10 Sebab Kenapa Anda Kena Segera Cari Jodoh


Kenapa kahwin lambat? Usia sudah memasuki tiga atau empat siri pun masih belum berkahwin? Masih lagi belum ada partner till Jannah. Mungkin anda tak ada lagi jodoh "till Jannah" yang sesuai lagi sampai sekarang. Kan best kalau boleh order partner pilihan dekat Ebay ke Amazon ke atau Lazada. Yang menepati citarasa kita dan juga keluarga?

Berikut 10 sebab kenapa anda perlu cepat cari jodoh :

1. Mengikut sunnah Nabi s.a.w berkahwin

Nabi Muhammad s.a.w berkahwin dan berkeluarga pada usia 25 tahun bersama Ummu Mukminin Sayyidatina Siti Khadijah rodiallahu 'anha. Semoga kita mendapat keberkatan dengan mencontohi sunnah yang telah ditunjuki oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

2. Dapat memenuhi fitrah sebagai manusia

Antara tujuan berkahwin adalah untuk memenuhi fitrah manusia yang berakal dan bernafsu. Mereka yang berkahwin awal akan dapat bermanja-manja, bermesra-mesra dan merasai belaian kasih sayang sesama suami isteri. Hal ini akan menyebabkan jiwa akan jadi lebih tenang, tenteram dan bahagia. Bagi yang belum berkahwin, mungkin ahli keluarga dan rakan-rakan menjadi peneman. Tetapi ingat, ahli keluarga dan rakan-rakan itu juga akan berkahwin kelak!

3. Lebih cepat melahirkan zuriat penyambung keturunan

Untuk melahirkan zuriat yang sah, seseorang itu perlulah berkahwin. Jika berkahwin lewat, maka lewatlah untuk mendapat zuriat. Mungkin bila kita sudah berusia tua atau sudah pencen tetapi anak masih kecil dan bersekolah. Masa itu perlu gigih mencari wang untuk pastikan persekolahan serta pendidikan anak lancar. Sebaliknya, jika berkahwin di usia muda, kita tidak perlu terlalu gigih untuk bekerja di lewat usia kerana anak-anak sudah bekerja. Sebaliknya, pada masa itu kita sudah boleh berbulan madu semula!

4. Elak dosa zina, maksiat mata dan lain-lain

Bagi mereka yang berkahwin lambat, mereka lebih terdedah kepada dosa zina terutamanya zina mata dan hati. Mereka mungkin lebih cenderung untuk melihat sesuatu yang boleh merangsang nafsu tetapi tidak dapat melunaskannya di tempat yang betul. Jadi, Islam menyarankan mereka yang masih belum berkahwin agar berpuasa bagi menahan nafsu. Maklum sahajalah, syaitankan telah berjanji untuk mengganggu anak Adam dari kiri, kanan, depan dan belakang.

Bagi yang berkahwin awal, nafsu dapat disalurkan ditempat yang paling betul! yakni yang halal malah memperolehi pahala pula jika niatnya kerana Allah s.w.t. Apapun, sentiasalah tundukkan pandangan dan menjaga semua pancaindera kita kerana semuanya akan dipersoalkan kelak di akhirat.

5. Emosi lebih stabil

Bagi mereka yang berkahwin awal, emosi mungkin lebih stabil berbanding mereka yang belum berkahwin. Hal ini kerana mereka yang berkahwin lewat tidak mendapat belaian kasih sayang dan perhatian dari insan yang dicintai seperti mereka yang sudah berkahwin yang boleh bermanja-manja dan berkasih sayang dengan cara halal. Selain itu, suami atau isteri akan sentiasa menjadi peneman setia, penyejuk mata, penawar di hati dan perawat emosi.

Ya, masalah di antara suami isteri pasti akan timbul. Tetapi dengan ilmu dan tolak ansur, semuanya akan dapat diatasi dengan jayanya. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.

6. Pemikiran lebih matang

Bagi mereka yang berkahwin di usia muda, fikiran mereka menjadi lebih matang kerana wujudnya rasa tanggungjawab untuk menjaga dan memastikan pasangan serta anak-anak (ahli keluarga) sentiasa mendapat keperluan yang sempurna. Mereka yang telah berkahwin lebih berhati-hati dalam merancang dan membuat sebarang keputusan kehidupan.

