Mati bukan hanya ketika seseorang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, matanya terpejam, detak jantungnya terhenti dan jasad tidak lagi bergerak. Itu semua hanya mati secara biologi.
Tetapi mati yang lebih patut diberi perhatian adalah mati hakiki, yakni matinya hati pada seseorang yang masih hidup. Ini kerana tiada yang dapat diharapkan dari manusia yang hatinya telah mati.
"Alangkah ramai manusia sudah mati, tetapi masih memberikan manfaat bagi yang hidup, yakni masjid atau madrasah yang mereka bangunkan, buku yang mereka tulis, anak-anak soleh yang ditinggalkan dan ilmu bermanfaat yang telah diajarkan. Meraka mati jasad tetapi pahala terus hidup."Tanda-tanda manusia yang hatinya telah mati
1. Kurang berinteraksi dengan kebaikan.
2. Kurang kasih sayang kepada orang lain.
3. Mendahulukan dunia daripada akhirat.
4. Tidak mengingkari kemungkaran.
5. Terus-menerus menuruti nafsu syahwat.
6. Lalai dan suka berbuat maksiat.
7. Pendendam hebat.
8. Lekas marah kerana keangkuhan dan hasad dengki.
9. Berani meninggalkan Solat Fardhu.
10. Tenang tanpa merasa berdosa padahal melakukan dosa besar.
11. Tidak mahu membaca bahkan menjauhi dengan ayat-ayat Al-Quran.
12. Sibuknya hanya mengumpat oranglain, buruk sangka dan merasa dirinya lebih suci.
13. Sangat benci dengan nasihat baik dan ulama.
14. Tidak ada rasa takut akan peringatan kematian, kubur dan akhirat.
15. Gilanya pada dunia tanpa peduli halal haram.
16. Tidak peduli penderitaan orang lain, bahkan keluarganya sendiri menderita.
Menurut Ibrahim Adham antara sebab hati mati
1. Mengaku kenal Allah s.w.t, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w, tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah s.w.t, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah saudara seislam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah taala iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.
Hati perlu diberi santapan rohani
Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah (mengingati Allah) dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah.
Firman Allah s.w.t dalam Al-Quran, Surah Ar-Ra'd, ayat 28 :
"(iaitu) Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."Hidupkanlah hati dengan perkara berikut
1. Banyak berzikir.
2. Banyak baca kisah para solihin terdahulu.
3. Kisah ibadah kesolihan bagaimana Islam diterapkan dizaman kenabian, para sahabat Nabi s.a.w dan tabi'in.
4. Merenung kejadian dalam kehidupan yang merupakan tanda kekuasaan Allah s.w.t yang mutlak diatas semua cipta-Nya.
5. Banyak menyebut Laa ilaaha ilallaah (tiada ilah selain Allah). Allah Maha Kuasa makhluk langsung tiada kuasa.
6. Akrab dengan ilmu (hal-hal bekalan untuk kehidupan akhirat).
7. Menyampaikan ilmu agama Islam yang mulia ini.
8. Perbanyak doa kepada Allah.
9. Bergaul dengan orang solih dan lingkungan kesolihan bukan lingkungan kemaksiatan.
Ibnu Abid Dunya berkata, menurut ahli hikmah
1. Hidupkanlah hatimu dengan berbagai nasihat.
2. Sinarilah hatimu dengan tafakkur (kepada Allah).
3. Matikanlah hatimu dengan zuhud.
4. Kuatkanlah hatimu dengan keyakinan (kepada Allah).
5. Hinakanlah hatimu dengan kematian.
6. Tetapkanlah hatimu dengan fana.
7. Pandanglah bencana dunia.
8. Waspadalah dengan permainan masa.
9. Berhati-hatilah dengan perubahan hari.
10. Tampilkanlah kepadanya kisah-kisah orang terdahulu.
11. Berjalanlah pada negeri-negeri peninggalan mereka.
12. Serta lihatlah apa yang mereka lakukan, dimana mereka berada dan kerana apa mereka berubah.
Sucikanlah 4 perkara dengan 4 perkara
1. Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
2. Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
3. Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
4. Dosa-dosamu yang silam dicuci dengan taubat kepada Zat yang memilikimu.
Hati merupakan tempat yang lembut untuk di isi dengan rahmat dan kasih sayang. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya hati dipenuhi rahmat dan kasih sayang.
Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan.
Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah taala menjelaskannya dalam Surah Az-Zumar ayat 23 :
“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya.”Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.
Rasulullah s.a.w bersabda :
““Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah itu adalah hati.” (Sahih Bukhari)Hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan.
Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati.
Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa?
Ini kerana ia beriktikad bahawa tiada di sana kecuali kehidupan dunia sahaja dan kebendaan semata. Justeru, ia cuba mendapatkannya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif.