Anda tidak lahir terus pandai ambil gambar. Anda juga tidak lahir terus kaya untuk beli ‘smartphone’ dengan kamera cantik atau kamera yang berkualiti tinggi.
Selain itu, anda juga tak pergi ke mana-mana kelas fotografi. Sebagai amatur, berdasarkan pengalaman ambil foto travel selama bertahun-tahun dengan menggunakan pelbagai jenis kamera seperti kamera iPhone, kamera digital Canon, kamera SLR kompak/mirrorless Olympus, dan GoPro.
Kalau minat dan tidak mudah putus asa, pasti hasil yang cantik akan keluar walaupun anda bukanlah jurugambar pro!
Berikut 6 tips ambil foto amatur namun dengan hasil bagai pro :
1. Ambil gambar setiap hari
Cari sudut kegemaran anda sendiri. Eksperimentasi sangat penting. Jangan hiraukan teknik orang lain. Cuba banyak kali sampai jumpa teknik anda sendiri, bukan sekali ambil gambar hasil tak cantik terus putus asa.
Jangan segan ambil gambar guna handphone saja. Bakat itu boleh diasah asalkan mahu hasil yang baik. Rajin-rajin keluar ambil gambar. Jadi kreatif. Cari sudut dan teknik sendiri. Rajin-rajin baca buku yang patut.
2. Jiwai aktiviti ambil gambar
Orang yang pandai ambil gambar ini biasanya betul minat untuk ambil gambar. Kalau cuma minat gambar cantik tapi tak minat nak menjiwai fotografi itu sendiri, hasil gambar juga akan menunjukkan betapa anda tak menjiwai fotografi.
Macamana nak menjiwai? Keluar ambil gambar dan banyakkan baca tips dari jurugambar yang lebih professional, bukan banyakkan beli kamera (melainkan sudah pro).
3. Perhatikan di mana sumber pencahayaan
Ini sangat penting. Kalau matahari di belakang subjek dalam gambar, subjek akan kelihatan gelap. Sebaliknya, kalau menghadap sumber cahaya tak kira semulajadi atau tak, gambar akan jadi terang dan jelas.
Pendek kata, jangan membelakangkan cahaya, melainkan anda memang nak gambar anda penuh bayang-bayang dan kegelapan, sedangkan ambil gambar waktu malam pun kita nak guna ‘flash’ ataupun cari sedikit sumber cahaya.
Kadang-kadang berdiri di tepi 'frame' adalah lebih baik. Juga, edit itu perlu, tapi tak perlu berlebihan hingga lari dari gambar asal yang kita tangkap.
4. Praktikkan peraturan pertiga atau Rule of Thirds
Iaitu meletakkan orang atau apa saja subjek dalam gambar atas 2 garisan tegak dan 2 melintang imaginasi dalam “frame” kamera telefon anda. Contoh: Tengok gambar di bawah, subjek berdiri bukan tengah-tengah tapi tepi. Kiranya bahagikan gambar ke 3 bahagian, dan letakkan orang atau subjek dalam bahagian ketiga tak kira kiri atau kanan, asalkan bukan di tengah-tengah.
Orang atau subjek dalam gambar akan kelihatan tidak ‘center’ tapi tak semestinya tidak cantik. Biasanya kita nak berdiri ditengah-tengah dalam gambar, tapi bila kita gunakan Rule of Thirds, gambar tak ‘balance’ pun boleh jadi cantik, terutama bila ada subjek lain seperti cahaya matahari itu seperti dalam gambar di atas.
5. Edit itu perlu
Contohnya, gambar kita senget, garisan ufuk tak tegak, maka kita “rotate” gambar sampai garisan ufuk itu tegak. Sedangkan jurugambar pro pun edit gambar inikan pula yang amatur, tapi ada caranya supaya hasil pun sama dengan yang pro walaupun amatur!
Edit untuk hampir menyamakan gambar dengan apa yang kita lihat dengan mata kita, bukan untuk terus jadikan gambar itu lain terus dari yang kita tangkap. Kadangkala 'less is more'. Kebanyakan kita suka guna edit HDR secara berlebihan sehingga hilang kecantikan gambar asal. Pendek kata, edit berpada-pada banyak baiknya.
6. Bersabar dan jangan berhenti eksperimentasi
Kita tengok gambar orang lain cantik memanjang tapi bila kita keluar ambil gambar, semua tak menjadi. Eksperimentasi itu penting! Ambillah gambar apa saja, sama ada dari jauh atau sangat dekat, sambil aplikasikan Peraturan Pertiga tadi.
Setiap yang berjaya pasti melalui kegagalan terlebih dahulu. Jangan takut buat silap bila ambil gambar. Percayalah, bila anda selalu cuba, seratus atau seribu keping gambar kemudian, pasti anda dapat lihat hasilnya yang memuaskan hati.