Tanda-Tanda Terkena Sihir


Al-Qurtubi dalam menakrifkan sihir menyebutkan bahawa sebahagian dari jenis sihir memiliki pengaruh terhadap hati seseorang seperti; perasaan cinta, benci, mendapatkan kebaikan dan musibah. Disamping mampu memberi kesan kepada sakit badan atau sebuah ungkapan tentang perkara yang tidak nampak pada pandangan mata kasar manusia tetapi mampu dimiliki bagi mereka yang berusaha untuk menyakiti orang lain seperti menganggu kesihatan, harta kekayaan atau hubungan antara sesama manusia dengan menggunakan mentera dan alat-alat khusus.

Apakah tanda-tanda orang yang terkena sihir atau santau di alam melayu? Sedikit-sebanyak persoalan tersebut terjawab menerusi tanda-tanda di bawah ini :

Tanda-tanda gangguan syaitan/makhluk halus

1. Tidur dalam keadaan resah, rimas dan cemas serta selalu terjaga.
2. Mengalami mimpi yang buruk dan menakutkan.
3. Bermimpi melihat berbagai jenis binatang seperti kala jengking, anjing, tikus dan lain-lain.
4. Kadang menangis dan kadang ketawa ketika tidur.
5. Selalu bermimpi terjatuh dari tempat tinggi.
6. Terasa panas badan terutama di bahagian belakang.
7. Fikiran selalu kacau, terasa gelap dalam perut, badan terasa lesu dan malas.
8. Suka marah-marah tanpa suatu sebab yang munasabah.
9. Selalu sakit kepala.
10. Hilang fokus pada pekerjaan dan juga percakapan.
11. Sakit di bahagian bawah tulang kipas dan bawah punggung.

Tanda-tanda sihir pemisah

Memisahkan seseorang individu dengan individu lain.

1. Terdapat perubahan tabiat/perangai secara tiba-tiba.
2. Kerap berlaku perbalahan antara pasangan atau rakan.
3. Kehadiran pandangan buruk keatas pasangan misalnya nampak suami atau isteri begitu buruk dan hodoh.
4. Masing-masing suka menegakkan benang basah dan tidak mahu mengalah.

Tanda-tanda sihir pengasih

1. Kehadiran perasaan rindu dan cinta yang mendadak kepada seseorang.
2. Terikut-ikut kehendak pasangan (haram) atau individu secara berlebihan.
3. Kuat berkhayal tentang adegan seks.
4. Berkeinginan tinggi untuk melakukan hubungan seks.

Tanda-tanda sihir menghadirkan penyakit

Membuat sesorang itu jatuh sakit.

1. Cakap merapu.
2. Fikiran bingung.
3. Sentiasa resah gelisah.
4. Tidak menjaga kebersihan diri.
5. Gemar bersendirian.
6. Tidak suka bergaul dengan kawan-kawan.
7. Tidak ada kekuatan fizikal dan mental.

Tanda-tanda sihir pendarahan

1. Sihir ini terjadi ke atas wanita dimana berlakunya pendarahan pada faraj seolah-olah darah haid namun ia berterusan dan tidak berhenti. Sihir ini amat merbahaya sekali kerana seseorang mangsa boleh kehilangan darah terlampau banyak. Badan akan menjadi terlampau lemah, mudah penat, sukar bernafas dan terdedah kepada gangguan yang lebih serius. Harus diingat haid seseorang wanita hanya selama 14 hari dan selebihnya adalah penyakit (darah istihadah).

Tanda-tanda santau

1. Pendarahan yang berpanjangan saperti haid.
2. Sakit dibawah tulang kipas.
3. Sakit dibawah punggung.
4. Batuk yang berterusan.
5. Bermimpi binatang yang menakutkan.
6. Sesak nafas.
7. Pemarah walaupun sifat asalnya adalah lembut dan penyabar.
8. Kelopak mata kehitaman kerana gangguan tidur.
9. Daya ingatan berkurangan.

Tanda-tanda seseorang yang mempunyai saka

1. Sukar tidur.
2. Sering bermimpi perkara yang menakutkan.
3. Ketawa dan menangis ketika tidur.
4. Pening kepala.
5. Malas dan lesu.
6. Lenguh-lenguh sendi.
7. Pemarah dan terlalu emosi.

Adakalanya juga orang yang ada saka dibenci oleh ramai orang kerana menzahirkan situasi negatif dan tidak menyenangkan

Pedoman dan renungan

Kebanyakan orang yang terkena gangguan makhluk halus sama ada dalam bentuk sihir, santau lebih-lebih lagi saka akan keberatan untuk melakukan rawatan. Keadaan ini terjadi semata-mata kerana tipu daya dan fitnah syaitan. Sebahagianya pula tidak mempercayainya.

Sebaliknya pula ada golongan yang ketagih dengan khidmat bomoh. Golongan ini lebih suka mengaitkan masalah mereka dengan “buatan orang”, walaupun sebenarnya tidak. Mengapa fenomena ini berlaku dalam masyarakat kita?

Sukacita disarankan agar anda kuatkan semangat dan keimanan seterusnya melawan keadaan ini daripada membelenggu diri anda. Dan kepada saudara mara, rakan taulan hendaklah sentiasa membantu mereka tanpa jemu demi kebaikan bersama.

Penyakit sebegini bakal menyusahkan diri sendiri dan menghancurkan kerukunan rumah tangga dan keluarga tercinta.

Dapatkanlah rawatan daripada pengamal perubatan Islam yang diyakini tidak terlibat dengan sebarang bentuk khurafat dan kekufuran. Ikutilah pedoman-pedoman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Amalkan zikir al-Mathurat sebagai pendinding diri daripada sihir dan gangguan jin kafir dan syaitan. Wallahu a’lam

Apa yang dijelaskan di atas adalah tanda-tanda gejala sihir, santau atau saka. Jika anda nak pasti adakah sihir ini benar-benar wujud dalam diri anda maka anda perlu membaca beberapa ayat al-Quran.

Cara-caranya dengan membaca ayat-ayat di bawah ini di tapak tanganmu :

1. Baca Surah Ibrahim ayat 42-52.
2. Baca Surah al-Mukminun ayat 98-118.
3. Baca Surah al-Falaq ayat 1-5.
4. Baca Surah an-Nas ayat 1-6.

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulut di telapak tangan kanan anda, sehingga nafas anda atau sebahagian dari ludah mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kanan anda itu di depan mata si pesakit dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau bingung, atau dia melihat tapak tangan anda berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tangan anda, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka tidak diragukan, dia terkena sihir atau kerasukan jin atau kedua-duanya sekali.

Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat di atas. Kalau si pesakit tidak boleh membaca sendiri maka anda boleh bacakan ditapak tangan anda dan setelah selesai membaca ayat hulurkan tangan kanan anda di depan mata si pesakit minta dia melihatnya.

Cuba baca ayat-ayat di atas dan uji pada diri, jika ada seperti yang dinyatakan maka jelas diri terkena sihir. Untuk mengubati sihir ada beberapa ayat al-Quran untuk menawarkan sihir.

Cara-cara membuang sihir daripada diri

1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur eletrik – blinder).

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibir anda pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludah mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi (Surah al-Baqarah ayat 255).
b. Bacakan Surah al-Kafirun.
c. Baca Surah al-Ikhlas.
d. Baca Surah al-Falaq.
e. Baca Surah an-Nas.

Ayat-ayat di bawah adalah ayat penawar sihir.

f. Baca Surah al-A’raf ayat 117-119.
g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.
h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi/rukyah dengan ayat-ayat al-Quran di atas air kemudian diminumkan kepada si pesakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali. Insya Allah, sihir itu tidak akan ada lagi.

Yakinlah kepada Allah s.w.t bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan.

Semua kejadian di langit dan di bumi semuanya berlaku atas kehendak Allah s.w.t. Semua makhluk termasuk jin, syaitan dan manusia tidak boleh mendatangkan apa-apa mudarat tanpa izin Allah s.w.t. Oleh itu kita yakin dengan Allah s.w.t dan keselamatan kita adalah dibawah jagaan Allah s.w.t.

Amalkan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, solat tahajud, berdoa minta perlindungan Allah s.w.t. Jika ada penyakit minta Allah s.w.t pulihkan dan beri kesembuhan. Seorang mukmin perlu berdoa, berusaha, bertawakkal dan bersabar.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: