Memakai Tongkat Adalah Sunnah Para Nabi


Memakai tongkat merupakan sunnah Baginda Habibuna s.a.w dan sunnah para Anbiya a.s. Mungkin segelintir masyarakat memikirkan memakai tongkat ini tanda keuzuran dan melambangkan usia sudah tua lanjut.

Oleh itu ia merasa malu untuk memakai tongkat sedangkan memakai tongkat merupakan sunnah para Anbiya a.s dan tanda orang beriman yang mengamalkan sunnah penghulu segala Anbiya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Antara jenis tongkat Baginda s.a.w ialah Mikhsharah, Kadhib dan al 'Anazah.

Di dalam Kitab Bustanul Arifin karangan Imam Nawawi rahmatullah 'alaih menceritakan Imam Syafie rahmatullah 'alaih, apabila masuk umur 40 tahun beliau telah memakai tongkat. Orang ramai bertanya; "Apakah tuan imam ada sakit?" "Tidak!" Jawab Imam Syafie.

Orang ramai pun bertanya lagi; "kenapa tuan imam memakai tongkat?" Imam Syafie menjawab; "saya memakai tongkat untuk ingatkan saya, perjalanan saya sudah hampir tamat."

Ada ketika juga di waktu yang lain Imam Syafie, apabila ditanya hal yang sama beliau akan menjawab; "Biarlah aku sentiasa ingat yang aku kini sedang berjalan menuju akhirat." Subhanallah!

Umur kita semakin meningkat sedang berjalan menuju akhirat, namun kita masih leka dari membuat persiapan. Tidak mahu memikirkan kehidupan akhirat sedangkan alim ulama kita setiap saat memikirkan akhirat.

Ulama menganjurkan memakai tongkat pada usia menjelang 40 tahun agar semakin ingat dengan akhirat. Supaya bertambah rendah diri dan hilang kesombongan dan kemegahan diri seperti yang dicontohkan oleh Imam Syafie.

Semoga kita semua dapat mencontohi keperibadian Nabi kita Baginda Muhammad s.a.w. Janganlah kita merasa malu memakai tongkat bila menjelang usia 40 tahun kerana dengan mengamalkan amalan sunnah memakai tongkat maka akan bertambah kerisauan kita pada akhirat.

Wallahu 'alam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: