Jangan Tidur Selepas Waktu Asar Dan Sebelum Isyak


Jika tidur selepas solat Subuh ditegah begitu juga kita ditegah tidur selepas waktu Asar dan sebelum solat Isyak yakni selepas waktu Maghrib sekiranya tiada hal mendesak seperti kerja syif atau musafir.

Jangan tidur selepas waktu Asar

Qailullah - tidur seketika pada waktu siang (sebelum atau selepas zohor), seumpama mengecas semula bateri kehidupan untuk beramal pada malam hari.

Namun jangan pula tidur di siang hari terlalu lama, lebih-lebih lagi pada waktu petang iaitu selepas Asar, kerana ia bakal mengundang pelbagai penyakit.

Ibn Qaiyyim al-Jauziyyah menukil :

“Tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya), malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar).”
Setengah ulama mengatakan :

“Sesiapa yang tidur selepas Asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain daripada dirinya sendiri."

Menurut Ustaz Kazim, wanita yang suka tidur selapas Asar boleh menyebabkan kesan lebam pada tubuh yang disangkakan doktor tanda-tanda kencing manis, tapi sebenarnya tidak. Masalah itu berlaku oleh kerana wanita tersebut suka tidur waktu selepas Asar. Untuk menghindarkan kejadian seumpama ini berlaku, janganlah tidur selepas Asar.

Jangan tidur sebelum solat Isyak

Diriwayatkan dari Abu Barzah r.‘anhu :

”Bahawasannya Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam tidak senang tidur sebelum solat Isyak dan berbual setelahnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Al-Hafizh Ibn Hajar berkaitan dengan hadis ini mengatakan dalam Fath al-Bari :

“Iyadh mengatakan; “Nabi s.a.w tidak suka tidur sebelum Isyak, kerana hal tersebut kadang dapat menyebabkan pelaksanaan solat Isyak keluar dari waktunya atau keluar dari waktunya yang terbaik. Sedangkan berbincang-bincang setelah Isyak terkadang menyebabkan tidur nyenyak sebelum Subuh, tidur pada waktu terbaik mengerjakan Solat Subuh, atau tidak mengerjakan qiyamul lail.
Segera tidur selepas Isyak

Segera tidur setelah Isyak adalah sahih dari Nabi s.a.w dan kebiasaan mulia para sahabat dan solehin terdahulu. Perkara ini merupakan suatu kebiasaan yang baik bagi kesihatan serta memberi semangat serta kekuatan fizikal.

Nabi s.a.w melarang bersembang-sembang setelah Isyak dan selalu mengingatkan para sahabat akan hal tersebut.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda :

“Tidak boleh berbincang-bincang (setelah Isyak) kecuali bagi orang-orang yang melakukan solat atau bepergian.” (Diriwayatkan Ahmad dalam al-Musnad).

Para sahabat Nabi dan orang-orang soleh terdahulu selalu saling memberikan nasihat untuk segera tidur. Mereka tidak mahu berbincang-bincang setelah Isyak.

Diriwayatkan dari Ibn Rafi’ rahimahullah, ia mengatakan :

“Umar bin Khattab pernah mendesak orang-orang setelah agak malam agar cepat pulang ke rumahnya, dan mengatakan: “Berdirilah (dari tempat dudukmu untuk segera tidur), semoga Allah memberikan anugerah kepadamu semua, dapat mengerjakan Solat Malam.” (al-Maqrizi, Mukhtashar Qiyam al-Lail).

Ada seorang lelaki datang kepada Hudzaifah bin Yaman r.a ia mengetuk pintu rumahnya setelah Isyak. Hudzaifah keluar menemuinya dan bertanya; “Apa keperluanmu?” Ia menjawab: “Aku ingin berbual denganmu.” Hudzaifah lalu menutup pintu yang ada didepannya dan mengatakan: “Umar telah melarang kami berbincang-bincang setelah Isyak.”

Urwah bin Zubair rahimahullah menceritakan :

"Aku baru sahaja mengerjakan solat Isyak pada akhir waktu. Aku bersama seorang rakan di dalam bilik. Suaraku didengar oleh Aisyah r.ha (ibu saudaranya). Mendengar perbicaraanku, padahal antara kami dengannya dibatasi dinding, Aisyah berkata; “Hai Urwah, mengapa kamu berborak? Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w tidur sebelum solat (Isyak) dan tidak pernah berbincang-bincang setelahnya. Terkadang baginda langsung tidur dan selamat, atau kadang baginda solat sehingga baginda mendapatkan keuntungan.”
Dari Amrah, dia mengatakan bahawa apabila mendengar salah seorang keluarganya berborak setelah Isyak, Aisyah r.ha berkata; "Tidurlah dan jangan berbicara agar malaikat yang mencatat amal kamu dapat berehat.” Aisyah juga berkata; "Tidak boleh berjaga setelah Isyak kecuali bagi tiga orang, orang musafir, orang yang bertahajjud atau suami yang mencumbui isterinya (bersetubuh).”

Ketagihan internet terutama kepada rangkaian sosial (social networking) adalah satu kepincangan minda yang sukar diubati. Ia menjadi buruan manusia yang berjiwa kosong dan dahagakan perhatian tambahan di alam maya

Beberapa pengecualian tidur selepas Isyak

Walaupun kita disuruh untuk segera tidur selepas mengerjakan solat Isyak, namun demikian ada beberapa pengecualian :

1. Berbincang-bincang dengan tamu yang menginap di rumah, namun demikian diusahakan tidak terlalu lama sehingga tidak harus meninggalkan solat Malam dan solat Subuh pada waktu terbaiknya. Perbincangan itu dilakukan seperlunya sahaja.

2. Berbincang-bincang setelah solat Isyak untuk menghafal dan mengkaji ilmu dengan syarat tidak meninggalkan solat Subuh kerana tidak tidur tersebut. Apabila sampai meninggalkan solat Subuh, maka haram baginya tidak tidur, walaupun untuk mencari ilmu atau untuk membaca Al-Quran.

3.Berbual setelah Isyak bersama isteri atau mencumbuinya. Dengan syarat tidak terlalu berlalai sehingga menyebabkan tidak melakukan solat malam.

4. Berbincang-bincang setelah solat Isyak untuk membicarakan kemaslahatan umat Islam seperti memikirkan keadaan umat dan rakyat.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: