13 Peranan Suami Ketika Isteri Sedang Hamil


Suami yang baik dan soleh akan sentiasa bimbang akan kesihatan isterinya ketika hamil. Disinilah pentingnya peranan seorang suami ketika isteri sedang sarat mengandung. Beruntung dan bergembiralah wahai isteri jika mendapat suami yang sangat membantu.

Percayalah bahawa kasih sayang yang diberikan akan membuat pasangan lebih tenang menghadapi segala situasi termasuklah isteri tengah hamil. Oleh yang demikian, suami hendaklah menjaga dan mengambil berat akan keadaan isterinya ketika hamil.

1. Suami jangan biarkan isteri buat kerja berat

Sebelum ini memang isteri yang buat kerja rumah. Membasuh baju, menyapu, angkat bakul baju kotor dan sebagainya. Jadi sekarang suami sangat digalakkan untuk ambil alih urusan isteri pula.

Jika pergi ke tempat kerja ada baiknya suami hantar dan jemput isteri, jangan biarkan isteri pergi balik kerja sendirian menaiki motor.

2. Suami sediakan makanan berkhasiat untuk isteri

Ketika isteri sedang mengandung nutrisi makanan yang lengkap dan sihat sangat penting untuk diambil. Kerana ia bukan saja penting untuk ibu agar badan mereka tidak lemah dan bertenaga tetapi utama juga baby dalam kandungan berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami masalah.

Suami boleh sediakan makanan yang bersih dan berkhasiat seperti sayuran, buah-buahan segar atau ikan segar kerana ia mengandungi protein tinggi. Selain itu, suami boleh juga dapatkan suplemen lengkap yang semulajadi seperti asid folik, minyak ikan berbentuk kapsul atau sebagainya.

Anda sebagai suami juga boleh memberikan kegembiraan dengan menghidangkan makanan yang disukai oleh isteri anda, dengan itu hubungan pasti akan bertambah mesra dan bahagia. Ini peranan suami yang baik.

3. Turuti keinginan isteri mengidam

Perasaan mengidam nak makan itu dan ini, ia datang tanpa dipinta. Kadang-kadang tengah malam minta nak makan nasi kerabu, pening kepala orang lelaki nak cari. Jika mampu suami turutilah kehendak dan keinginan isteri, bukan selalu minta yang pelik-pelik. Kata orang tua-tua nanti meleleh air liur anak.

4. Berikan isteri rehat yang cukup

Rehat adalah perkara penting bagi isteri yang sedang mengandung. Peranan suami ketika ini adalah jangan biarkan isteri tidur larut malam. Suami perlu bagi ruang masa yang cukup untuk isteri berehat untuk elak dari stress dan penat. Nanti ia memberi kesan buruk pula pada baby dalam kandungan. Biasanya perkara ini doktor pun akan selalu sebut.

5. Bawa isteri berjalan santai

Sewaktu hamil urat kaki atau sendi-sendi isteri akan tegang terutama sekali apabila usia kandungan sudah trimester yang ke-3. Suami digalakkan bawa dan pimpin isteri berjalan-jalan secara santai waktu pagi atau petang untuk mengurangkan rasa tegang urat. Salah satu tips mudah bersalin adalah banyakkan berjalan.

6. Elakkan dari asap rokok

Nasihat untuk suami-suami yang merokok jauhkan diri anda dengan isteri jika anda sedang merokok. Kita sedia maklum asap rokok tak elok untuk setiap orang, kesan asap rokok itu akan memburukkan lagi ibu dan baby dalam kandungan. Ada baiknya jika berhenti terus.

7. Siapkan sarapan pagi isteri

Bahagia rasanya. Jika sebelum ini mungkin isteri setiap pagi sediakan sarapan, tapi kali ini suami pula yang siapkan sarapan buat isteri. Peranan suami ketika isteri hamil sangat penting. Isteri perlu hargai dan berterima kasih pada suami ya.

8. Elakkan pertengkaran

Emosi ibu hamil kadang-kadang tak stabil disebabkan hormon dalam badan bertukar, kadang-kadang timbul perasaan sensitif sedih atau marah. Jadi suami cuba tenangkan hati isteri, gembirakan mereka. Dan suami jangan ambil hati sangat.

9. Sediakan keperluan isteri dan baby secukupnya

Keperluan isteri ketika hampir waktu kelahiran sangat penting seperti baju, kain batik, stokin dan sebagainya. Suami juga perlu sediakan keperulan baby yang bakal lahir juga seperti baju, sarung tangan dan kaki, pampers, napkin dan sebagainya. Suami jangan pandang remeh, nanti 'last minute' baru tercari-cari.

10. Sentiasa memahami keadaan isteri

Pada peringkat awal wanita mengandung, biasanya emosi mereka akan mudah terganggu. Hati wanita hamil akan mudah tersentuh seperti merasa sedih, kecil hati dan rasa dipinggarkan.

Perhatian daripada keluarga terdekat amat diperlukan ketika itu terutamnya suami. Suami hendaklah memberikan motivasi dan menjaga perasaan isterinya agar perasaan emosi negatif tidak berlaku dalam diri isteri.

11. Tingkatkan ibadah sunat, berdoa dan membaca Al-Quran

Jalankanlah tanggungjawab yang wajib/fardhu serta tingkatkanlah ibadah sunat. Amalkan untuk membaca ayat suci Al-Quran agar diri terasa dekat dengan Allah. Membaca Al-Quran sangat digalakkan sebab banyak kebaikkannya, ingat bayi dalam kandungan boleh mendengar.

Mohon dan berdoalah agar mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Suami hendaklah sentiasa mendoakan keharmonian keluarga dan mendoakan anak yang bakal dilahirkan akan menjadi insan yang soleh atau solehah dan bertanggungjawab apabila mulai meningkat dewasa.

Digalakkan suami melazimi solat sunat dhuha dan solat sunat hajat. Berdoalah agar keselamatan dan kesihatan isteri dan bayi yang bakal dilahirkan berjalan dengan lancar dan sempurna.

12. Memberi pujian kepada isteri

Kata-kata pujian yang diberikan suami kepada isteri akan membuatkan mereka tersenyum contohnya mengatakan mereka cantik dan comel ketika mengandung. Ini bermakna suami hendaklah bijak mengambil hati isteri dengan menunjukkan kasih sayang yang ikhlas kepada mereka.

Anda pasti gembira apabila melihat isteri anda tersenyum gembira dan rasa bahagia. Oleh itu anda lebih tahu apa yang harus dilakukan untuk membuat isteri anda gembira.

13. Memberi motivasi kepada isteri

Berbekalkan motivasi dan dorongan yang diberikan suami kepada isterinya akan membuat isteri menjadi lebih tenang dan bahagia. Ini kerana, ia menandakan suami seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa memberi perhatian kepada isterinya termasuklah ketika isteri mereka mengandung.

Tambahan lagi, wanita hamil memerlukan dorongan yang berterusan kerana melalui kata-kata semangat yang diberikan membuat wanita hamil akan menjadi lebih kuat untuk menghadapi hari yang mendatang.

Semoga tips di atas serba sedikit dapat memberi manfaat.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: