke atas belakangnya secara perlahan-lahan, kemudian baru disiramkan ke kaki, seterusnya naik ke bahagian punggungnya.

3. Belaian dan gosokan lembut

Belaian dan gosokan lembut memainkan peranan penting semasa memandikan bayi. Ini akan membuatkan pengaliran darah bayi lancar dan baik. Siraman disertakan dengan sapuan sabun yang sesuai untuk bayi.

4. Siraman bahagian belakang

Seterusnya siram dari belakang hingga ke kepala. Siraman di kepala dilakukan secara perlahan, supaya air tidak mengalir masuk ke dalam lubang telinga. Semasa menyiramkan air di belakang kepala ke bahagian hadapan dahi, tangan digunakan untuk menggosok dahi.

5. Sebaiknya dimandikan bapa

Sebaiknya tugas memandikan bayi dilakukan oleh bapa. Sambil memandikan, hati berzikir Ya Laatif, Ya Haadi.

6. Jangan siraman pada muka bayi

Pastikan siraman tidak dilakukan pada muka bayi kerana ia boleh melemaskan bayi serta menyebabkan lubang hidungnya lembap seterusnya mudah selesema atau jangkitan kuman.

7. Siraman terakhir

Siraman yang terakhir, dilakukan ke atas dada seterusnya hingga ke bawah. Tidak digalakkan menyapu sabun pada bahagian hadapan tubuh bayi usia ini, kerana bimbang air dan sabun menyebabkan bahagian pusatnya lembap dan seterusnya melambatkan proses ‘gugur’ tali pusat.

8. Lap bayi dengan tuala bersih

Selepas selesai mandi, lapkan seluruh badan bayi dengan tuala yang bersih. Cara mengelap dimulakan dari kepala kerana kelewatan mengelap bahagian kepala boleh menyebabkan kepala dan ubun-ubun bayi basah serta membawa masalah paru-paru lemah.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: