Apabila sudah lama menjalinkan sesuatu perhubungan, kadang kala kita tidak sedar bahawa tingkah laku kita mengundang keretakan dan perpecahan. Ada pasangan yang kekal bersama walaupun sudah tidak ada perasaan cinta kerana tidak sedar mereka sudah lama memasuki fasa keretakan dalam hubungan.
Jika anda ada melakukan perkara-perkara di bawah ini, mungkin anda perlu fikirkan kembali sama ada cinta antara anda dan pasangan masih ada dan mampu bertahan?
Berikut 5 sikap jadi petanda cinta anda dan dia bakal berakhir :
1. Asyik kira 'markah'
Setiap kali anda dan si dia bertengkar, mesti salah satu pihak akan mengungkit kesalahan lama. Kalau kesalahan itu baru berlaku semalam tak mengapa, tetapi kalau perkara yang sudah berlaku tiga tahun dulu pun masih nak diungkit itu menunjukkan tanda perhubungan yang tidak sihat.
Anda dan pasangan anda juga saling mengumpul 'markah' untuk dijadikan modal pertengkaran akan datang. Sikap ini amat meletihkan mental dan fizikal anda dan pasangan. Sebabnya, anda terlalu fokus untuk mengingati kesalahan yang pernah dilakukan oleh si dia sehingga anda tidak lagi menghargai momen-momen manis, indah atau penting sewaktu bersama.
Jadi, cuba fikirkan dalam-dalam. Adakah kalian masih bersama hanya kerana masing-masing tak mahu kalah dan call it quit?
2. Terlalu banyak sarcasm dalam komunikasi
Bila ada rasa tidak puas hati, anda tidak cuba untuk berterus-terang kepada pasangan. Sebaliknya, anda menggunakan ayat-ayat pedas untuk menyakitkan hati si dia. Dengan berbuat demikian, anda berasa puas untuk seketika.
Namun, bila pasangan anda buat tak faham, anda sendiri yang akan makan hati pula. Jika inilah rutin komunikasi anda dan pasangan, hubungan anda dan si dia sedang memasuki fasa keretakan. Percayalah, bertengkar secara nyata sekali-sekala adalah lebih baik jika anda mahu memahami satu sama lain.
3. Hanya tahu beli penyelesaian
Setiap kali anda berkonflik, satu-satunya penyelesaian ialah si dia 'membelikan' anda ganjaran atau sebaliknya. Penyelesaian ini bersifat sementara kerana isu yang perlu diselami tidak diselesaikan dan sekadar dikaburi. Sekali dimulakan, sikap ini akan menjadi kebiasaan dan menyebabkan hubungan anda bergantung kepada materialism semata-mata.
Secara tak sedar, membeli penyelesaian setiap kali berlaku konflik bermakna anda cuba mengelak berhadapan dengan masalah dan enggan berusaha memperbaiki komunikasi dan hubungan sekarang.
4. Cemburu buta berpanjangan
Mengawal tingkah laku dan pergaulan pasangan sehingga menyebabkan pasangan rasa tersepit merupakan tindakan yang tidak sihat. Anda tidak mengizinkan si dia lepak bersama teman-temannya kerana tak mahu dia merokok atau memarahinya berpakaian cantik kerana takut menarik perhatian lelaki lain bukanlah cara menunjukkan kasih sayang anda kepadanya.
Sebaliknya, sikap control freak anda itu akan mengundang si dia untuk menipu supaya dia dapat melakukan perkara yang dihajati tanpa membuat anda marah. Perasaan cemburu itu asasnya normal dan sihat untuk sesebuah perhubungan. Namun cemburu buta boleh mendatangkan pelbagai komplikasi dari segi sosial, psikologi dan fizikal. Ingat, anda juga perlu hidup dengan tenang dan fokus kepada komitmen-komitmen anda yang lain.
5. Perlu korbankan kegembiraan sendiri
Matlamat hidup anda hanya mahu menggembirakan si dia. Anda sanggup berbuat apa sahaja, termasuk mengorbankan masa dan wang ringgit supaya mood pasangan anda sentiasa baik. Setiap kali si dia marah atau tidak gembira, anda akan merasakan bahawa anda telah membuat kesilapan besar. Anda juga perlukan validation dari pasangan sekiranya anda mahu berasa gembira melakukan sesuatu yang anda minat.
Jika anda sampai perlu memaksikan kegembiraan anda kepada seorang individu, itu bukanlah kebahagiaan yang sebenar. Kegembiraan dalam percintaan ialah perasaan yang perlu dikongsi, maka kalau dia tidak gembira atas kegembiraan anda, sudah masanya anda bersedia untuk angkat kaki.