Puasa di bulan Ramadhan merupakan satu ibadah wajib kepada setiap umat Islam di seluruh dunia. Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari berserta dengan niat kerana Allah.
Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur merupakan satu amalan sunat yang dituntut kepada mereka yang berpuasa kerana ia mempunyai keberkatan. Namun dalam era teknologi yang kian berkembang pesat ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
Ada juga di kalangan anda tidak berselera untuk makan di awal waktu pagi. Di bawah ini dikongsikan antara menu lauk kegemaran rakyat Malaysia ketika bersahur bersama nasi. Seandainya kita sukar untuk bersahur, Rasulullah s.a.w menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.
Berikut 10 menu mudah disediakan untuk bersahur di bulan Ramadhan :
1. Sambal sardin
Menu yang paling ringkas dan senang disediakan. Untuk menyedapkan lagi sardin dalam tin anda perlu menumis hirisan bawang, cili kering dan air asam jawa. Ia menu sesuai bagi anda yang gemar makan lauk yang berkuah. Sambal sardin juga sedap dicicah bersama roti putih dan juga nasi. Ia sesuatu hidangan yang amat ringkas dan juga salah satu menu yang popular ketika bersahur.
2. Ayam masak kicap
Ayam masak kicap memang menjadi lauk yang sinonim dalam dunia masakan. Salah satu sebab kenapa masakan ini amat digemari oleh kebanyakan orang adalah ia mudah dimasak dan sedap. Selain dari itu ia boleh dimakan oleh kanak-kanak kerana rasanya manis dan tidak pedas. Anda perlu menggoreng ayam dahulu, kemudian masukkan bawang dan kicap. Gaul sehingga rata dan sedia dihidangkan bersama nasi putih.
3. Nasi kicap telur goreng
Menu kegemaran rakyat Malaysia paling mudah disediakan. Teringat tentang kesusahan mak ayah di kampung yang bersusah payah membesarkan anak-anak. Betapa nikmatnya bagi sesetengah keluarga kalau dapat makan nasi kicap telur goreng ini. Wahai anak-anak, ingatlah jasa ibu bapa anda. Hubungi dan pulanglah ke kampung menikmati sahur dan menyambut awal Ramadhan bersama-sama ibu bapa tercinta. Tanpa kasih sayang, restu dan doa mereka, siapalah kita pada hari ini.
4. Ikan kering masak asam
Lengkap dengan rasa masam dan masin, menu ini juga menjadi menu kegemaran ketika sahur. Rasa seperti berada di kampung halaman apabila menikmati juadah ini. Resepi ia amat mudah sekali, hanya perlukan bawang, cili dan air asam jawa untuk dijadikan kuah. Menu ini juga amat mudah dan cepat dimasak. Boleh dimakan bersama nasi dan juga sambal untuk menambah selera makan bagi yang gemar masakan pedas.
5. Ikan bilis goreng kicap
Jangan pandang sebelah mata resepi yang simple ini. Ikan bilis yang digoreng bersama kicap ini dirampai dengan bawang dan juga cili. Amat enak dimakan dengan nasi putih yang panas. Ikan bilis perlu dicuci sehingga bersih dan dibiarkan kering supaya apabila digoreng nanti ia tidak akan menjadi keras dan liat. Jika anda pandai menggoreng, ikan bilis akan menjadi ranggup dan amat enak dimakan. Pemilihan ikan bilis juga amat penting untuk membuat masakan ini.
6. Sambal bilis kering
Sambal bilis kering ini merupakan salah satu menu yang menyelerakan bagi mereka gemar makanan yang pedas. Sama seperti sambal tumis biasa cuma ia perlu dimasak sehingga menjadi kering dan juga boleh dimasukkan bersama bahan yang lain seperti tempe dan kacang goreng. Sambal bilis kering tahan agak lama jika anda menyediakan ia dengan cara yang betul. Sedap dimakan bersama nasi panas, ia akan menjadi satu menu yang istimewa ketika bersahur.
7. Telur masin
Telur masin adalah telur yang diawet dengan menggunakan air garam bagi mengekalkan ketahanannya. Jenis telur masin yang paling popular adalah dari telur itik. Telur masin perlu direbus dahulu sehingga masak sepenuhnya dan dihidangkan bersama nasi yang panas. Telur masin adalah makanan yang amat popular ketika sahur.
8. Ikan pekasam
Pekasam merupakan makan tradisi turun temurun yang asalnya dihasilkan secara sampingan disebabkan lebihan ikan dari hasil tangkapan di sawah,sungai dan juga tali air. Biasanya ikan pekasam dibuat dari ikan air tawar seperti puyu,sepat,lampan dan lain lain lagi. Ikan pekasam perlu diperap bersama beras yang telah digoreng dan ditumbuk halus berserta dengan asam garam. Ikan pekasam sesuai dijadikan lauk bersahur kerana aromanya sahaja mampu membuat anda terliur. Pekasam sedap di goreng bersama cili padi dan bawang.
9. Acar buah
Bagi yang gemar memakan buah-buahan yang kering, acar merupakan salah satu hidangan yang sesuai untuk anda ketika bersahur. Acar buah selalunya dihasilkan dari buah campuran iaitu kismis, prune, kana, kurma, buah pala, jeruk mangga dan pelbagai jenis variasi buah-buahan. Ia perlu dicampur bersama bawang kecil, bawang putih dan juga halia. Acar buah perlu di masak dengan cili giling, cuka, garam dan gula. Rasanya dapat membangkitkan selera sahur anda kerana ia sesuai dimakan bersama dengan nasi.
10. Sambal hitam Pahang
Bagi sesiapa yang tak pernah mencuba sambal hitam Pahang ini, serius anda memang rugi. Antara bahan utama sambal hitam Pahang ini adalah buah belimbing buluh. Tiada belimbing buluh maka tak jadi sambal hitam. Belimbing buluh perlu direbus tanpa air di atas api yang sederhana sehingga warna menjadi kehitaman. Setelah siap direbus, anda perlu menumis bawang, cili kering kisar dan ikan bilis sehingga naik bau. Masukkan belimbing buluh tadi dan kacau sehingga sebati. Dengan rasa pedas dan masam, ia mampu membangkitkan selera makan anda di waktu sahur.
Nota : Walaupun namanya proses merebus tapi tak perlu letak air sebab belimbing buluh ini akan keluarkan air yang banyak. Lagi banyak belimbing, lagi lama proses merebus.
Baca : 8 'Hadiah' Allah Di Bulan Ramadhan Bagi Hamba Bertaqwa
Kesimpulan
Selamat menyambut Ramadhan kareem. Semoga kita semua dapat meningkatkan amal ibadat dan ketakwaan kepada Allah s.w.t serta memperolehi keberkatan pada bulan yang mulia ini. Banyakkan berselawat ke atas Nabi s.a.w, bersedekah dan membuat sebanyak mungkin amal-amal kebaikan di sepanjang bulan Ramadhan kali ini.
- Daku Amat
Tags : bulan ramadhan sambal hitam pahang bangun sahur ramadan kareem menu masakan sahur berbuka puasa telur masak kicap