Makhluk yang bernyawa pasti akan mengalami mati dan kematian itu boleh berlaku dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Kematian itu merupakan ketetapan Allah yang tiada sesiapa boleh lari darinya.
Mati bererti terpisahnya antara jasad dan ruh dalam jangka waktu tertentu, kerana pada ketika manusia dibangkitkan dari kuburnya pada hari kiamat kelak maka ruh dan jasad akan menyatu kembali.
Berikut Langkah-langkah jika ada kematian mengejut dalam rumah kita :
1. Jangan cemas
Tunggu dua tiga jam sebelum terbit pagi. Insya Allah orang masjid akan sampai dan akan membantu uruskan jenazah.
2. Sapu minyak di kelopak mata
Sementara itu sapu minyak di kelopak mata arwah untuk lembutkan, kemudian cuba rapatkan mata arwah jika masih terbuka.
3. Sapu minyak di kedua siku
Begitu juga dengan tangan, sapukan sedikit minyak di kedua-dua siku untuk lembutkan kemudian letakkan kedua-dua tangan di atas perut.
4. Letak benda besi atas perut
Letak pisau besi atau gunting besi atas perut, supaya tak masuk angin.
5. Letak duit syiling di kelopak mata
Kelopak mata kalau payah nak tutup, letakkan duit syiling.
6. Ikat tangan
Tangan diikat dengan perca kain kemudian diqiamkan ke atas perut. Letakkan tangan kanan di atas tangan kiri.
7. Ikat dagu
Kepala hingga dagu juga elok diikat dengan perca kain supaya mulut tidak terbuka.
8. Jika berdarah sumbatkan kapas
Jika ada darah yang keluar dari hidung atau telinga, sumbatkan dengan kapas untuk menahan darah dari terus menitik keluar.
9. Tutup keseluruhan jenazah
Selimutkan arwah dengan kain yang dapat menutup seluruh jasad dari kepala hingga kaki. Boleh guna sebarang kain samada kain batik panjang dan sebagainya, asal saja dapat menutupi jenazah.
10. Berehat sebentar
Berehatlah dan cubalah untuk tidur dulu sementara menunggu subuh kalau kematian berlaku seawal jam 12 atau 1 pagi.
11. Buat pengesahan doktor
Mesti ada pengesahan kematian dari doktor klinik atau hospital.
12. Buat laporan polis
Bila dapat surat pengesahan tersebut baru buat laporan di balai polis berhampiran. Polis kemudiannya akan keluarkan Permit Pengkebumian atau surat kematian untuk urusan pengkebumian jenazah.
13. Jadi ahli khairat kematian
Menjadi ahli khairat kematian sama ada di surau atau masjid berdekatan rumah.
Jika kita tiada khairat kematian, hanya perlu ada sejumlah RM520 (mungkin jumlah wang berbeza di masjid lain) untuk pengurusan jenazah dari awal urusan dimandikan, dikafankan sehinggalah selamat dikebumikan. Wang boleh diserahkan kemudian, pihak masjid boleh dahulukan.
14. Urusan pengebumian jenazah
Pihak masjid yang akan menghubungi penggali kubur untuk menyediakan tapak kubur, begitu juga urusan kain kafan dan sebagainya. Waris si mati tidak perlu bimbang tentang semua perkara itu.
15. Ambil tahu AJK masjid
Patut juga kita ambil tahu nama-nama AJK masjid, yang lebih baik lagi kenal dan cam wajah mereka.
Ramai yang tidak tahu dan tak terfikir tentang adanya kemungkinan perkara ini tiba-tiba terjadi dalam rumah mereka. Harus bersedia menghadapi kematian kerana mati itu adalah sesuatu yang pasti.