Kisah Tentang Maulana Ilyas Buat Usaha Agama Ke Atas Penduduk Mewat


Di dalam salah satu misi dakwahnya, Maulana Muhammad Ilyas Al-Khandalawi rahmatullah 'alaih (1885-1944) telah membelai bahu seorang lelaki Mewat dengan penuh rasa persaudaraan Islam. Dengan tidak semena-mena, lelaki tersebut melenting kemarahan lalu memakinya dengan kata-kata,

“Kalau kamu sentuh aku lagi dengan tanganmu, akan ku belasah kamu!”

Dengan tenang dan sabar, Maulana Ilyas pun membongkok ke kakinya seraya berkata,

“Akan tetapi, kamu tidak melarang saya menyentuh kakimu?”

Dalam kisah yang lain, Maulana Ilyas telah pergi kepada seorang petani Mewat untuk mendakwahkan kepada lelaki itu tentang kepentingan kehidupan beragama. Lelaki tersebut langsung tidak menghiraukan kata-kata Maulana. Sebaliknya pula, beliau dengan tidak semena-mena telah melepaskan satu tumbukan yang kuat kepada Maulana.

Maulana yang berbadan kecil dan sememangnya lemah itu telah terhumban dan jatuh ke bumi. Seketika menahan kesakitan, Maulana pun segera berdiri lalu memegang bahu lelaki tersebut, seraya berkata,

“Sekarang kamu telah selesaikan kehendakmu. Dengarlah apa yang hendak ku perkatakan!”

Demikianlah hidup seorang daie yang tiada mengenal dendam kesumat. Sebaliknya beliau hanya meminta untuk didengar dengan penuh kesabaran. Lalu tersentuhlah hati kecil lelaki Mewat itu.

Tiba-tiba ia melutut seraya berkata memohon keampunan dari Maulana dengan mengatakan bahawa sekiranya ia tidak diampunkan maka ia akan dilaknat buat selama-lamanya.

Salah seorang rakan seperjuangan Maulana Ilyas datang menziarahi rumahnya untuk mengucapkan takziah di hari kematian Maulana. Rakannya telah menyampaikan pesan kepada isteri Maulana sambil memintanya menceritakan sesuatu mengenai Maulana.

Berikut ialah jawapan isteri Maulana Ilyas :

“Setelah daku mengahwininya, aku telah datang untuk tinggal bersama-sama denganya. Aku dapati Maulana jarang-jarang sekali tidur malam. Aku dapat mendengarnya mengerang-ngerang di atas pembaringannya. Pada suatu hari, aku menanya sebab tidurnya sering terganggu. Beliau menghela nafas yang panjang seraya menjawab;

“Sekiranya kamu mengetahui akan penderitaanku dan berkongsi dengan kerungsinganku nescaya aku tidak keseorangan lagi. Dan kedua-dua kita akan berjaga sepanjang malam...”

Pada bulan September 1929, seorang Sheikh telah membuat satu lawatan ke Mewat untuk menyaksikan sendiri arus kebangkitan Islam yang menjadi bualan ramai.

Di dalam perjalanannya, beliau telah terserempak dengan satu jemaah dari Mewat yang sedang dalam perjalanan untuk bertabligh. Beliau mengisyaratkan agar mereka berhenti dan bertanya;

“Apakah maksud semua ini?” Jawab orang Mewat tersebut;

“Ada suatu ketika di dalam hidup kami di mana kami tidak mengenali akan Tuhan mahupun Nabi kami sendiri. Semoga Allah merahmati Maulana yang telah menunjukkan kami kepada jalan yang benar. kini kami hanya mahu menyampaikan perutusan yang baik ini kepada semua orang."

Semangat Maulana Ilyas yang keras membolehkan Maulana melepasi setiap rintangan yang dihadapi. Maulana sering berjalan kaki merentas liku-liku lembah Mewat sejauh 25 batu tanpa berhenti untuk berihat, minum atau pun makan. Maulana tidak ada masa untuk menjaga kesihatannya sendiri kerana sibuk dengan usaha dakwah.

Seringkali Maulana meninggalkan Nizamuddin pada hari Jumaat selepas makan tengahari dan makan makanan berikutnya pada hari Ahad. Di malam hari Maulana akan berjaga sepanjang malam. Di siang hari mendaki gunung ganang serta merentasi dataran mewat yang kering kontang. Melihatkan rakan-rakan yang keletihan, Maulana memberi targhib;

“ Tiadalah Tuhan itu melainkan disebalik gunung Mujahadah. Barangsiapa ingin menemui-Nya, akan mendapati-Nya di sana...”

Berkat mujahadah dan usaha maulana yang tidak mengenal penat lelah, ijtimak yang pertama telah diadakan di Mewat pada bulan November 1941 dan telah Berjaya menghimpunkan 25,000 orang. Kebanyakan dari mereka telah berjalan kaki sehingga ada yang berjalan sejauh 50 batu semata-mata untuk menghadiri ijtimak tersebut.

Kejahilan orang-orang Mewat yang amat menyedihkan dapat dinilai dari tindak balas yang diterima oleh Maulana ketika menggesa salah seorang dari kaum Mewat untuk berusaha atas Tabligh.

Maka menjawab orang Mewat itu; "Tablid? Apa Tablid?”

beliau tidak berupaya untuk menyebut perkataan yang betul sekalipun. Namun mereka inilah yang pada mulanya jahil tentang istilah Tabligh itu sendiri telah bertukar menjadi pendakwah yang hebat membawa (menghidupkan kembali) kerja Nabi ini ke seluruh pelusuk alam.

Pernah seorang karkun lama Mewat diminta supaya menceritakan suatu peristiwa atau Kalkuzari di dalam pengalamannya berdakwah di jalan Allah.

Kata beliau;

“Pernah sekali, Maulana menghantar satu jemaah yang terdiri daripada tiga orang Mewat untuk pergi ke Moradabad. Saya merupakan salah seorang dari mereka. Setelah sampai di bandar tersebut, maka kami pun telah pergi ke masjid dan beriktikaf di sana.

Selepas solah Maghrib, suatu pengumuman atau iklan telah dibuat agar ahli qariyah tersebut dapat menunggu sebentar selepas solat (sunat ba'diyah Maghrib) untuk membincangkan tentang sesuatu isu agama. Dengan tidak di sangka-sangka, tiada seorang pun yang duduk untuk majlis itu. Maka kami pun menanti keesokan harinya.

Pada ketika yang sama, kami pun memberi pengumuman yang sama. Sekali lagi usaha ini menemui kegagalan. Kesemua ahli masjid telah bangun meninggalkan kami tanpa menunjukkan sebarang minat. Peristiwa ini telah mengingatkanku tentang apa yang biasa dilakukan oleh Maulana.

Beliau telah mengambil janji-setia atau bai’ah dari kami bahawa di saat-saat kesukaran, kami akan mengasingkan diri dari manusia untuk berkhalwah di tempat-tempat yang sunyi dan mengadap pada Allah untuk mendapatkan bantuan-Nya.

Oleh itu, kami telah bermalam satu malam lagi di masjid tersebut dan sebaik saja matahari naik, ketiga-tiga kami telah keluar dari kawasan penempatan itu untuk bermunajat kepada Allah.

Sepanjang-panjang hari itu kami telah bersolat dan berdoa ke Hadrat Allah dan pada lewat petangnya, kami pun kembali ke masjid tadi. Selepas solat maghrib, pengumuman yang sama telah dibuat. Sampai di sini, orang mewat itu tiba-tiba terdiam, seolah-olah ia hendak mendedahkan suatu misteri.

Dan sememangnya ia merupakan suatu misteri. Beliau meneruskan, “kesemua ahli jemaah orang tempatan seolah-olah terpaku di tempat masing-masing. Tidak ada seorang pun yang berdiri umtuk meninggalkan majlis. Wahai rakan-rakanku, beginilah caranya usaha kita akan diteruskan, iaitu dengan Nusrah (bantuan) Allah.”

Sekali pernah sanak saudara Maulana datang dari kampung halamannya iaitu Kandhla. Mereka menziarahinya untuk bertanya khabar tentang kesihatannya. Mengetahui tujuan mereka Maulana berkata;

“Kamu telah mengembara dengan jauh semata-mata untuk bertanya perihal seseorang yang sememangnya dilahirkan untuk mati. Sedangkan agama Nabimu yang kekal abadi itu sedang yatim piatu tidak pula kamu menunjukkan sedikit pun kerisauan mengenainya.”

Ketika maulana sakit tenat, para doktor menasihati maulana agar jangan bercakap-cakap. Tetapi Maulana berkata;

“Aku lebih suka mati ketika mendakwahkan manusia ke Jalan Allah daripada berehat-rehat semata-mata untuk kerehatan diriku sendiri.”

Pada hari Maulana Ilyas rahmatullah 'alaih kembali menemui Rabbnya selepas jenazahnya dimandikan dan sedang disapukan dengan wangi-wangian maka salah seorang dari sahabat akrabnya telah berkata;

“Sapulah baik-baik dahinya dengan wangi-wangian kerana ianya sering berada dalam kedudukan sujud selama berjam-jam lamanya.”

‘Aye Musalmano Musalman Bano’
‘Wahai orang Islam, jadilah orang Islam’ - Maulana Ilyas rah.


Ringkasan tentang Mewat dan penduduknya serta awal usaha Maulana Ilyas

Mewat, suatu dataran tinggi Gangetic di India Utara. Meliputi di tiga kawasan - Nuh, Firozpur Jhirka dan Punhana di jalan Delhi-Alwar. Hari ini penduduk Mewat adalah 75% Muslim kebanyakannya petani. Wilayah itu didiami oleh suku Rajput yang dikenal juga sebagai bangsa Meo.

Kegiatan dakwah yang dikenali Jemaah Tabligh itu lahir dari keprihatinan Maulana Muhammad Ilyas akan 'kerosakan' agama umat Islam di wilayah itu. Ketika itu, iman dan amal umat Islam begitu teruk. Masjid-masjid kosong, tidak lagi disinggahi umat. Tidak hanya itu, Ibadah-ibadah wajib juga telah ditinggalkan oleh kebanyakan umat Islam. Tidak sedikit orang yang mengaku Islam, namun sebenarnya mereka sudah terjatuh ke lembah kemusyrikan.

Maulana Ilyas berpendapat, tiada jalan buat memperbaiki keadaan umat yang sudah demikian parah, kecuali kembali terhadap cara yang dilakukan Rasulullah s.a.w ke atas para sahabat r.hum.

Maulana Ilyas mulai berdakwah dan memimpin suatu aktiviti buat menyeru umat supaya kembali ke jalan Allah s.w.t melalui kegiatan tabligh dengan niat untuk memperbaiki diri, memperbaiki keluarga dan memperbaiki umat di seluruh dunia.

Maulana Ilyas mengawali kegiatan keagamaannya di Mewat, yang mana rata-rata orang Meo adalah Muslim tetapi cuma pada namanya saja. Dalam kehidupan sehari-hari, orang Meo ini lebih banyak menjalankan praktikal sosial-agama menurut kepercayaan Hindu.

Tidak sedikit di antara mereka yang konsisten mempertahankan nama lama Hindu mereka. Malah menyembah dewa-dewa dalam kepercayaan Hindu dan mereka juga merayakan perayaan-perayaan keagamaan Hindu.

Bahkan, biasanya orang Meo tidak dapat mengucapkan kalimah syahadat dengan betul. Apatah lagi dapat melafalkan doa-doa harian. Di samping itu, teramat sedikit kampung di Mewat yang mempunyai tempat ibadah atau madrasah. Program ritual buat kelahiran, perkahwinan dan kematian berasimilasi kepada kebiasaan-kebiasaan Hindu.

Berusaha memperbaiki keadaan umat Islam di Mewat, Maulana Ilyas membina sebuah jaringan sekolah-sekolah agama berbasis tempat ibadah. Tujuannya untuk membina kaum Muslim setempat mengenai keimanan dan amalan Islam yang sebenar.

Dalam waktu yang relatif singkat, beliau berjaya mendirikan lebih dari 100 sekolah agama di wilayah Mewat. Tetapi kejayaan tersebut, justeru mendatangkan kekecewaan dalam diri Maulana Ilyas. Ini kerana maktab yang didirikannya cuma membuahkan apa yang disebutnya sebagai “fungsionaris agama”, bukan melahirkan daie yang ingin mahu mendatangi orang untuk mengingatkan orang tentang tugas-tugas keagamaan mereka.

Selanjutnya, Maulana Ilyas memutuskan buat meninggalkan kedudukannya sebagai pengajar di Madrasah Mazharul ‘Ulum di Saharanpur dan pindah ke Basti Nizamuddin di kota Delhi untuk mengawali misi dakwahnya.

Kegiatan tabligh lewat khutbah keliling itu pun dimulai diluncurkan dengan cara resmi pada tahun 1926 dari wilayah Basti Nizamuddin. Nanti, di wilayah itulah pusat global Jemaah Tabligh berdiri di masjid Bangla Wali, New Delhi sebagai markasnya.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: