Kisah Surat Malik Bin Dinar Kepada Pemuda Hartawan


Kisah Malik Bin Dinar yang bertemu dengan seorang pemuda hartawan yang meminta jaminan mahligai di syurga.

Jaafar bin Sulaiman rahmatullah a'laih berkata; ”Satu ketika semasa berjalan di Basrah bersama Hadrat Malik bin Dinar rahmatullah a'laih, kami melihat satu mahligai yang besar sedang dalam pembinaan. Seseorang pemuda sambil duduk memberi arahan kepada pekerja-pekerjanya.

Hadrat Malik bin Dinar berkata kepada saya; ” Lihatlah betapa kacak pemuda ini! Tetapi dia sedang terlibat dalam urusan tidak berguna.

Aku rasa terdesak untuk berdoa kepada Allah agar Dia selamatkan pemuda ini dari urusan sia-sia ini dan menjadi hamba-Nya yang mukhlis. Alangkah baiknya jika ia menjadi salah seorang dari pemuda-pemuda di syurga! Mari kita jumpa pemuda itu.”

Jaafar bin Sulaiman berkata bahawa mereka berdua telah pergi kepada pemuda itu lalu mengucap salam kepadanya. Pemuda itu menjawab salam kami. Dia mengetahui tentang Hadrat Malik bin Dinar, tetapi ketika itu beliau masih belum mengenalinya.

Selepas beberapa lama apabila kami datang, (barulah) dia dapat mengenalinya maka dengan serta-merta dia berdiri lalu berkata, "Sila duduk!" Bagaimana tuan datang kemari? Betapa tuahnya kami kedatangan tuan!”

Malik bin Dinar berkata; "Berapakah yang kamu belanjakan untuk pembinaan ini?” Dia menjawab,” Seratus ribu dirham.”

Malik bin Dinar berkata; "Wang seratus ribu dirham itu kamu berilah kepadaku, maka aku akan mengambil tanggungjawab dan memberi jaminan bahawa kamu akan diberi satu mahligai yang berlipat kali ganda lebih baik dari ini dalam syurga. Khadam-khadam yang ramai, khemah dan kubah dari Yaqut merah dan nikmat-nikmat syurga yang lain-lainnya akan menjadi milik kamu. Dindingnya dari mutiara, lantainya dari zaafaran dan cantuman dindingnya dari kasturi."

"Mahligai itu sentiasa akan berbau harum dan tidak sekali-sekali menjadi buruk. Mahligai itu bukanlah dibina oleh tukang-tukang pembinaan tetapi ia wujud dengan perintah Allah Kun yakni "jadilah!"

Pemuda itu meminta; "Tolonglah berikan masa kepada saya untuk memikirkan perkara itu pada malam ini. Esok pagi saya akan memberi pandangan saya.”

Hadrat Malik bin Dinar pun pulang ke rumahnya. Pada sepanjang malam itu beliau berfikir untuk pemuda itu. Ketika hujung malam beliau telah berdoa untuknya sambil menangis. Selepas solat subuh kami pergi sekali lagi kepadanya. Pemuda itu sedang menunggu kami di pintu. Dia bergembira melihat Hadrat Malik bin Dinar.

Hadrat Malik bin Dinar bertanya; "Apakah pendapat kamu mengenai apa yang aku cadangkan kelmarin?” Pemuda itu bertanya, "Apakah tuan bersedia untuk menyempurnakan apa yang dijanjikan oleh tuan?”

Malik bin Dinar menjawab; "Tentu tiada syak lagi.”

Maka pemuda itu membawa satu uncang berisi seratus ribu dirham dan kertas serta pena untuk ditulis.

Hadrat Malik bin Dinar, menulis di kertas itu, bismillahhirohmannirrohim.

Seterusnya beliau menulis :

"Dengan ini saya Malik bin Dinar berjanji bahawasanya si anu bin si anu akan mendapat satu mahligai bersifat begini-begini (beliau menulis semua ciri-ciri mahligai itu di syurga seperti yang beliau telah ceritakan kelmarin). Bahkan dia akan memperolehi kedudukan perhampiran Allah Taala.”
Surat jaminan itu beliau telah serahkan kepada pemuda itu lalu mengambil uncang berisi seratus ribu dirham dan membawa pulang. Pada sebelah petang hari itu juga kesemua wang seratus ribu dirham telah habis dibahagikannya sebagai sedekah sehingga tidak ketinggalan apa-apa walaupun untuk membeli makanan.

Selepas itu telah berlalu empat puluh hari. Satu pagi Malik bin Dinar mengimami solat subuh di Masjid. Setelah selesai solat beliau telah melihat sepucuk kertas di mihrab. Beliau mengambil dan melihat bahawa ianya adalah surat jaminan yang telah beliau berikan kepada pemuda itu.

Tetapi di atasnya ada tambahan tulisan tidak berdakwat yang terang boleh dibaca...:

"Aku melepaskan Malik bin Dinar dari tanggungjawab jaminan ini, sebab Aku berikan si anu bin si anu satu mahligai di syurga penuh dengan semua nikmat-nikmat yang dituliskannya, bahkan tujuh puluh kali ganda lebih daripadanya.”
Setelah membacanya tulisan itu beliau tersangat kagum sehingga tidak dapat bergerak atau bercakap beberapa lama. Selepas itu beliau pergi ke rumah pemuda itu. Apabila tiba, beliau mendapati ada tanda-tanda kesedihan dan juga kedengaran suara tangisan di rumah itu.

Setelah bertanya, kami telah diberitahu bahawa baru kelmarin pemuda itu sudah meninggal dunia.

Malik bin Dinar bertanya; ”Siapakah yang telah memandikan dan mengafani mayatnya?”

Maka orang yang dimaksudkan itu telah pun dipanggil dan diminta menceritakan semua peristiwa yang berlaku.

Dia berkata, "sebelum meninggal dunia beliau telah memberi sepucuk kertas kepada saya lalu mewasiatkan agar saya meletakkan kertas itu antara kafan dan tubuh mayatnya. Saya pun telah membuat sebagaimana wasiatnya.”

Hadrat Malik bin Dinar telah mengeluarkan kertas yang beliau jumpai di mihrab masjid dan sebelum sempat beliau berkata apa-apa orang itu berkata, ”Wallahi! Inilah kertas yang saya telah letak di dalam kafannya.”

Setelah memerhatikan kesemua peristiwa itu maka salah seorang pemuda telah mendekati Dinar bin Malik lalu berkata; "Tuan Syaikh, saya hendak memberikan dua ratus ribu dirham. Tolong tuliskan satu kertas lagi untuk saya.”

Malik bin Dinar berkata; "Peluang itu telah terlepas jauh! Allah membuat apa sahaja yang dikehendaki-Nya.”

Selepas itu bila-bila masa sahaja beliau teringat peristiwa itu, maka beliau akan menceritakan kisah itu sambil menangis dan mendoakan untuk pemuda tersebut.

Allahu a'lam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: