5 Pedoman Hidup Orang Berjaya


Keperluan manusia terhadap petunjuk adalah hal yang tidak boleh dinafikan. Perlu pelurus dan 'guide' sementelah penuhnya liku di dunia ini. Tentunya demi mencapai tujuan kita akhirat kelak, sambil tidak melupakan kehidupan dunia.

Carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kita yakni kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kita melupakan bahagian kita dari kenikmatan duniawi.

      Baca : 5 Pedoman Hidup Orang Berjaya - Part 2

Sebagai manusia yang memiliki fitrah untuk selalu berada dalam maslahah (sesuatu yang banyak kebaikan) maka sudah seharusnya kita sedar akan perlunya kepada pedoman.

Berikut 5 pedoman hidup orang berjaya :

1. Berdamai dengan diri

Sayangi diri. Terima diri. Berdamai dengan diri.

Maafkan orang lain. Jaga kesihatan diri.

Jadi nyala lampu benderang yang menerangi ke mana kita pergi. Usah bandingkan diri dengan sesiapa. Dengan berbuat begini, tidak semena-mena kita lihat dunia sentiasa terang bercahaya.

Dan, ampunan Allah ada di mana-mana.

2. Kita adalah unik

Kita tidak 'exact copy' sesiapa. Kita adalah unik. Kita adalah ciptaan Allah yang Maha Kuasa. Usah berduka banding diri dengan sesiapa.

Kita ada kekuatan. Kita ada kelemahan. Kita ada peluang. Kita ada ancaman.

Sekali kita banding diri dengan sesiapa sekalipun, kita akan hidup dirundung duka sepanjang masa. Dalam hidup ini sentiasa akan ada orang yang lebih kaya, gembira, sejahtera, jelita dan bahagia.

Dan, kita mula menyumpah kegelapan gulita diri.

Bersyukur dengan apa yang ada. Ucapkan Alhamdulillah. Kita umat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam. Itulah pelita cahaya terang yang membahagiakan jiwa sepanjang masa.

3. Teknologi adalah hamba

Teknologi adalah hamba yang baik dan setia. Usah biarkan teknologi berkuasa. Teknologi apabila jadi tuan akan memporak-porandakan hidup kita.

Terlalu banyak masa ber-online boleh timbulkan sakit jiwa. Menggunakan komputer atau laptop untuk buat kerja berbeza dengan ber-online terutama guna smartphone.

Terlalu banyak masa ber-online akan mengakibatkan kurangnya kemahiran sosial, keseorangan tanpa teman-teman, tekanan jiwa membanding rasa, kurangnya rasa harga diri, kurangnya riadah dan hilang deria berdepan dunia realiti.

Ambil rasa. Ambil masa.

Rasakan pengalaman kehidupan depan mata. Perkara nyata. Kita banyak kehilangan momen-momen istimewa dalam kehidupan apabila tidak menyempat mahu merakam "momen yang belum siap" kepada media sosial.

Mahu berkongsi kepada siapa sehingga tidak sempat sempat mahu posting pada "real time" ini. Sejak bila kita jadi pemberita kepada aktiviti diri sendiri.

Bercerita tentang kehidupan. Bukan jadi pemberita harian.

4. Hidup mahu popular menyeksakan

Hidup atas rasa mahu popular adalah perkara paling menyeksakan. Sukar. Siksaan batin tidak tergambar.

Usah berkata "ya" pada setiap ajakan saat diri berkata "tidak". Apabila katakan ya pada orang lain, pastikan bisikan naluri bukan berkata tidak pada diri sendiri.

Usah jadi "alas kaki" tempat orang lalu lalang. Usah jadi pijakan semua orang. Usah berkata ya demi untuk memuaskan selera orang sekeliling.

Usah jadi bulldozer. Merempuh halangan demi kesenangan tuan yang memandu. Bukan rempuh halangan itu yang salah. Rempuhlah andai itu yang kita mahui.

Salahnya, apabila kita berbuat demikian demi untuk dipuji sesaat masa. Demi untuk disayangi sebagai orang kuat semata-mata.

Bukukan pedoman hidup. Lihat sentiasa. Bisikan naluri diri itu yang wajar kita utamakan sepanjang masa. Naluri bertuhan dan hidup dalam pedoman agama.

Jadi orang yang bagaikan awan menaungi, berbaloi untuk didekati. Bukan orang yang terkenal seantero negeri namun gerhana hati saat dirapati.

5. Pucuk menjulang ke angkasa

Cita-cita tinggi. Umpama pucuk menjulang ke angkasa.

Usah pula lupa untuk ambil tahu. Akar di bumi menjalar dalam lumpur berselut menyedut zat galian perlu.

"Real success" itu apa? Ia adalah membantu orang lain berjaya. Pandai dengan memandaikan orang lain. Kaya dengan mengkayakan orang lain.

Semudah itu sahaja hidup dalam dunia sementara ini. Kita hidup gambaran hitam putih dengan apa yang kita dapati. Kita membina kehidupan pelangi indah berwarna-warni dengan apa yang kita beri dan kongsi.

Bermula kecil. Bermula saat kita rasa kerdil dan terpencil. Bermula seumpama akar yang bernafas dalam selut lumpur penuh kerikil. Dengan bermula sedemikian, kita akan dapat menjayakan impian pucuk yang mahu berada diatas, tempat tinggi, terampil dan berhasil.

      Baca : 8 Penyakit Yang Boleh Sembuh Dengan Amalan Berjalan Kaki

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Berdamai dengan diri. Usah sentap. Mudah berpuas hati dengan orang sekeliling. Bersyukur itu paksi. Usah banyak cakap. Hidup dengan buat dan buat. Apabila dapat orang akan hormat.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: