15 Perkara Berhenti Lakukan Untuk Hidup Bahagia


1. Berhenti rasa diri selalu betul

Terdapat begitu ramai orang yang selalu merasakan dirinya saja yang sentiasa betul! Kita tak sedar kadang-kadang, bila kita rasa diri kita sentiasa betul walaupun sebenarnya kita tak betul. Tidak salah kita beri orang lain peluang mengutarakan pandangan mereka serta apa yang mereka rasa.

Jika sentiasa nak betul, kita banyak melukakan hati orang lain dan memberikan banyak tekanan kepada diri sendiri. Silap-silap kita boleh memutuskan silaturahim.

Setiap kali kita mula nak 'menegakkan benang yang basah' dan merasakan diri kita betul dan orang lain salah, tanya diri soalan ini; “Adakah saya perlu sentiasa tegakkan yang saya mesti betul dan orang lain mesti salah? Apa saya dapat?"

2. Berhenti bersikap sentiasa mahu mengawal

Bukan semua benda kita mampu kawal atau mampu ubah. Untuk menjadi lebih bahagia, anda seharusnya perlu rela untuk melepaskan sikap suka mengawal keadaan yang terjadi di sekeliling anda. Lebih-lebih lagi jika sebenarnya ia sesuatu yang kita memang tidak mampu nak kawal.

Juga sikap suka mengawal orang lain. Tak kisah sama ada mereka orang yang anda sayangi, rakan sepejabat atau sesiapa sahaja yang anda temui, cuba biarkan dan benarkan mereka jadi diri mereka sendiri.

Dengan membiarkan mereka jadi diri mereka sendiri dan membiarkan sesuatu berlaku dengan harmoni, anda akan rasa lebih baik.

3. Hentikan menyalahkan orang lain

Anda akan lebih gembira sekiranya anda bersikap tidak menyalahkan orang lain atas setiap apa yang tak anda miliki atau tidak capai.

Berhentilah dari asyik membuang tenaga dengan menyalahkan orang lain dan mula bersikap bertanggungjawab atas diri sendiri. Keluarlah daripada 'Blame Zone' - Zon Menyalahkan.

4. Hentikan menyalahkan diri sendiri

Berapa ramai yang membiarkan diri sendiri terluka akibat dari pemikiran mereka sendiri yang negatif, pemikiran yang tercemar dan suka menyalahkan diri sendiri?

Jangan percayakan setiap benda yang dikatakan oleh minda anda, terutama perkara-perkara yang negatif dan asyik menyalahkan diri sendiri. Anda adalah lebih bagus dari apa yang minda anda fikirkan.

Bila sesuatu perkara yang anda mahu tidak anda capai, anda boleh kenal pasti apa yang anda telah capai dan apa yang anda belum capai serta berusaha memperbaikinya serta belajar daripadanya.

5. Hentikan melayan halangan dalam pemikiran

Jangan layan halangan dalam pemikiran anda yang selalu menyekat anda dari melakukan sesuatu perkara yang bermanfaat. Pemikiran yang terhad selalu menghasut anda dengan perkara seperti - apa yang boleh dan tak boleh serta apa yang mustahil dan tidak mustahil.

Bermula dari sekarang, anda tak akan membiarkan pemikiran anda menghadkan tindakan anda dan terus meletakkan anda dalam keadaan tertekan. Lebarkan sayap anda dan terbanglah!

6. Berhenti merungut!

Berapa ramai orang yang suka merungut tentang banyak perkara. Ada sahaja yang tak kena dan nak dirungutkan! Orang sekeliling, situasi sekitar, perkara-perkara yang tak membuatkan anda gembira, kesedihan dan kekecewaan.

Tiada siapa yang boleh buatkan anda tak gembira, tiada situasi yang boleh buatkan anda sedih atau celaru melainkan anda yang benarkan ianya berlaku.

Bukan situasi yang berlaku yang menyebabkan perasaan tersebut wujud dalam diri anda, tetapi bagaimana cara anda melihat sesuatu itu terjadi yang akan mempengaruhi perasaan anda. Jangan pandang rendah kepada kuasa pemikiran positif. Bahagia adalah satu pilihan diri kita sendiri. Bukan mudah tetapi ia boleh dikuasai Insya Allah!

7. Berhenti mengutuk

Secara tak sedar, ramai orang suka mengutuk sesuatu perkara atau orang lain yang dirasakan berbeza dari diri mereka. Kita semua berbeza tapi sebenarnya kita semua sama. Kita semua mahu hidup gembira, mahu disayangi dan menyayangi dan kita semua mahu difahami.

Kita semua mahukan sesuatu dan ada sesuatu yang kita semua mahukan. Tidak perlu kutuk orang lain jika kita tidak faham mereka atau tidak bersetuju dengan mereka.

8. Berhenti menarik perhatian manusia - fokus menarik perhatian Allah

Ada orang yang terlalu berusaha keras untuk tarik perhatian orang lain sehingga sanggup buat sesuatu yang mereka sendiri tidak biasa lakukan atau bukan diri kita. Tak ada gunanya.

Saat anda berhenti jadi orang lain, saat anda tanggalkan topeng anda dan saat anda menerima diri seadanya dan menghargai diri anda yang sebenarnya, anda akan mula dapati ramai orang lain yang akan tertarik kepada anda, tanpa anda perlu bersusah payah.

Orang suka manusia sebenar dan bukan topeng apatah lagi jika guna nama atau gambar orang lain untuk sembunyikan diri.

9. Berhenti rasa selesa ditahap yang sama

Rempuh halangan untuk memulakan perubahan! Berubah adalah sesuatu yang baik. Bila anda ambil keputusan untuk berubah ianya membantu anda bergerak dari titik A ke titik B.

Perubahan akan bantu anda menambahbaikkan kehidupan anda dan juga kehidupan orang di sekeliing anda.

Ikut arah hidup anda dan nikmati perubahan yang berlaku. Jangan menentang perubahan diri ke arah yang lebih baik!

10. Berhenti menghukum atau mudah ‘melabelkan’ orang lain

Salah satu sebab orang tak bahagia ialah kerana mudah sangat melabelkan seseorang atau sesuatu perkara yang kita tak betul-betul faham. Ramai hidup penuh dengan sangkaan buruk atau serong melihat orang lain atau pencapaian orang lain.

11. Berhenti hidup dalam ketakutan - hadapi ketakutan

Perasaan takut sebenarnya adalah satu ilusi. Ianya tak wujud, ia hanya sesuatu yang minda kita 'takut-takutkan' kita. Perbetulkan apa yang ada di dalam minda anda dan semua perkara akan berlaku dengan baik.

Bagaimana nak kurangkan rasa takut adalah dengan ilmu, mencari jalan untuk memahami apa yang kita takutkan atau mahu lakukan, lihat dan belajar daripada mereka yang telah berjaya melakukannya dan paling penting cuba dengan skala yang kecil risikonya.

12. Hentikan hidup beralasan

Hentikan hidup beralasan! Anda tak perlukannya. Dalam banyak situasi, kita menghadkan tindakan kita kerana kita sendiri banyak mencipta alasan. Kita boleh terus bertindak dan berusaha untuk perbaiki diri, kemudian kita tersekat dan mula menipu diri sendiri. Kita guna banyak alasan. Alasan-alasan yang 99.9% nya adalah tidak benar.

13. Hentikan hidup di masa lalu

Maksudnya menyesal dengan kesilapan lepas atau memori cinta kenangan silam. Chewah!

Ianya tak mudah. Terutama bila kita lihat masa lalu adalah lebih baik dari masa sekarang dan masa hadapan kelihatan sangat menakutkan. Tapi anda perlu sedar bahawa anda berada pada masa sekarang dan hanya masa sekarang yang anda ada dan sebenar-benarnya ada!

Anda sudah tidak miliki masa lalu yang anda rasa lebih baik, yang anda impi-impikan kerana anda berada daam masa sekarang. Jangan tipu diri anda dengan keseronokan masa lalu atau kesilapan masa lalu. Belajar darinya dan 'being presence' atau hadirkan diri anda dalam setiap apa yang anda lakukan dan nikmati hidup anda sekarang.

Lagipun, hidup ini adalah satu proses tentang sebuah perjalanan. Bina matlamat yang jelas untuk masa hadapan, sediakan diri anda untuk hadapinya tetapi sentiasa bersedia dengan apa yang ada sekarang.

14. Berhenti terikat dengan 'benda'

Okay macam ini, tidak ada apa yang kita ada yang sebenarnya kita punya. Setiap satu adalah pinjaman dan amanah. Jika ada, kita hargai dan pelihara. Jika telah tiada, jangan 'tersangkut' dengannya.

Jangan hidup melayan perasaan dan 'tersangkut' di situ. Memang sukar untuk lepaskan sesuatu yang telah kita genggam erat. Ingat, tidak ada benda yang kekal. Life goes on! Move on!

Jika sesuatu itu kita punya, Insya Allah ada nama kita. Kita hanya perlu buat yang terbaik. Jika selepas buat yang terbaik dan kita tidak dapat miliki, teruskan usaha lagi atau teruskan hidup anda ke destinasi seterusnya!

15. Berhenti bina hidup anda atas impian orang lain

Ramai orang, yang tanpa sedar hidup atas impian orang lain. Mereka hidup mengikut apa yang orang lain rasakan terbaik untuk mereka.

Mereka hidup bergantung kepada apa yang orang lain fikir yang terbaik untuk mereka, apa yang rakan-rakan, musuh, guru-guru, kerajaan dan apa yang media rasakan terbaik untuk mereka.

Sehinggakan, mereka tak pedulikan jeritan hati mereka sendiri, yang meronta-ronta untuk lakukan sesuatu yang berbeza dan bermanfaat. Jadi, bina sebuah kehidupan di atas impian anda sendiri!
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: