8 Tips Elak Kembali Buat Dosa Dan Maksiat


Tentu anda sudah 'frust' dan tertekan dengan diri anda kerana beberapa kali kembali berbuat maksiat setelah insaf dan bertaubat. Kemudian anda tergelincir semula ke lembah maksiat itu.

Anda bukan keseorangan kerana ramai lagi orang yang mengalami perkara yang serupa kerana kita adalah manusia yang lemah dan pelupa. Jadi belum terlambat untuk anda mengubah diri agar maksiat ini dapat ditendang jauh-jauh dalam kehidupan.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berkata :

"Sungguh! maksiat itu adalah sebab hilangnya keberkatan rezeki dan waktu."

Berikut tips yang dapat membantu untuk menjauhi maksiat dalam kehidupan anda.

1. Kuatkan hubungan dengan Allah

Ini merupakan asas bagi menjauhi segala perbuatan mungkar dan maksiat. Bila ada hubungan dengan Allah yang akrab maka hati akan sentiasa merasa Allah sentiasa disisi dan mengawasi setiap gerak geri anda.

Kuatkan hubungan dengan Allah dengan melaksanakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang Allah. menunaikan yang fardhu/wajib, memperbanyakkan amalan-amalan sunat dan berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya.

"Dan tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan yang lebih aku cintai daripada amalan yang Aku wajibkan atasnya, dan hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnah hingga aku mencintainya." (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Tanam cinta kepada perkara baik

Perasaan cinta ini tidak akan berputik kalau tidak dimulakan dengan sesuatu. Oleh itu untuk menanam minat dan cinta ini anda kena buat dulu, barulah rasa seronok itu akan hadir dalam diri anda.

Bila sudah biasa buat maka perasaan cinta pada amal itu akan lahir dalam diri anda sehingga kalau tak buat benda itu sehari anda rasa gundah-gulana.

3. Kawan dengan orang soleh

Kawan anda mungkin ramai, tetapi tidak semua kawan yang betul-betul soleh. Yang soleh adalah mereka yang sentiasa menasihati dan mengajak anda kepada kebaikkan. Bila anda berkawan dengan orang baik percayalah diri anda juga akan lebih mudah dalam berbuat amal-amal kebaikkan.

Orang soleh yang sanggup menasihati biasanya tidak ramai dalam kehidupan. Bila dah dapat itu janganlah disia-siakan. Bila dia menegur ambillah nasihatnya dan tolak jauh-jauh ego anda.

4. Keazaman yang kental

Ya! bila anda buat maksiat anda akan rasa 'down' yang teramat sangat (hati orang beriman sepatutnya begini). Merasakan seolah-olah sudah tidak ada harapan untuk memperbaiki hidup. Eh! cuba lempang dan cubit pipi tu sikit, cuba tengok sudah kiamat ke belum.

Sepatutnya kalau sudah terjatuh bangun balik, bila sudah sedar diri kita berbuat maksiat maka ganti balik maksiat yang kita buat itu dengan amal-amal kebaikkan. Jangan lembik sangat menyerah diri pada syaitan mempermainkan kehidupan anda.

"Bertakwalah kepada Allah dimanapun engkau berada, ikutilah perbuatan yang buruk dengan perbuatan yang baik niscaya ia akan menghapusnya, dan bergaullah dengan manusia dengan budi pekerti yang mulia." (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi)

5. Sibukkan diri dengan ilmu

Anda buat maksiat tersebut kadang-kadang tidak tahu pun benda itu memang salah sebab jahil. Dan kadang-kadang sebab kejahilan juga anda tidak tahu sebenarnya banyak lagi amalan kebaikkan yang mudah untuk dilakukan bukan sekadar yang wajib itu sahaja.

Ini juga salah satu cara untuk mengisi masa lapang daripada disia-siakan. Manusia ini macam vakum, kalau dia tak sedut benda baik memang dia akan sedut benda yang tak baik.

6. Berdakwah dan ajak orang buat baik

Kita tak 'strong' bila buat baik sorang-sorang. Kita akan rasa seronok dan kuat bila kita ajak orang lain buat kebaikkan. Selain itu cara ini akan push kita buat kebaikkan sebab tidak normallah kalau kita ajak orang buat baik tetapi kita tak buat.

Kita akan rasa puas dan seronok bila orang yang diajak itu buat sekali dengan kita. Kalau orang yang tak nak itu kita biarkan sahaja, kita dah buat kerja kita untuk ajak kepada kebaikkan sama ada dia terima atau tidak itu nombor dua.

7. Tetapkan denda pada diri sendiri

Tetapkan denda pada diri sendiri sekiranya anda terbuat maksiat tersebut. Dengan syarat denda tersebut mestilah benda yang paling allergic dan tak suka sekali anda buat.

Kalau anda ambil benda yang disukai nanti anda akan ambil mudah dengan maksiat. Contoh benda yang anda tak suka adalah potong rumput rumah, ganti emak anda masak hari itu. Benda ini subjektif dan setiap orang ada lain-lain benda yang dia tak suka.

Ingat! syaratnya, pastikan benda itu yang paling anda tak suka dan susah!

8. Doa dan terus berdoa

Ini yang mula-mula sebenarnya. Semua yang kita akan buat dan telah buat perlu dimulai dan diakhiri dengan doa pada Allah. Mohon supaya Allah berikan kekuatan pada kita untuk menempuh hari-hari mendatang untuk terus buat kebaikkan dan tendang kemungkaran jauh-jauh dalam kehidupan kita.

Jangan mudah berputus asa dan berharaplah dan bergantunglah kepada Allah dengan doa dan dituruti dengan usaha yang jiddiyyah (serius).

Di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w menyebut tiga perkara yang jika ada pada seseorang maka ia akan merasai kemanisan iman. Tiga perkara itu ialah :

1. Allah dan Rasul-Nya lebih disayangi lebih dari perkara yang lain.
2. Menyayangi seseorang itu semata-mata kerana Allah taala.
3. Benci kembali kepada kekufuran seperti mana benci dicampakkan ke neraka.

Wallahu a’lam.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: