15 Tips Untuk Mudah Menyimpan Duit


1. Hapuskan Hutang Anda Terlebih Dahulu

Kira berapa banyak anda telah habiskan untuk membayar hutang. Anda akan mendapati bahawa menghapuskan hutang adalah cara terpantas yang boleh anda gunakan untuk mendapatkan duit lebih untuk disimpan.

Apabila anda tidak menggunakan wang untuk pembayaran hutang, anda boleh menyimpan duit tersebut. Lagi cepat anda membayar hutang, lagi tenang hati anda kerana anda tak perlu lagi fikir pasal hutang.

Anda hanya perlu fikir tentang menyimpan sahaja ataupun melabur. Sudah tahu banyak hutang janganlah anda menambahnya lagi, bukan mudah nak menyelesaikan hutang.

2. Tetapkan Matlamat Tabungan Anda

Berapa banyak sebenarnya yang anda nak simpan? Jika anda ingin membeli rumah, anda tentukan berapa banyak bayaran muka yang anda perlu buat. Untuk matlamat jangka panjang, seperti persaraan, anda perlu melakukan perancangan yang lebih rapi.

Anda kena memikirkan berapa banyak wang yang anda perlukan untuk hidup dengan selesa selama 20 atau 30 tahun selepas anda berhenti kerja dan anda juga perlu memikirkan bagaimana pelaburan akan membantu anda mencapai matlamat anda.

Bila anda sudah ada duit lebih, anda boleh laburkan duit tersebut, tapi kena ingat cari ilmu dahulu sebelum melabur kalau tidak nanti mudah jadi mangsa penipuan seperti skim cepat kaya, MLM dan seumpamanya.

3. Buat Satu Jangka Masa Untuk Anda Menyimpan

Sebagai contoh anda nak beli sebuah rumah dua tahun akan datang bermula dari hari ini. Apabila anda sudah menetapkan tarikh tertentu, tarikh tersebut membolehkan anda fokus untuk mencapai matlamat itu.

Anda perlu pastikan dalam jangka masa itu anda boleh capai objektif anda. Jika matlamat yang anda tentukan itu tidak boleh dicapai, anda mungkin akan merasa kecewa.

Cuba kira-kira berapa banyak anda boleh simpan setiap bulan dan setiap tahun. Dari situ anda boleh tengok berapa banyak anda boleh simpan dalam jangka masa yang lebih panjang.

4. Fikirkan Berapa Banyak Yang Anda Perlukan Untuk Menyimpan

Anda perlu fikir berapa banyak yang boleh anda simpan duit selama seminggu, sebulan atau setiap kali anda mendapat gaji untuk mencapai setiap matlamat penyimpanan duit anda. Ambil kira setiap perkara yang perlu menggunakan duit dan berapa banyak yang anda perlukan untuk memulakan simpanan harian anda bermula hari ini. Jangan tunggu-tunggu lagi.

Sebagai contoh, jika anda mahu meletakkan bayaran muka sebanyak RM20 ribu untuk sebuah rumah dalam masa 36 bulan (tiga tahun), anda akan perlu mencari jalan untuk menyimpan kira-kira RM560 (560 darab 36 = RM20,160) setiap bulan.

Tetapi jika gaji anda sedikit. Sebagai contoh lebih kurang RM1,000, anda pasti tahu menyimpan sebanyak itu bukanlah satu matlamat yang realistik. Kecualilah jika anda tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab dan anda dapat makanan percuma dan tidak perlu keluar duit minyak untuk pergi tempat kerja. Anda kena adaptasi matlamat anda dengan realiti hidup anda.

5. Simpan Rekod Perbelanjaan Anda

Dengan kata lain, keep track perbelanjaan anda. Ada dua perkara mengenai duit anda: berapa banyak yang anda dapat dan berapa banyak yang anda belanjakan. Tulis perbelanjaan anda untuk setiap bulan. Buat seperinci yang mungkin dan pastikan anda masukkan pembelian kecil seperti syampu dan lain-lain.

Buat kategori untuk setiap pembelian seperti insuran kereta, bayaran kereta, bil telefon, bil elektrik, hiburan dan lain-lain. Simpan satu nota kecil dengan anda pada setiap masa (sekarang anda boleh gunakan telefon pintar anda). Jadikan satu tabiat anda untuk merakamkan setiap perbelanjaan dan simpan resit untuk setiap perbelanjaan.

Kemudian, duduk seminggu sekali dengan nota kecil dan resit anda. Rekodkan perbelanjaan anda ke dalam Microsoft Excel. Anda boleh menggunakan fungsi kira-kira di dalam Excel.

Terdapat juga app yang anda boleh muat turun di Play Store untuk membantu anda menjejaki perbelanjaan anda. Atau pun, anda boleh rekod dalam buku sahaja supaya setiap duit keluar masuk tersebut kita boleh tahu pergi kemana. Dari situ kita boleh kesan duit keluar berlebihan.

6. Nilai Semula Matlamat Simpanan Anda

Cuba tolak perbelanjaan anda daripada pendapatan yang anda bawa pulang. Tolak juga cukai, berapa banyak bezanya? Dan adakah ia sepadan dengan matlamat simpanan anda?

Katakan anda telah memutuskan anda 100% pasti anda boleh hidup dengan RM1500 sebulan, dan jumlah gaji anda ialah RM2300 sebulan. Ini bermakna anda mempunyai RM800 untuk disimpan.

Jika anda tidak boleh memuatkan objektif simpanan anda mengikut bajet anda, lihat kembali kenapa anda menyimpan dan tolak ke tepi perkara yang kurang penting atau anda boleh menyesuaikan jangka masa simpanan anda.

Jika anda rancang dalam 2 tahun anda beli kereta baru, mungkin anda boleh tambah setahun lagi untuk membelinya (3 tahun) dan pada waktu itu pun kereta sudah semakin canggih untuk anda beli.

7. Kurangkan Perbelanjaan Anda

Dah merekodkan perbelanjaan anda? Cuba anda lihat kembali rekod perbelanjaan anda itu. Anda mungkin akan terkejut apabila anda melihat kembali rekod perbelanjaan anda, contohnya : RM30 untuk ais krim, RM10 untuk tiket letak kereta dan mungkin juga RM40 untuk tiket wayang (bila anda belanja kawan-kawan ataupun anak-anak anda).

Anda akan melihat beberapa banyak pembaziran yang anda lakukan. Dan yang anda boleh kurangkan. Bergantung kepada berapa banyak yang anda perlukan, mungkin anda perlu membuat beberapa keputusan yang sukar. Apa yang penting, fikirkan tentang keutamaan anda dan potong mana-mana yang boleh dipotong.

Kira berapa banyak yang anda boleh berjimat kemudian tengok berapa yang akan anda dapat dalam tempoh setahun. Anda akan menjadi lebih bermotivasi untuk untuk menyimpan bila anda tahu berapa banyak anda dapat jimatkan.

Cari side income. Sudah tahu gaji kecil, cubalah cari side income seperti meniaga online, sabtu ahad kerja part time, jadi agent dropship atau lain-lain lagi yang boleh tambahkan pendapatan anda.

8. Buat Bajet Anda Sendiri

Bila anda sudah rekod, sudah tahu objektif anda, anda boleh buat bajet anda. Sebaik sahaja anda telah berjaya untuk mengimbangi pendapatan anda dengan matlamat simpanan anda dan perbelanjaan, tuliskan bajet supaya anda akan tahu setiap bulan berapa banyak gaji yang akan anda gunakan.

Jangan lupa pasal bajet sebab selalunya bila kita nampak benda kita rasa nak beli. Dengan bajet, kita boleh cuba elakkan benda ni daripada berlaku. Kita tetapkan terus berapa banyak kita nak berbelanja. Sebagai contoh, kita hanya akan membelanjakan RM30 sebulan pada menonton wayang, makan coklat dan lain-lain.

Buat juga bajet tahunan, tulis semua tahun itu anda nak beli apa atau segala aktiviti yang mengunakan duit.

9. Berhenti Menggunakan Kad Kredit

Bayar untuk segala-galanya dengan wang tunai, jangan gunakan cek. Dengan kata lain, jangan berlagak kaya. Kita secara automatik akan lebih mudah berbelanja apabila kita tak nampak duit itu di depan mata. Kenapa? Sebab anda tak nampak duit itu berkurangan di depan mata anda. Jika anda guna wang tunai, anda boleh melihat duit itu berkurangan dan setidak-tidaknya akan tercuit rasa menyesal bila berbelanja banyak sangat.

Jika anda perlu mempunyai kad kredit tetapi tak mahu tergoda, letakkan secebis kertas yang tertulis matlamat anda itu dalam dompet anda. Bila anda rasa nak guna kad kredit saja, anda nampak matlamat anda atas kertas. Kalau semangat kuat, anda akan ingat pelan anda dan berhenti gunakan kad kredit untuk benda yang tak perlu. Atau anda boleh letakkan kata-kata semangat untuk memastikan kad itu anda gunakan betul-betul untuk benda yang penting sahaja.

Kad kredit tidak semestinya jahat. Jika anda menggunakan kad kredit dengan bertanggungjawab. Bayar hutang kad kredit anda, anda boleh mendapat manfaat daripada penggunaan kad kredit. Tetapi ingat, syarikat kad kredit membuat duit apabila anda membelanjakan wang. Syarikat kad kredit akan mempromosikan pelbagai benda kepada anda. Tawaran wang kembali, pengenalan, poin penerbangan dan bermacam-macam lagi.

10. Letak Duit Dalam Balang

Cuba anda letakkan duit yang anda nak pakai setiap bulan ke dalam balang masing-masing. Untuk kereta, untuk minyak, untuk makan minum dan lain-lain, letak dalam balangnya sendiri.

Kalau nak pakai duit, tarik keluar duit daripada balang tersebut. Mesti anda akan nampak betapa cepatnya duit itu habis. Dan disebabkan itu, anda akan berfikir banyak kali sebelum nak habiskan duit.

Menyimpan duit warna dalam balang, sebagai contoh warna hijau RM5. Kalau anda dapat sahaja duit RM5 jangan guna terus, tapi masukkan saja dalam tabung khas tersebut sebagai simpanan anda.

11. Cari Akaun Bank Dengan Kadar Dividen Yang Lebih Tinggi

Senang saja nak faham poin ini kan? Cari bank yang boleh bagi dividen yang lebih tinggi. Cuba buat dalam bentuk carta. Itu cara termudah untuk tahu mana bank yang boleh tawarkan dividen yang tinggi.

Cuba lihat pelaburan berisiko rendah tetapi mempunyai dividen yang tinggi. Tabung Haji juga menawarkan peratus yang tinggi. Satu lagi ialah Bank Rakyat. Cuba anda tengok semua pilihan yang ada.

12. Bayar Diri Sendiri Dahulu

Simpanan harus menjadi keutamaan anda. Jadi, jangan kata anda cuma mampu simpan apa yang tinggal pada akhir bulan sahaja. Anda telah menipu diri sendiri kalau anda cakap begitu. Anda takkan simpan.

Simpan duit sejurus selepas anda dapat gaji ke dalam akaun ataupun tabung anda. Cara yang mudah dan berkesan untuk memulakan penjimatan adalah dengan mendepositkan 10% setiap kali gaji yang anda dapat dalam akaun simpanan. Anda boleh membuat pemindahan automatik dari akaun anda ke akaun yang lain (yang anda takkan sentuh duit di dalamnya).

13. Jangan Mudah Kecewa atau Berputus Asa

Anda mungkin ak terfikir anda boleh menjadi kaya dan untuk menjadi jutawan adalah susah dan mustahil. Tapi bayangkan, sedikit demi sedikit anda menyimpan. Pada mulanya memang sedikit. Seperti tak cukup tapi lama-kelamaan, perubahan mula berlaku. Anda akan dapat nampak duit yang dsimpan yang sedikit itu mula bertambah.

Jadikan tabiat menyimpan sebagai hobi anda dan anda akan seronok bila tengok duit makin bertambah dalam simpanan anda. Tetapi ingat, jangan sampai kedekut sampai takut nak bersedekah, sebab sedekah itu adalah pembuka pintu rezeki kita. Kalau nak kaya dan banyak duit perbanyakkanlah bersedekah.

14. Ambil Perlindungan Takaful Atau Kad Perubatan

Bila kita sudah ada banyak simpanan, kita perlu mempunyai sekurang-kurangnya kad perubatan supaya kalau berlaku perkara tidak diingini, kita tidak perlu mengeluarkan dan mengunakan duit simpanan kita.

Sebagai contoh kalau kita masuk hospital disebabkan patah kaki bermain bola, sekurang-kurangnya kos pembedahan semua itu lebih kurang RM 20,000. Agak-agak senang tak kita nak menyimpan RM20,000? Mesti susah, sebab itu digalakkan anda mengambil kad perlindung takaful hanya bayar lebih kurang RM80-RM100 sahaja setiap bulan.

Ramai orang jatuh muflis disebabkan terpaksa membayar bil rawatan hospital dan mengambil personal loan. Akhirnya baru mereka menyesal kalau tahu ambil kad perubatan secepat mungkin. Jadi penting tak kad perubatan tersebut?

15. Jangan Lupa Simpan Duit Raya

Bila anda dapat duit raya, jangan lupa simpan duit raya itu. Terutama sekali bagi anak-anak yang masih kecil. Masa ini anda boleh dapat banyak duit raya. Tidak hanya duit raya tetapi juga dengan lain-lain duit sumbangan yang anda perolehi.
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: