Ucapan tahniah dan dan naik seri muka adalah antara yang biasa kita dengar apabila orang keliling dapat tahu kita mengandung. Tetapi, tidak ramai yang kongsikan masalah atau kesukaran yang terpaksa dilalui semasa mengandung. Mungkin ramai beranggapan kalau kita bercerita pengalaman buruk semasa mengandung akan boleh membawa kesan negatif kepada si ibu.
Sebenarnya, ada banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh tersebut dan ia biasanya berlaku di luar jangkaan. Emosi tak stabil, pengurusan masa jadi kelam-kabut dan pelbagai lagi masalah itu dan ini. Stres juga jadinya.
Berikut 10 perkara yang ramai wanita tak jangkakan semasa mengandung :
1. Kerap Bergaduh Dengan Suami
Sebelum anda mengandung, anda berdua sangat romantik. Pergi mana-mana bersama, berpegangan tangan, cakap pun lemah-lembut. Tetapi, semasa mengandung ada saja perkara yang tak puas hati. Walaupun ia bukanlah perang besar, namun ada kalanya ia boleh berlarutan dan menjadikan ibu hamil rasa seperti dipulaukan.
Namun, ini semua normal dan sebahagian besarnya adalah berpunca daripada paras hormon yang turun naik dalam tubuh wanita. Seperkara lagi, hubungan seksual anda juga mungkin akan terjejas disebabkan semua perubahan ini.
2. Taksub Dengan Tips Ibu Hamil
Sejak mengandung, Dr Google akan mula jadi kawan karib kita. Walaupun ia sedikit sebanyak boleh membantu, namun kadangkala ia boleh menjadikan kita risau tak tentu pasal.
Tidak cukup dengan itu, ramai yang asyik mencari macam-macam tips ibu hamil. Segala buku, majalah dan bahan bacaan tentang ibu hamil dan bayi pasti akan dibeli. Bukanlah teruja tak tentu pasal, cuma perasaan ingin tahu memang sedang memuncak-muncak dalam diri.
3. Ruginya Tak Tidur Puas-puas!
Ketika belum ada anak, tak pernah terfikir yang kita akan sentiasa tak cukup tidur. Ingatkan, kalau anak tak boleh tidur pun dalam 1-2 minggu pertama saja. Tapi, hakikatnya seorang ibu memang akan menghadapi 'kemarau' tidur buat masa yang panjang, lebih-lebih lagi yang menyusu badan. Rasa rugi pula sebab tak tidur sepuas-puasnya masa mengandung dulu!
4. Tak Konfiden Dengan Bentuk Badan
Bila tengok majalah keibubapaan, rasa kagum dengan ibu-ibu mengandung yang gigih dan serba boleh. Ada yang jahit baju anak sendiri, ada yang masih kerja overtime, ada yang pergi outstation ke luar negara, ada yang konsisten buat senaman, semuanya nampak cantik dan berseri-seri macam tak ada masalah langsung.
Kalau dibandingkan dengan kita, perut membesar macam belon. Lepas itu, mulalah rasa insecure dan rendah diri tak tentu pasal. Sepatutnya, kita perlu konfiden dan menghargai diri sendiri. Buang masa saja kalau rasa tertekan dengan perkara-perkara remeh seperti ini.
5. Tempoh Berpantang Bukannya Dapat Berehat
Tempoh cuti berpantang, taska anak, pengasuh, alatan penyusuan dan penjagaan berpantang seeloknya dirancang lebih awal. Kita selalu menangguh hingga ke saat-saat akhir atau tarikh due. Sedangkan, kita mungkin akan bersalin lebih awal daripada tarikh tersebut. Kalau nak harapkan masa berpantang, memang susah nak merancang apa-apa lagi. Suami pula bukannya cuti lama.
Kita mesti rasa malu nak minta tolong daripada ibu bapa atau sesiapa yang menjaga kita semasa berpantang. Jadi, eloklah sediakan apa yang patut, survey siap-siap taska yang sesuai dan pergi melawat untuk melihat keadaannya. Penting!
6. Elak Makan Sesuka Hati
Selalu kita dengar orang kata, "tak apalah makan lebih sikit, kau kan mengandung." Jangan terpedaya. Ini semua boleh menjadi tabiat buruk yang sukar dikikis lepas bersalin nanti. Sebenarnya, kita hanya perlu makan macam biasa, cuma perlu tambahan kalori sekitar 300 kalori sehari. Nak tahu 300 kalori ini bersamaan dengan apa?
Menurut tips ibu hamil oleh Panduan Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia, 1 keping kecil roti canai bersamaan dengan 250 kalori manakala 1 mangkuk mi kari boleh mencecah 460 kalori.
7. Tak Perlu Beli Banyak Baju Saiz Newborn
Bagi anda yang belum tahu, seeloknya tak perlu berbelanja banyak untuk beli baju bayi, terutamanya yang bersaiz newborn. Memang nampak comel, tapi bayi amat cepat membesar. Tambahan pula, anda akan menerima begitu banyak hadiah daripada saudara-mara dan teman pejabat yang kebanyakannya adalah baju!
8. Susah Nak Dengar Nasihat Orang
Ramai yang akan mula memberi tips ibu hamil dan kongsikan pengalaman dengan anda. Sukar nak dipastikan sama ada komen-komen yang diberikan oleh orang sekeliling sememangnya agak negatif, atau kita yang terlalu emosi ataupun kita memang keras kepala?
Kadangkala, kita boleh menangis apabila hanya mendengar pendapat seseorang (yang mungkin kita sendiri tak kenal) tentang bayi yang bakal kita lahirkan. Naluri ibu-ibu sudah mula 'kick in' rasanya!
9. Terlebih Manja Dengan Suami
Kalau perlukan apa-apa, berterus-terang saja dengan suami. Inilah masanya untuk anda bermanja dengan mereka walaupun sebelum ini anda seorang yang independent. Tak perlu malu dan rasa bersalah. Kita bukannya malas atau mengada-ngada kalau ada permintaan tertentu. Melalui cara ini juga, sebenarnya dapat melatih para suami untuk lebih involved dan semakin bersedia menjadi bapa.
10. Tak Semua Ibu Rasa Excited
Selalunya kita tengok ibu-ibu suka betul bila tahu mereka mengandung. Ada yang selalu bercakap dengan bayi, asyik bercerita tentang bayi. Tetapi anda? Emosi anda mungkin sekejap gembira, sedih, marah, murung, malu, risau atau takut. Sampaikan ketika bayi lahir pun, kita masih rasa kekok dan tak tahu nak melayan bayi.
Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri, tapi lihat sajalah nanti. Anda sendiri tak tahu perasaan cinta anda boleh membuak sebegitu tebal untuk si kecil. Malah, ada banyak pula kelebihan dan kebolehan serta bakat terpendam yang tak pernah anda ketahui. Contohnya, anda mampu lakukan banyak perkara dengan sebelah tangan!
Kesimpulan
Jangan risau, anda akan melaluinya dengan sempurna. Kebanyakan ibu akan lupa semua kepayahan yang ditempuhi sepanjang 40 minggu mengandungkan si jantung hati. Nampak saja bayi lahir, semua beban akan terasa ringan, dan setiap kali mencium bau bayi, segala stres dan penat lelah terus hilang!