4 Amalan Kukuhkan Pengurusan Kewangan Perniagaan Anda

Menguruskan kewangan perniagaan kadang-kadang menjadi amat sukar kerana anda sering terlepas pandang beberapa faktor kecil yang bakal menyebabkan perniagaan anda cepat rugi. Sebagai peniaga anda perlu menguruskan aliran kewangan perniagaan syarikat anda dengan betul, walaupun dengan cara paling asas dan minimum.

Bila sebut aliran ertinya macam sebuah sungai yang mengalir. Ada punca di mana air masuk dan ada juga bukaan di mana air keluar. Selagi jumlah air yang masuk melebihi jumlah air yang keluar, sungai akan tetap mengalir dan tidak akan kering. Air yang mengalir juga membuatkan sungai tak jadi busuk dan mendap.

Aliran kewangan perniagaan anda juga serupa seperti keadaan sungai yang mengalir tadi. Bezanya adalah air dalam sungai digantikan dengan duit dalam perniagaan anda. Jika jumlah duit yang masuk melebihi jumlah duit yang keluar dalam syarikat, anda boleh pastikan perniagaan atau syarikat anda insya Allah akan terus hidup. Duit yang mengalir juga penting agar perniagaan tidak jadi lembab dan busuk seperti air tadi.


Dari aliran kewangan syarikat juga anda boleh tentukan titik pulangan modal perniagaan. Seterusnya dari situ, buat strategi bagaimana hendak pastikan anda sentiasa berada di paras selamat. Dari aliran kewangan syarikat juga anda boleh buat berbagai perancangan lain dalam membawa hala tuju perniagaan agar terus relevan seiring dengan masa dan keadaan. Lagi lengkap maklumat aliran kewangan perniagaan anda, lagi mudah untuk anda mengatur strategi perniagaan.

Berikut 4 amalan untuk mengukuhkan pengurusan kewangan perniagaan anda :

1. Pastikan penyata kewangan bulanan disediakan setiap bulan

Penyata kewangan terdiri dari Penyata Pendapatan, Penyata Kedudukan Kewangan dan Penyata Aliran Tunai. Ini akan membolehkan usahawan untuk mengetahui untung rugi perniagaan, harta dan tanggungan serta aliran masuk dan keluar tunai.

Jika ini bukan amalan anda, anda mungkin seolah-olah memandu kereta dengan kesemua petunjuk had laju dan minyak yang rosak. Semuanya main agak dan ikut perasaan sahaja.

2. Analisa dari mana keuntungan perniagaan anda

Maklumat ini didapati melalui analisa terperinci jualan dan kos jualan. Barangan mana menghasilkan jualan tertinggi dan yang mana menghasilkan keuntungan tertinggi.

Keduanya tidak sama kerana setiap barangan atau perkhidmatan mempunyai keuntungan kasar (jualan tolak kos jualan) yang berbeza. Sekiranya jualan tertinggi anda adalah produk yang keuntungan kasarnya rendah, anda kena selidiki mengapa ini terjadi.

3. Siapakah 10 pelanggan tertinggi anda

Siapakah 10 pelanggan tertinggi anda dan berapakah sumbangan mereka kepada jualan bulanan? Ini akan memberi gambaran siapakah yang penting kepada perniagaan anda.

Perlu juga dikira keuntungan dari setiap pelanggan ini kerana mungkin ada pelanggan yang jualan kepada mereka tidak begitu tinggi tetapi keuntungan dari mereka di antara yang terbagus kerana mereka melanggan barangan yang tinggi keuntungan kasarnya.

Cuba buat unjuran jualan kepada mereka untuk bulan-bulan yang seterusnya supaya anda dapat memahami corak pasaran di masa kehadapan. Adakah anda mempunyai barangan yang jualannya amat rendah (low sales turnover)?

Ini amat perlu diketahui kerana barangan yang tidak laku merugikan anda di dalam beberapa cara:

Pertama, modal pusingan menjadi beku kerana barang yang tidak dijual tidak akan menyebabkan aliran tunai.

Kedua, barangan lama akan ada rosotnilai, harganya lama-kelamaan akan bertambah murah dan akan ada yang rosak. Inilah mengapa pasaraya membuat jualan murah agar modal dapat digunakan kepada barangan yang lebih laju jualannya.

4. Adakah mana-mana kos operasi yang meningkat mendadak?

Analisa bulanan kos operasi akan memberi maklumat berkenaan corak perubahan kos. Jika semuanya berubah seperti yang anda jangkakan, maknanya semuanya di dalam kawalan.

Jika ada perubahan mendadak seperti kos pembaikpulih jentera yang tinggi, ianya mungkin disebabkan jentera yang sudah usang dan perlu ditukar. Jika jentera rosak, kosnya bukan sahaja kos pembaikan tetapi kos melepas kerana pengeluaran tidak dapat dipenuhi dan mungkin juga ada pelanggan yang marah.

      Baca : 6 Keajaiban Otak Bayi Yang Ditemui Pakar Saraf

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Usahawan akan hanya dapat melakukan analisa perniagaan yang bermakna jika kesemua data dan maklumat yang digunakan adalah tepat.

Inilah sebabnya perlu ada pegawai kewangan yang berkelayakan dan boleh menyediakan laporan dengan tepat dan cepat. Seboleh-bolehnya di minggu pertama setiap bulan yang baru. Ini juga memerlukan disiplin yang baik ketika merekod transaksi perniagaan.

Ada banyak sistem perakaunan dan kewangan yang boleh membantu. Walau bagaimanapun kena ingat “garbage in, garbage out”. Jika rekod perniagaan disimpan secara tidak tersusun dan tidak berdisiplin, laporan-laporan yang disediakan tidak akan banyak membantu.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: