Taubat! Pintu yang tidak pernah tutup, sejak manusia pertama diciptakan di syurga.
Ramai insan bertaubat, tetapi mengulangi dosa yang dia bertaubat daripadanya. Hingga akhirnya insan berasa lelah untuk bertaubat, kerana merasakan taubatnya itu sia-sia.
Boleh jadi hadis di bawah akan menjawab persoalan yang sering menghantui diri yang bertaubat.
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :
Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: Ya tuhan, aku telah berdosa. Ampuni diri ku. Lalu Allah menjawab: Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini. Lalu Allah berkata: Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini. Lalu Allah berkata: Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki. (Sahih al-Bukhari, kitab at-Tauhid, hadis no: 6976)Al-Imam An-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim berkata :
Seandainya seseorang mengulangi dosanya sebanyak 100 kali, atau 1000 kali atau lebih daripada itu, lalu dia bertaubat untuk setiap kali dosa itu dilakukan, maka taubatnya diterima, diampuni dosa-dosanya.
Seandainya dia bertaubat daripada semua dosanya dengan satu taubat. Maka sahlah taubatnya.
Firman Allah kepada orang yang mengulangi dosa : (Lakukanlah apa yang engkau kehendaki, sesungguhnya aku telah mengampuni engkau), bermaksud : Selagi mana engkau berdosa dan bertaubat, Aku akan mengampuni engkau.
Namun timbul persoalan, bukankah Al-Imam An-Nawawi sendiri menyenaraikan dalam kitab Riadussolihin dalam bab taubat, ada 3 syarat untuk taubat diterima iaitu :
1. Meninggalkan maksiat itu.
2. Menyesal kerana melakukan maksiat itu.
3. Berazam untuk tidak mengulanginya.
Nota : Jika berbuat dosa sesama manusia kena minta maaf, minta halal, kembalikan barang yang diambil tanpa hak, berbuat baik kepada orang tersebut, membayar hutang jika berkaitan hutang dan sebagainya.Perlu kita bezakan manusia pertama yang betul-betul berazam meninggalkan maksiat, tetapi selepas bertaubat, dia terjerumus kembali ke dalam maksiat dengan manusia kedua yang ketika melafazkan taubat, sudah terniat dihatinya selepas ini aku akan ulangi maksiat ini.
Manusia yang pertama Insya Allah, taubatnya diterima, sedangkan manusia yang kedua hakikatnya belum lagi bertaubat kerana bertaubat itu mesti disertai azam meninggalkan maksiat dan tidak mahu mengulanginya.
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani di dalam Fathul Bari menukilkan kalam Al-Imam Al-Qurthubi berkaitan hal ini :
"Hadis ini menunjukkan betapa besarnya faedah istighfar, betapa agungnya kurniaan Allah, betapa luasnya rahmat, kelembutan dan kemurahan Allah. Akan tetapi istigfar ini ialah istighfar yang mana hatinya mempunyai niat yang sama dengan apa yang lidah lafazkan untuk meninggalkan maksiat dan ia disertai dengan rasa penyesalan. Inilah maksud taubat."
Kata beliau lagi :
"Ia bermaksud sesiapa yang mengulangi dosa dan taubat. Setiap kali terjebak ke dalam dosa dia akan kembali bertaubat. Ia bukan bermaksud sesiapa yang lisannya memohon keampunan Allah, sedangkan hatinya berterusan mahu melakukan maksiat itu."
Masih belum terlambat. Bertaubatlah!
Allah tahu usaha taubat kita. Allah tahu isi hati kita. Allah tahu tangisan hati kita yang sedih kerana mengulangi dosa yang sudah diusahakan untuk ditinggalkan.
Jangan berputus asa dari rahmat Allah!