Al-Ahnaf bin Qais, dilahirkan di Bashrah, Iraq. Beliau tergolong dari golongan Tabi'in yang berilmu dan pemimpin kaumnya. Dalam sejarah tercatat bahawa beliau pernah berguru kepada Saidina Umar Al-Khattab, yang juga merupakan Khalifah ketika itu.
Nama asal beliau adalah Dhahhak atau dalam riwayat lain namanya adalah Shakhr. Namun beliau lebih dikenal dengan nama Ahnaf yang bermaksud 'kaki bengkok'. Sehingga, julukan tersebut seolah-olah telah menjadi nama asalnya. Namun demikian, kekurangan tersebut tidaklah menghalanginya untuk menjadi tokoh yang dihormati kerana keilmuan dan kepemimpinannya.
Pada suatu hari datang seorang pemuda dari suku Tai’yi berkunjung ke rumahnya. Rumah Al-Ahnaf bin Qais memang sentiasa dikunjungi oleh orang ramai, terutama oleh anak-anak murid dan sahabat-sahabatnya. Mereka sekalian menziarahinya dengan tujuan untuk menuntut ilmu dan bertanyakan kemusykilan agama.
Kedatangan pemuda itu menarik perhatian Al-Ahnaf kerana dia kelihatan sangat segak dan tampan. Ini sekaligus menjadikan pemuda itu kelihatan lebih berketerampilan dan berlainan daripada pemuda sebayanya.
Lalu ia pun bertanya;
“Wahai orang muda, adakah engkau menghiasi wajahmu dengan sesuatu?"
"Benar tuan, sungguh saya ada menghiasi wajah saya dengan sesuatu,” ujarnya dengan sopan serta ringkas.
Pemuda itu menyambung lagi;
“Jika saya bercakap saya tidak bohong. Jika ada orang sedang bercakap saya mendengar. Jika saya berjanji saya tepati dan jika saya diberikan sesuatu amanah saya tidak khianat.”
Mendengar jawapan itu, maka berkatalah Ahnaf;
“Benar seperti katamu wahai orang muda, sungguh engkau telah menghiasi dirimu dengan akhlak yang mulia.”
Allahu a'lam.