Bala Besar Yang Tidak Disedari


Bala yang disedari dan bala yang tidak disedari

Seorang pelajar bertanya kepada gurunya; "mengapakah apabila kita banyak melakukan maksiat terhadap Allah, namun Allah tidak menimpakan bala-Nya ke atas kita dengan segera?"

Gurunya menjawab; "Allah telah menimpakan bala-Nya, tetapi engkau yang tidak menyedarinya!".

"Bukankah Allah telah mencabut perasaan indah bermunajat dengan-Nya dari hatimu?

Tiada bala yang lebih berat ditimpakan ke atas seseorang dengan penyakit hati yang keras (sehingga tertolak dari iman, amal dan kebenaran Islam).

Sesungguhnya seberat-berat bala yang akan ditimpakan ke atasmu ialah Allah akan menyempitkan laluanmu ke arah jalan kebaikan.

Bukankah telah berlaku ke atas dirimu engkau tidak membaca Quran selama beberapa hari?

Bahkan mungkin engkau mendengar firman-Nya yang berbunyi :


"Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir." (Al-Hasyar : 21)
Engkau mendengar ayat ini tetapi engkau tidak merasa apa-apa...!!!

Bukankah berlalu beberapa malam tetapi engkau terhalang daripada bangun (qiyamullail)?

Bukankah berlalu peluang-peluang kebaikan seperti; Ramadhan, Enam Syawwal, Sepuluh Zulhijjah...Sedangkan engkau tidak dipermudahkan untuk mengambil peluang-peluang tersebut dengan sewajarnya?

Adakah BALA yang lebih berat dan segera dari semua ini?

Bukankah engkau merasa berat apabila mahu melakukan ketaatan?

Bukankah lidahmu ditahan daripada mengingati-Nya?

Bukankah engkau merasa lemah apabila berhadapan dengan bisikan hawa nafsu dan syahwat?

Bukankah engkau telah ditimpakan dengan cintakan harta, pangkat dan perasaan ingin popular?

Adakah bala yang lebih berat dan segera daripada ini semua?

Bukankah dipermudahkan bagimu untuk mengumpat, mengadu domba dan berkata dusta?!

Bukankah engkau disibukkan dengan perkara-perkara yang sia-sia tiada kaitan dengan dirimu?!

Bukankah engkau telah dilupakan tentang akhirat dan segala tumpuanmu dihalakan kepada hal keduniaan?

Semua kehinaan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bentuk-bentuk bala yang Allah timpakan ke atas dirimu.

Berhati-hatilah wahai anakku, kerana BALA yang paling ringan yang Allah timpakan adalah bala yang boleh disedari seperti bala yang ditimpakan ke atas harta, anak pinak dan kesihatan.

Dan sesungguhnya sebesar-besar bala yang ditimpakan ke atas seseorang hamba adalah bala yang tidak disedari iaitu 'bala di dalam hati'.

Mohonlah keampunan dan kesejahteraan dari Allah dan beristighfarlah atas dosa-dosamu.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: