Kisah 3 Soalan Maut Sultan


Pada zaman dahulu ada seorang Sultan yang telah mengambil seorang ilmuan agama menjadi menterinya. maka diberi istana, gelaran, isteri yang cantik dan pelbagai kemewahan.

Sehinggalah pada suatu hari Sultan memanggil Menteri Agamanya kerana mahu bertanyakan tentang 3 soalan yang sarat berlegar di mindanya;

1. Apa itu DUNIA.
2. Apa itu AKHIRAT.
3. Apa itu IMAN.

Sultan hanya memerlukan jawapan yang tepat dan jitu, tidak mahu syarahan yang panjang berjela. Menteri Agama terpinga-pinga untuk mencari jawapan yang memuaskan hati sultan. Sultan telah murka lalu memberi tempoh seminggu supaya boleh mencari jawapannya.

Kemudian Sultan hantar wakilnya kepada Menteri Agama dan bagi titah bahawa sultan akan merampas segala kemewahannya jika gagal memberi jawapan yang dikehendaki seperti istana, harta, kenderaan, gelaran, isteri dan anak-anak.

Menteri Agama mengalami kerungsian yang amat sangat memikirkan dia akan kehilangan segala-galanya. Tak dapat tidur, makan tak lagi berselera.

Menteri Agama telah mengumpulkan ramai cerdik pandai untuk mendapatkan jawapan tetapi gagal. Akhirnya Menteri Agama keluar dari istana untuk mencari orang yang boleh merungkaikan keresahannya sekaligus menyelamatkan apa yang dimilikinya.

Saat apabila hampir tiba tarikh akhir, keserabutan Menteri Agama semakin bertambah memikirkan ia akan kehilangan segalanya. Sehari sebelum tarikh akhir, Menteri Agama termenung di bawah sebuah pohon besar mengenangkan nasibnya.

Berdekatan Menteri Agama sedang termenung itu, ada seorang tua sedang berkebun. Apabila matahari terik di kepala, orang tua itu berhenti untuk makan tengahari dan solat Zohor. Maka diajak Menteri Agama makan bersama.

Menteri Agama yang kerungsingan memikirkan bakal kehilangan jawatan, istana dan semua yang dimiliki hingga tidak berselera hendak makan.

Orang tua itu bertanya; "Tuan, nampaknya ada masalah? Boleh hamba menolong tuan?"

Menteri Agama pun memberitahu masalahnya dan soalan-soalan sultan beserta dengan syarat-syaratnya kepada orang tua tersebut.

Soalan 1 - Apakah Dunia?

Maka jawab orang tua itu;

"Dunia ialah apa-apa amalan yang kita buat untuk ditinggalkan."

Soalan 2 - Apa itu akhirat?

Dijawab orang tua itu;

"Akhirat ialah apa-apa amalan yang kita buat untuk dibawa ke alam akhirat tanpa ada apa-apa maksud dunia di dalamnya."

Soalan 3 - Apa itu iman?

Maka orang tua itu bagi tahu; "Insya Allah, akan hamba beritahu petang nanti selepas solat Asar."

Bila waktu Asar mereka solat Asar berjemaah dan selepas solat Menteri Agama terus bertanya; "Apa itu iman?"

Pada masa itu terdapat beberapa ekor anjing sedang makan sisa-sisa makanan tengahari. Orang tua memberi syarat untuk memberi jawapan yang ketiga, Menteri Agama mesti makan bersama anjing-anjing tersebut.

Menteri Agama berfikir berkali-kali. Makan dengan anjing najis berat tapi kalau tak makan nanti jawatan dan harta akan hilang. Hidup susah dan melarat. Menteri Agama terus berfikir dan berfikir.

Akhirnya Menteri Agama buat keputusan untuk makan bersama anjing-anjing itu. Apabila Menteri Agama duduk untuk makan bersama anjing-anjing itu, orang tua itu pegang kolar bajunya dan berkata;

"Tuan, inilah Iman. Bagi mereka yang ada iman, sanggup kerugian segala dunianya tetapi tidak akan langgar perintah Allah (rugi akhiratnya). Tetapi mereka yang tidak ada iman akan sanggup langgar perintah Allah (rugi akhiratnya) untuk selamatkan dunianya!"
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: