Tip memilih isteri yang baik dan tepat perlu diketahui kaum Adam untuk membina rumah tangga yang bahagia dunia akhirat. Kebanyakkan lelaki cenderung lebih menyukai wanita berwajah cantik, namun tidak selamanya faktor fizikal membuat lelaki menjadikan seorang wanita sebagai pasangan hidupnya.
Atau boleh jadi, faktor fizikal tetap menjadi pertimbangan namun bukanlah prioriti utama. Ada beberapa faktor lain yang lebih penting untuk didahulukan oleh kaum Adam.
Berikut 10 tip kenali wanita baik untuk dibuat calon isteri :
1. Menjaga tutur bahasa
Seorang wanita yang baik akan sentiasa menjaga tutur bahasanya. Jika sebelum berkahwin lagi dia sudah boleh ber 'sial babi' kan kamu, sebaiknya kamu tidak perlu fikir jauh untuk pergi ke tahap yang lebih serius dengannya.
Ataupun yang jenis cakap ada virgin tak ada virgin sama saja. Better kamu back off. Wanita yang menjaga tutur bahasa ialah wanita yang menghormati dirinya. Hanya wanita yang mampu menghormati dirinya sahaja yang akan tahu menghormati suaminya setelah berumah tangga.
2. Tidak mengongkong
Dia tak pernah meminta untuk memegang atau memeriksa barang-barang peribadi kamu seperti handphone, beg duit ataupun beg galas. Dia sentiasa menghormati ruang, kawan-kawan, hobi, citarasa muzik, filem dan sesuatu yang kamu minati.
3. Mudah dibentuk
Apabila kamu mencadangkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan sesuatu perubahan, dia mudah untuk dibawa berbincang dan mudah menerima. Dia bukan jenis kaki bangkang ataupun seseorang yang sentiasa merasakan dia yang paling betul.
4. Bersederhana
Tidak keterlaluan di dalam melakukan sesuatu perkara. Seorang wanita yang bersederhana lebih disenangi. Ia boleh dilihat daripada cara berfesyen, solekan dan penjagaan diri.
Kalau kamu jenis lelaki yang boleh bersabar dapat seorang isteri atau bakal ibu kepada anak-anak kamu yang memerlukan masa 3 jam untuk bersolek hanya untuk keluar makan maka kamu bolehlah teruskan. Tetapi kalau kamu rasa tidak mampu bersabar, lebih baik lupakan saja dia.
5. Menghormati ibu ayah
Seorang wanita yang baik boleh dilihat daripada hubungannya dengan ibu dan ayahnya. Seseorang wanita yang menyayangi serta menghormati ibu ayahnya pasti akan mampu menghormati seorang lelaki yang bernama suami. Kalau kamu tengok cara dia layan ibu ayahnya kurang ajar semacam saja, kamu bolehlah fikir banyak kali untuk ambil dia jadi isteri dan ibu kepada anak-anak keturunan kamu.
6. Bijak
Seorang wanita yang bijak bukanlah semestinya memiliki ijazah atau diploma daripada universiti. Wanita yang bijak dapat dilihat daripada cara mereka melihat dunia dan apa yang berlaku disekelilingnya.
Seorang wanita yang bijak mampu melakukan sesuatu perubahan. Wanita yang bijak juga mampu melihat masa hadapan. Lelaki yang memiliki seorang wanita yang bijak sebagai isteri akan mampu mengatasi cabaran dan halangan kehidupan.
7. Rajin
Mempunyai seorang isteri yang pemalas adalah satu tragedi di dalam rumah tangga. Seorang lelaki yang mengemudi sebuah rumah tangga samalah seperti seorang nakhoda yang mengemudi sebuah bahtera. Cuba kamu bayangkan apa akan berlaku kepada sebuah bahtera jika co-kapten dan anak-anak kapalnya pemalas? Akan karamlah bahtera itu dan tidak mungkin akan sampai ke destinasinya.
Macam itulah juga dengan sesebuah rumah tangga. Hendak kenal wanita itu rajin atau tidak mudah saja, kamu perhatikan dia selalu bangun tidur pukul berapa. Kalau yang jenis bangun tidur pukul 12.30 tengah hari, baik kamu lupakan saja.
8. Penyabar
Perempuan sebenarnya adalah lebih penyabar daripada lelaki. Sebab itu Allah berikan kelebihan mengandung dan melahirkan anak itu kepada orang perempuan. Orang perempuan lebih sabar menahan kesakitan yang panjang. Orang perempuan lebih sabar menahan dugaan.
Oleh itu, jika kamu mahu rumah tangga sentiasa bahagia, kamu kena pastikan kamu memiliki seorang isteri yang lebih penyabar daripada kamu kerana kamu tidak akan mampu bersabar apabila hidup bersama dengan seorang perempuan yang tidak penyabar.
9. Kreatif dan inovatif
Hidup ini bukan selamanya kita senang dan bukan selamanya kita susah. Seorang wanita yang kreatif dan inovatif akan mampu membantu kamu menghadapi saat-saat kamu berada di bawah mahu pun di atas roda kehidupan. Wanita yang kreatif dan inovatif bukan sahaja akan menyokong setiap usaha yang kamu buat malah dia akan berkongsi memberikan idea untuk kamu menjayakan sesuatu usaha itu.
Sebagaimana kisah Ummul Mukminin, Siti Khadijah radhiallahu 'anha menyokong dan memberi idea kepada Rasullullah s.a.w untuk menjalankan kerja-kerja dakwah Baginda di peringkat awal di kota Mekah.
10. Beragama
Seorang wanita yang baik ialah seorang wanita yang beragama dan menghormati ajaran agamanya. Kalau seorang wanita islam kamu boleh lihat pada bagaimana dia menjaga solatnya. Kalau yang bukan islam kamu lihat kepada ketaatannya mematuhi kod-kod disiplin dan ajaran agamanya.
Apa yang paling penting ialah niat kamu. Jika niat kamu betul-betul hendak mencari seorang isteri supaya kamu dapat membentuk sebuah kehidupan dan mengamal sunnah Nabi s.a.w, Insya Allah tidak sukar untuk kamu jumpa wanita baik yang dicari. Tetapi jika niat kamu cuma nak suka-suka atau nak test drive, sampai bila pun kamu takkan jumpa wanita yang baik, sebab kamu sendiri pun bukan seorang lelaki yang baik.