Berhutang pada zaman sekarang memang tidak dapat dipisahkan. Ibarat isi dengan kuku. Budak universiti nak sambung belajar sah-sah kena berhutang belajar PTPTN lebih kurang RM28 ribu.
Cuba bayangkan, muda-muda lagi sudah terbeban dengan hutang. Makin bertambah usia, makin bertambah hutang. Jadi, belajarlah bersungguh-sungguh biar dapat biasiswa. Tak payah nak berhutang bagai.
Banyak sebab lagi kita berhutang. Antaranya sebab nak beli barang yang mahal, membeli kereta ataupun perabot rumah. Ada juga di antara kita berhutang kerana terdesak disebabkan kesempitan kewangan dan berhutang untuk membayar hutang kos pembiayaan kesihatan.
Ada juga berhutang disebabkan nak cepat kaya. Terjebak dalam MLM ataupun main skim pelaburan emas. Dengan keadaan ekonomi negara yang kian menghimpit ini, kita perlu berusaha untuk meneruskan kehidupan tanpa berhutang.
7 tip berkesan mengelak daripada berhutang :
1. Rancang Perbelanjaan Harian
Kegagalan menguruskan kewangan antara faktor terbesar anda akan terjebak dalam hutang. Anda fikir mampu bayar dan tambah hutang lagi, padahal sebenarnya anda makin terbeban.
Rancanglah perbelanjaan harian dengan sebaik-baiknya. Bila dapat gaji, buat bajet dan berbelanja ikut bajet yang telah ditetapkan itu. Jadi, tidaklah anda asyik berhutang sana sini, sementara menunggu gaji bulan berikutnya.
2. Membuat Simpanan 10% Daripada Pendapatan
Mulakan dengan menabung walaupun sedikit. Menyimpanlah secara genius, konsisten dan berkualiti. Buat simpanan ikut pendapatan dan kemampuan anda. Apa yang penting mesti menyimpan.
3. Rancang Masa Depan
Jika anda rasa terbeban dengan membayar PTPTN sekarang, rancanglah pelan masa depan yang mantap untuk anak-anak anda kelak. Zaman itu nanti semua barang dan perkhidmatan pasti mahal belaka.
Zaman sekarang pun sudah macam ini, apatah lagi 10-20 tahun akan datang. Buat simpanan untuk anak-anak dengan membuka akaun. Sekurang-kurangnya bila mereka sudah besar dapat guna duit itu untuk belajar.
4. Berbelanja Mengikut Kemampuan
Perkara ini susah nak baiki. Doktor pakar psikologi bertaraf Olimpik pun yang menasihatkan anda tapi kalau dalam diri anda tak mahu berubah susah mahu berubah. Sebelum membeli, pastikan anda mampu membayarnya, simple!
Tak perlulah nak ikut orang. Anda tengok dia beli baju mahal, branded, anda pun nak juga. Tak mahu kalah. Padahal anda tak tahu gaji dia berapa? Sebulan mahu beribu riban. Anda? Jadi, ukurlah baju di badan sendiri.
5. Tambahkan Pendapatan Sampingan
Jika pendapatan bulanan tidak mencukupi, buatlah kerja sampingan yang lain. Boleh jadi ejen dropship, jual barang online, tolong member dekat pasar malam misalnya. Zaman sekarang ini serba serbi pakai duit. Pandai-pandailah anda cari pendapatan sampingan. Janji halal.
6. Utamakan Keperluan Jauhi Membazir
Beli barang yang perlu sahaja. Tak perlulah membazir kalau membeli barang dapur. Ini tidak! Beli itu ini, makannya tidak pun, akhirnya buang begitu saja. Jadi, sebelum pergi nembeli barang dapur, buatlah senarai. Baru anda tahu yang mana perlu dan mana tidak.
7. Tanamkan Niat Yang Baik
Tanamkan niat untuk mencari rezeki yang halal. Bukan untuk bermegah ataupun nak bermewah. Allah akan mudahkan dan lapangkan pintu rezeki, anda akan rasa cukup dengan rezeki yang diperolehi. Tak perlu berhutang.
Kesimpulan
Banyak lagi cara yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan hidup terbeban dengan berhutang. Apa yang penting kena ada ilmu dan perancangan. Pepatah ada mengatakan "Hutang akan membunuh keselesaan hidup anda dan ketenangan jiwa anda."