Prospek perniagaan sememangnya salah satu cabang untuk seseorang itu bergelar jutawan. Fakta telah membuktikan bahawa majoriti jutawan adalah lahir daripada golongan para peniaga. Hatta peniaga kecil yang menjalankan perniagaan mengikut startegi yang betul juga sebenarnya mampu untuk bergelar jutawan.
Berikut 10 tip berguna untuk anda bergelar usahawan berjaya :
1. Tahu tentang produk dan industri diceburi
Apakah yang anda hendak jual? Anda perlu lakukan research ke atas produk anda sendiri dan ke atas produk pesaing-pesaing anda. Serta jalankan penyelidikan industri secara keseluruhan.
2. Kenal pelanggan atau target market
Sebelum memulakan perniagaan, anda perlu mempunyai fokus atau tumpuan khusus kepada jenis pelanggan anda.
3. Cari partner sesuai dan betul-betul 'ngam'
Kita pastinya tidak mahir atau pandai dalam semua aspek. Jadi, carilah partner yang dapat membantu anda dan boleh dipercayai. Contohnya dalam urusan kewangan dan pengurusan.
4. Bentuk pasukan yang hebat
Bukan senang hendak membentuk satu pasukan yang dinamik. Sepanjang berniaga, mesti ramai orang datang dan pergi. Ianya mengambil masa yang lama untuk mencari orang yang betul-betul tepat dan ia sangat sukar.
Selepas membentuk pasukan, anda perlu melatih pasukan anda dan jadikan mereka ketua. Wujudkan ketua dalam setiap pasukan yang akan membantu anda setiap hari dalam menentukan hala tuju syarikat. Dari sini, karier mereka juga akan berkembang.
5. Bijak mengurus masa
Anda perlu betul-betul membahagikan masa di antara kerja dan keluarga. Anda kena buang istilah 'buang masa' dalam hidup. Setiap jam mesti dipenuhi dengan pelbagai urusan bermanfaat. Hidup yang begitu sibuk sebenarnya lebih produktif. Sebab kalau anda ada banyak masa, mungkin masa itu akan disia-siakan begitu saja.
6. Delegasi dan komunikasi
Adalah sangat penting bekerja secara berpasukan. Delegasikan atau bahagikan kerja-kerja kepada ketua dan para pekerja anda agar segalanya berjalan lancar, teratur dan cepat. Tetapi apa yang lebih penting ialah komunikasi.
Anda perlu berkomunikasi dengan pekerja anda tentang masalah yang timbul dan bincangkan cara atau jalan penyelesaiannya. Anda juga perlu follow up dan paling penting anda mesti kena turun padang, tak kiralah sama ada ke pejabat ataupun ke majlis.
7. Cari kritikan bukan pujian
Kritikan amat membantu untuk kita menambah kualiti produk atau servis kita. Walaupun ada masanya pahit dan sukar untuk anda terima, kritikan-kritikan inilah yang menujukkan tentang kelemahan jenama anda.
Anda perlu ingat bahawa anda tidak mungkin akan dapat memuaskan hati semua pihak. Jadi, mesti akan ada kritikan yang perlu anda hadapi. 'Just take it positively, improve and move forward'.
8. Gunakan sepenuhnya media sosial
Produk atau jenama anda perlu sentiasa relevan dan up to date, tidak kiralah jenis perniagaan apa pun yang anda ceburi. Cuba maksimumkan penggunaan media sosial sebaik mungkin dan ambil kesempatan melaluinya. Media sosial memang sangat penting untuk menjadikan jenama anda lebih dikenali ramai.
9. Dapatkan sokongan yang baik
Ramai orang terlupakan perkara ini. Dalam perniagaan, anda perlu berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran dan kritikan. Perkara-perkara tidak boleh dikawal inilah yang akan menjatuhkan anda kalau anda tidak kuat. Anda akan rasa demotivated, putus asa dan tidak bersemangat lagi untuk teruskan perjuangan. Jadi, kalau anda tiada sokongan yang baik, siapa yang akan bangkitkan semula semangat anda ketika anda sedang jatuh?
Itulah sebabnya sistem sokongan seperti ibu bapa, ahli keluarga, suami atau isteri, anak-anak dan sahabat karib, mereka ini adalah orang-orang yang amat penting dalam kehidupan kita. Tanpa mereka, pasti kita tak akan mampu melangkah jauh. Oleh itu, jagalah hubungan baik dengan orang-orang tersayang.
10. Sentiasa percaya kepada Tuhan
Allah adalah perancang segala sesuatu. Kalau Dia kata ia akan berlaku, maka berlakulah ia. Rezeki itu di tangan Allah dan Dia telah menentukan rezeki bagi setiap makhluk-Nya di muka bumi ini. Sepayah mana pun liku hidup anda, Allah boleh mengubahnya dalam sekelip mata. Dan semewah mana pun hidup anda, Allah boleh menarik segala-galanya dalam sekelip mata.
Banyak lagi sebenarnya cara-cara dan tip yang boleh dilakukan oleh peniaga untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya. Walau bagaimanapun, percayalah anda mampu untuk bergelar usahawan berjaya sekiranya 10 tip di atas diamalkan dengan baik. Teruskan berusaha kerana perniagaan merupakan satu perintis untuk seseorang itu menjadi jutawan.
Akhir sekali, fahami kata-kata berikut; “..elakkan diri daripada bersikap tikam belakang dan jangan mencari musuh. Jangan sesekali membuat helah kerana tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan apa yang kamu kerjakan.”
Semoga berjaya!