7. Hidup lebih berwawasan dan teratur

Berkahwin awal dapat membuatkan seseorang lebih berwawasan seperti ingin memajukan institusi kekeluargaan. Mereka akan menjadi lebih bijak dalam menyusun ekonomi keluarga, pendidikan anak-anak, kesihatan ahli keluarga dan pelbagai lagi. Aktiviti yang ingin dilakukan akan dibincangkan atau melakukan "mesyuarat keluarga" terlebih dahulu dengan pasangan.

8. Hubungan seks yang lebih berkualiti

Anda pasti tahu dan yakin tenaga di usia muda lebih kuat berbanding di usia yang lewat. Di usia mudalah ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Mengikut kajian perubatan juga, antara faktor kemandulan adalah lewat berkahwin. Bagi wanita pula, selepas usia 40 tahun, anda mungkin dinasihatkan untuk tidak mengandung atas faktor kesihatan serta komplikasi semasa hamil dan bersalin.

9. Titik perubahan dalam menambahbaik diri

Semasa bujang dulu, kita mungkin dibelenggu sifat malas dalam banyak hal, seperti selalu bangun lewat dan panas baran. Tetapi, selepas berkahwin, sikap negatif itu dapat dikikis sedikit demi sedikit. Mungkin dulu kita malas nak mengemas rumah dan memasak, selepas berkahwin segalanya mungkin berubah. Kalau tak percaya, cuba tanya mereka yang sudah berkahwin.

10. Dapat menjadi anak yang soleh

Mereka yang berkahwin awal biasanya akan menjadi lebih bersifat lembut hatinya. Mengapa jadi begitu? Sebenarnya, bila sudah berkahwin dan mempunyai anak, hati kita akan jadi lebih sensitif tentang isu kekeluargaan. Kita akan rasa ibu, ayah dan adik-beradik itu penting sebab kita pun sudah jadi suami atau isteri. Jadi, sebagaimana kita hendak anak-anak kita berlemah-lembut dan sentiasa mendoakan kita, seperti itulah kita akan berdoa yang terbaik untuk ibu bapa kita.

Kita akan melihat dan merasai sendiri betapa besarnya pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anaknya. Semua ini akan memberikan keinsafan dan “wake up call” untuk kita menjadi anak yang baik kepada ibu bapa tercinta.

      Baca : 7 Penderaan Senyap Yang Ramai Ibu Bapa Lakukan Pada Anak Mereka

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Peringatan untuk anda yang masih mencari jodoh agar jangan terlalu terdesak untuk berkahwin dan main rembat saja jodoh-jodoh yang ada. Disebabkan nak ikut trend, kena kahwin juga walau macam manapun. Anda nak hidup dengan orang itu bukan sehari dua, tapi insyaAllah sampai mati. Dan bagi mereka yang tengok orang yang kahwin lambat ini mungkin terdetik di benak mereka, kerana terlalu memilih ke, balasan ke, saja-saja ke atau apa ke, tolong simpan saja perasaan jahat itu jauh-jauh. Lebih baik, doakan mereka mendapat jodoh yang baik macam anda juga. Doakan yang baik-baik kerana orang yang berdoa pun turut sama dapat pahala. Lebih-lebih lagi doa kebaikan untuk seseorang di luar pengetahuannya, memang mudah makbul.

Jangan fikir yang bila sudah kahwin itu, sudah tercapai life goal anda. Kahwin itu memang sunnah, tapi life goal utama adalah Allah. Semua kerana Allah dan hanya untuk Allah. Buat yang wajib, cantikkan amalan dan selalu tanam dalam diri, kalau tak dapat jodoh di dunia, InsyaAllah Allah simpan untuk kita di akhirat nanti.

Jadi, kepada anda yang sudah tiga atau empat siri tetapi masih juga single dan belum mendirikan rumah tangga, enjoy dan chill saja. Fikir positif dan renungi hikmah yang tersembunyi antaranya Allah s.w.t bagi anda masa untuk memperbanyakkan amal ibadah bekalan akhirat dan mendekati diri dengan-Nya dan berbakti kepada keluarga.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: