Telah datang seorang ahli sufi di hadapan rumah seorang lelaki. Ahli sufi itu terkejut apabila mendapati lelaki itu sedang memukul seekor kucing.
Ahli sufi bertanya kepada lelaki tersebut; "kenapa kamu pukul kucing yang lemah ini?"
Jawab lelaki tersebut;
"aku telah menjumpainya di sebuah lorong ketika ia dalam keadaan yang tersangat lemah dan kesejukan. Kemudian aku mengambilnya dan memberinya makanan serta minuman. Aku pelihara sehingga ia benar-benar sihat, tetapi setelah sihat, ia membuang najis di merata-rata tempat di rumahku."
Kemudian berkatalah ahli sufi;
"Ini sebenarnya peringatan dan tamsilan antara kita dengan Allah."
"DIA telah memelihara kita sejak dari kecil yang tersangat lemah dan dhaif. Lalu Allah beri kita makan, pakaian dan segala-galanya tetapi setelah begitu banyak kebaikan dan nikmat Allah yang kita kecapi, kita durhaka kepada-Nya. Lihatlah betapa baiknya dan rahmatnya Allah, walaupun kita durhaka kepada-Nya, Dia masih belum menyiksa atau memukul kita dengan azab-Nya."
Kemudian beredarlah ahli sufi dan beristighfarlah lelaki tersebut kerana mengenangkan dosa-dosanya terhadap Allah. Jika ia lambat diperingatkan oleh ahli sufi itu, sudah tentu dipertanggungjawabkan atas kesalahannya di mahkamah Allah di akhirat kelak kerana memukul kucingnya.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menginsafi diri kita serta mensyukuri segala nikmat pemberian Allah kepada kita. Jadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur.