5 Tanda Tersirat Bila Kucing Datang Kepada Kita


Setiap kejadian alam mempunyai dua makna iaitu yang tersurat dan tersirat. Beruntunglah mereka yang boleh memahami kedua-dua maknanya. Ini termasuklah dalam perkara berkaitan dengan kucing.

Apakah makna yang tersirat jika kucing datang kepada kita? Apakah yang cuba disampaikan Allah kepada kita? Mari kita renungkan bersama menerusi beberapa tanda di bawah ini.

Berikut 5 tanda tersirat apabila ada kucing datang kepada kita :

1. Bahagian rezeki kucing

Selalu terjadi apabila kita duduk di warung sambil makan, pasti ada kucing jalanan yang menagih simpati. Perutnya yang lapar siapalah yang sudi memberi. Ya, kucing itu mungkin nampak kotor dan comot. Namun siapakah kita untuk memandang jelik makhluk Allah s.w.t itu?

Kehadiran kucing itu menyampaikan pesanan yang jelas dari Allah. Percayalah, dalam ketika kita enak menjamu selera mungkin kita terlupa mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Maka kerana itu Allah s.w.t menghantar kucing kepada kita agar kita sentiasa beringat bahawa setiap rezeki yang dikurniakan itu bukan 100% milik mutlak kita. Sebahagiannya ada milik orang atau makhluk lain.

Kali ini, milik sang kucing jalanan. Maka berbagilah rezeki itu juga kepadanya. Semoga dengan memberi, kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur kepada rezeki kurniaan-Nya.

2. 10 kali ganda ganjaran kebaikan

Sesungguhnya sedekah itu ada dalam pelbagai bentuk dan rupa. Inilah antara rahsia-rahsia kebijaksanaan Allah s.w.t. Apabila kucing datang kepada kita dan meminta sedikit rezeki lalu kita menghulurkan kepadanya maka kita telah berbuat kebaikan kepadanya.

Bersedialah untuk menerima 10 kali ganda kebaikan dan ganjaran dari Allah sebagai balasan pada perbuatan baik tersebut. Itu janji-Nya kepada mereka yang bermurah hati menyantuni makhluk yang lain.

Tersenyumlah kawan kerana kehadiran kucing kepada kita ketika itu membawa maksud bahawa Allah s.w.t telah menyediakan 10 kali ganda rezeki yang jauh lebih baik untuk kita bagi menggantikan bahagian rezeki yang diberikan kepada kucing itu.

Tidakkah kita sangat gembira apabila menerima hadiah yang indah? Maka apabila Rabb pemilik semesta alam sendiri yang memilih untuk memberikan kita hadiah yang 10 kali ganda jauh lebih baik. Bukankah itu suatu yang sangat mengujakan?

3. Belajar ikhlas

Allah s.w.t membimbing dan mendidik manusia melalui kehidupan dan alam. Besar keistimewaannya pada orang yang didekati kucing kerana melaluinya manusia boleh belajar ilmu ikhlas.

Kenapa ikhlas? Adakah kucing itu mempunyai wang ringgit bagi membalas kebaikan yang diberikan? Mampukah kucing itu meninggikan darjat dan memberikan pangkat kepada orang yang memberinya makan?

Tentu sekali tidak. Maka tanpa apa-apa balasan yang dapat diharapkan dari kucing, tindakan yang tetap terus berbuat kebajikan kepadanya akan mendidik jiwa kita untuk menjadi manusia yang ikhlas.

Ikhlas dalam berbuat kebaikan sebagai khalifah yang terpilih atas muka bumi Tuhan dan ikhlas untuk tetap terus istiqamah mengamalkan nilai kemanusiaan. Terimalah pendidikan percuma dari Allah ini dan usahalah untuk berjaya menguasai pembelajarannya.

4. Belajar sifat ihsan

Kadangkala kucing yang mendekati kita itu mungkin tingkah lakunya nakal, boleh jadi naik geram kita dibuatnya. Apabila situasi ini yang terjadi maka beringatlah bahawa Allah s.w.t menghantar kucing itu sebenarnya sebagai satu bentuk ujian pada kita.

Ujian pertama adalah soal bagaimana kita memandang dunia terutamanya rezeki. Adakah kita terlalu cintakan dunia sehingga kita menjadi terlalu bakhil dalam berkongsi rezeki dengan yang lain? Jangan pernah terlupa tentang amanah sebagai khalifah terpilih yang ditugaskan untuk menunaikan yang hak.

Ujian kedua adalah untuk melihat sejauh mana layanan kita kepada sesama makhluk. Sedarlah apabila kucing datang meminta makanan misalnya, kucing itu tidak minta ikan yang baru digoreng. Kucing itu tidak minta pinggan yang cantik untuk dihidang makanannya. Kucing itu tidak diminta mulutnya dilap cermat dengan tisu selepas makan. Kucing itu tidak mengharap layanan 5 bintang. Cuma yang diminta adalah sisa makanan barang sedikit sebanyak yang tidak habis untuknya makan. Apabila nakal perangainya dan rimas rayuannya, sabarkah kita melayannya?

Ingatkah kita bahawa Allah sentiasa melihat dan mengawasi setiap tindak tanduk mahupun lintasan hati kita terhadap kejadian dan makhluk-Nya dalam emosi kita? Inilah ilmu ihsan. Ilmu tentang mampu mengingati Allah dalam setiap kata-kata, tindakan, fikiran mahupun emosi. Ilmu tentang melakukan sesuatu dengan ingatan kuat bahawa Allah sentiasa melihat dan sangat hampir. Tiada satu pun dapat bersembunyi dari-Nya.

Malu kita pada Allah apabila apa yang dilakukan kita sehari-harian bukan seperti yang diperintah-Nya, malah kita gagal menjauhi larangan-Nya dalam hal beradab dengan sesama makhluk.

5. Kurniaan rezeki yang berpanjangan

Pernah tak tiba-tiba ada kucing yang datang ke rumah kita? Tanpa segan silu kucing itu mengisytiharkan dirinya sebagai sebahagian dari keluarga kita. Lalu dia turut bertindak seperti penghuni tetap di rumah itu. Disuruh pergi namun tetap tegar kembali.

Bergembiralah kerana anda terpilih untuk mendapatkan kurniaan rezeki yang berpanjangan dari Allah. Dari manakah datangnya rezeki ini? Apabila kucing itu tinggal tetap, ini bermakna peluang bersedekah melalui asbab kucing itu telah dibuka setiap hari untuk kita.

Sedekah yang berterusan mengundang rahmat Allah s.w.t yang menjadikan rezeki melimpah ruah. Ini kerana kunci rezeki seseorang hamba itu dikirim oleh Allah s.w.t kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.

Allah s.w.t nak menegur kita bahawa jika kita menolak kehadirannya, seolah-olah kita menolak rezeki yang melimpah ruah yang telah diperuntukkan Allah s.w.t untuk kita. Kucing itu hanya menjadi asbab kepada terjemputnya segala rezeki ini menerusi keikhlasan kita dan doa dari kucing itu untuk tuan rumahnya.

Jadi, selepas ini jika kita didekati kucing berbaik sangkalah kepada Allah kerana agenda rezeki kita dari Allah itu lebih baik dari perancangan kita sendiri. Dan kehadiran kucing itu menjadi kunci kepada turunnya rezeki melimpah dan berterusan di dalam hidup kita.

Ya, rezeki bukan hanya wang ringgit dan harta benda tapi turut dalam bentuk yang lain seperti dapat beribadat, kegembiraan, kesihatan, ketenangan, ilmu pengetahuan, kemudahan dan bermacam lagi sama ada di dunia dan akhirat. Jadi, jika pintu rezeki ada 'meow' di hadapan kita, terimalah dengan redha dan syukur akan kehadirannya.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: