8 Tip Mudah Menghafal Al-Quran Bagi Orang Awam (Bukan Pelajar Madrasah)


Selalu kalau kita tengok video budak-budak boleh hafal surah-surah panjang dari al-Quran, kita akan rasa kagum. Kemudian kita akan fikir, memanglah budak-budak mudah menghafal, sebab dia tak ada benda lain untuk difikirkan.

Kawan, kita sudah silap besar! Kalau budak boleh buat, secara logiknya, kita yang sudah dewasa pastinya lebih mudah nak buat apa yang budak boleh buat, bukan? Budak tak pandai seterika baju, kita pandai! (itu contoh yang terkeluar landasan sikit).

Nak hafal? Boleh cuba, mulakan dengan surah yang mudah dahulu. Dikongsikan di bawah ini beberapa tip, semoga bermanfaat. Semua orang mampu hafaz al-Quran. Tidak semesti untuk pelajar Tahfiz sahaja.

Berikut 8 tip mudah menghafal al-Quran bagi orang awam (bukan pelajar Madrasah) :

1. Pilih surah atau ayat yang kita suka

Pilih surah yang kita boleh amalkan sekerap mungkin. Sebagai contoh, bermula dengan surah Al-Mulk, 30 ayat. Bila sudah hafal, pilih surah lain pula. Tak ikut susunan pun tak apa. Bukannya ada exam pun.

2. Baca bagi lancar dan betul sebelum mula hafal

Apps al-Quran bersepah sekarang. Siap boleh pilih qari yang 'power-power'. Baca sekali dengan makna ayat, sebab kita dengan mudah boleh kaitkan perkataan dan makna itu dalam kepala kita masa nak baca tanpa tengok kemudiannya. Ada orang memilih pakai terjemahan Bahasa Indonesia, sebab yang Bahasa Melayu bercampur aduk dengan tafsir.

3. Selalu dengar surah yang kita mahu hafal

Maksud selalu itu bergantung pada individu. Lagu, Hang Pi Mana di radio masa zaman kegemilangan dia dulu boleh jadi kayu pengukur perkataan 'selalu'. Pantang buka radio saja mesti ada! Sebagai contoh, 3 kali pusing satu kali sehari. Tak perlu banyak-banyak. Kita bukannya budak sekolah tahfiz.

4. Hafal sedikit demi sedikit

Satu hari boleh hafal satu ayat pun sudah cukup. Kalau sampai 3 ayat sudah kira power. Tak payah pulun banyak-banyak ayat sekaligus. Hafal laju-laju nak pi mana? Macam cakap tadi, kita bukan budak sekolah tahfiz. Chill sahaja!

5. Tidur

Bila kita sudah hafal satu dua ayat, dia akan terapung-apung dalam otak kita. Bila kita tidur, yang terapung-apung tadi akan mendap. Dia akan terselit di mana-mana. Jadi, jangan frust bila sudah ingat dua tiga ayat then lupa balik. Tidur dulu, Insya Allah bangun tidur nanti dia 'register' masuk.

6. Pilih masa yang sesuai untuk hafal

Orang kata masa paling sesuai adalah sebelum masuk waktu solat Subuh. Susahlah nak hafal macam itu kalau kita bangun Subuh nak dekat pukul 7, kan? Ada yang kata lepas Maghrib. Sebenarnya masa paling sesuai itu bergantung pada individu. Ada orang menghafal paling masuk masa memandu. Lagi masuk kalau memandu jarak jauh. Boleh cuba tengok.

7. Bawa dalam solat ayat atau surah yang sudah berjaya hafal

Tak bawa selalu pun tak apa. Yang pentingnya kita selalu ulang baca dan hafal untuk sentiasa ingat.

8. Baca daripada satu sumber saja

Maksudnya, kalau pakai satu al-Quran itu jangan pakai yang cetakan lain. Kalau pakai satu apps itu, jangan tukar apps lain. Sebab kita manusia ini sedar tak sedar memang ada 'photographic memory'. Cuma berbeza tahap kecekapan sahaja.

      Baca : 4 Saranan Bagi Mereka Yang Dilantik Menjadi Imam

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Apabila sudah hafal satu dua surah, kita akan sedar bahawa sebenarnya menghafal surah baru adalah lebih mudah daripada mengingati semula surah yang sudah dihafal sebelum ini. Jadi, kenalah teruskan menghafal. Insya Allah pahala bertimbun-timbun, berbukit-bukau, bergunung-ganang untuk kita. Asalkan niat betul semata-mata kerana Allah.

Alhamdulillah, diberi kemudahan untuk menghafal. Dan menghafal al-Quran patut jadi sesuatu untuk semua orang yang beragama Islam, bukan setakat terpasung di pusat tahfiz sahaja. Mulakan perjalanan anda sekarang. Insya Allah, tak dapat banyak, dapat sikit pun memadai, asalkan dapat. Sebab fadilat menyimpan al-Quran di dada ini sangatlah besar.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: