Rata-rata kebanyakkan orang mengukur kejayaan seseorang dari segi berapa banyak wang yang dia simpan, berapa banyak harta yang dia kumpul, apa jenis kereta yang dia pakai, apa pekerjaan yang dia buat, apa jenis rumah yang dia duduk dan seumpamanya.
Tidak dinafikan, duit dijadikan sebagai ukuran kejayaan seseorang.
Namun betapa stressnya hidup ini bila matlamat hidup hanya ditumpukan hendak capai ada banyak duit supaya nanti dinilaikan sebagai orang yang berjaya.
Kehidupan yang stress nak kumpul duit banyak-banyak, buat banyak kerja tetapi dalam keadaan tidak disedari, diri menjadi sibuk dan tidak mendapat ketenangan. Ini lebih kepada untuk diri sendiri sahaja.
Apa yang buat mula tersedar dan tersentak bila mengingat semula riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w.
Walaupun baginda sudah meninggalkan kita lebih 1400 tahun dahulu tetapi sampai ke hari ini baginda adalah manusia yang paling berjaya dalam sejarah manusia.
Baginda s.a.w menjadi manusia yang ranking nombor satu berjaya dan nombor satu pemimpin dunia dan lagenda. Ini diakui oleh orang bukan Islam sendiri.
Persoalannya, adakah kejayaan Nabi s.a.w, dinilaikan dari segi duit atau harta?
Tanpa kita sedari, Baginda sebenarnya memandang lebih jauh lagi bukan seperti kita yang misi dan cita cita nak jadi berjaya dengan mencari dan mengumpul banyak duit supaya orang melihat kita berjaya.
Apa yang Rasulullah s.a.w buat?
Baginda jadikan dirinya ibarat pelita yang menyinari semua manusia, jadikan dirinya ibarat roti yang memberi kenyang pada semua orang, jadikan dirinya ibarat buku yang memberi ilmu kepada semua orang.
Pandangan jauh Nabi Muhammad s.a.w membuatkan kita sehingga hari ini berterima kasih kepada Baginda dan sentiasa rindu kepadanya atas pengorbanannya. Jika tidak, masakan waktu baginda nazak dan menghampiri kewafatannya masih menyebut umatnya (yakni kita).
Kita hari ini tidak tahu, bahawa baginda s.a.w sentiasa berlapar. Mengadu kepada Allah, “Ya Allah, aku lapar..” sehingga rintihan Rasulullah s.a.w didengari malaikat lalu malaikat turun bertanya kepada Rasulullah beritahu sahaja dan malaikat boleh jadikan gunung menjadi emas.
Tetapi Rasulullah s.a.w bukan inginkan kekayaan emas dan harta. Apa yang baginda beritahu kepada malaikat ialah dia mohon Allah ampunkan semua umat-umatnya (yakni kita).
Begitulah betapa jauhnya baginda melihat masa depan sehingga hari ini kita mengenali dan merinduinya. Baginda tidak merintih seperti kita yang sentiasa kekenyangan di waktu malam. Merintih kerana diri ini tidak jadi kaya seperti orang lain.
Baginda merintih untuk kehidupan kita menjadi selamat. Baginda tahu dan takut betapa hebatnya seksaan Allah di akhirat kelak dan baginda amat risau terhadap nasib umatnya yakni kita.
Jadi, adakah kejayaan baginda diukur daripada emas, wang dan harta?
Jawapannya, TIDAK!
Apa yang perlu kita buat untuk mendapat kejayaan yang hakiki?
Setiap malam bermohon kepada Allah untuk membimbing diri kita menjadi orang yang sentiasa berguna kepada masyarakat. Tentu sekali kemampuan kita amatlah terbatas.
Banyak kegagalan yang kita lalui sebelum ini dan menjadikan diri akur bahawa tidak ada kuasa yang lebih hebat boleh membantu melainkan Allah. Dalam pencarian erti kehidupan dan mencari peranan kehidupan ini, banyak dugaan dan hinaan yang diberikan oleh orang yang sudah berjaya dan sempurna.
Sehinggalah suatu hari, Allah memberi ilham dan kita dapat rasakan kekuatan yang ada dalam diri tentang apa yang perlu dilakukan. Kita dapat rasakan bahawa diri ini sudah ada harapan untuk menjadi orang yang berguna.
Dengan izin Allah, kita ambil inspirasi daripada kisah para-para sahabat Rasullullah yang berjaya. Insya Allah, anda akan saksikan ada peningkatan dalam hidup anda.
Kesimpulannya, jangan mengukur kejayaan dengan berapa banyak wang ringgit yang ada. Jangan ukurkan kejayaan dengan kereta apa yang dipakai, rumah apa yang dimiliki. Kerana itu semua akan buat anda akan kerja lebih stress dan macam orang gila.