Setiap pasangan berkahwin mempunyai impian membina rumah tangga yang serba lengkap iaitu ada rumah, kereta dan peralatan moden yang memudahkan kehidupan mereka. Tetapi, tidak semua orang dapat mencapai impian hidup mewah dan senang selepas baru berkahwin.
Kerana sebelum berkahwin mereka telah pun membelanjakan wang yang agak banyak untuk beberapa majlis. Umpamanya bermula dari majlis pertunangan sehingga perkahwinan. Hutang yang terbeban oleh pasangan yang baru berkahwin memang banyak.
Justeru bagi yang bijak mereka akan sentiasa berhemah dalam perbelanjaan dan mengamalkan hidup sederhana bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga dan mengelak konflik suami isteri akibat masalah kewangan.
Berikut adalah tips untuk mengamalkan hidup sederhana bagi pasangan yang baru berkahwin.
1. Sewa rumah yang mampu dibayar
Jika belum mampu membeli rumah sendiri, Sewa rumah yang mampu dibayar. Biar tidak besar asalkan selesa dan dapat dijadikan tempat tinggal buat sementara selagi belum mampu memiliki rumah sendiri.
Tinggal sendiri boleh mengajar pasangan baru berkahwin tentang ilmu dan pengalaman berumah tangga kerana apabila sudah tinggal berasingan dari keluarga mereka perlu lebih bijak merancang kehidupan.
2. Keperluan asas dalam rumah
Membeli keperluan asas dalam rumah tangga, seperti set dapur, pinggan mangkuk, sudu garpu, senduk, seterika dan sebagainya serta set bilik tidur dan keperluan harian yang bersesuaian dengan harga yang mampu dibayar. Buat sementara waktu beli yang tidak terlalu mahal harganya.
3. Kenderaan biasa sahaja sebagai pengangkutan
Kenderaan amat penting sebagai pengangkutan ke tempat kerja atau balik kampung. Jika ada duit simpanan boleh membeli motor untuk memudahkan perjalanan suami isteri ke tempat kerja atau membeli kereta yang kecil dan murah untuk kegunaan suami isteri. Jika tidak mampu naik kenderaan awam sahaja ia lebih menjimatkan kos hidup.
4. Masak dan makan di rumah
Masak di rumah dan tidak membazir dengan membeli makanan yang mahal dan sentiasa berhemah di dalam perbelanjaan. Memasak di rumah bukan sahaja menjimatkan malah mengeratkan lagi hubungan suami isteri.
Kata orang tua, air tangan isteri akan membuatkan suami akan sentiasa teringat-ingat akan isterinya. Cuma sekali-sekala bolehlah makan di luar untuk mengambil hati atau meraikan pasangan.
5. Elak beli barangan tidak perlu
Jangan membeli barang yang tidak perlu seperti hiasan rumah yang hanya bertahan beberapa bulan sahaja. Elakkan membeli peralatan rumah yang tidak kerap digunakan atau barangan yang sudah ada tetapi dibeli lagi untuk sekadar disimpan dalam almari hiasan semata. Berbelanja hanya bila perlu sahaja.
6. Sentiasa rasa bersyukur dan tidak tamak
Sentiasa mengamalkan konsep bersyukur dan tidak tamak serta iri hati melihat apa yang orang lain ada. Misalnya melihat orang lain membeli baju, tudung, kasut dan barangan berjenama, kita juga mahu yang sama. Memadai dengan barangan biasa namun kelihatan elok dipakai dan tahan lama.
7. Jangan bandingan kehidupan kita dengan orang
Jangan selalu bandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Ikut kemampuan diri sendiri dan sentiasa berhemah dalam apa juga yang dibelanjakan. Jika ada wang lebih menabung sedikit demi sedikit.
8. Amal gaya bersederhana sejak awal perkahwinan lagi
Dari awal perkahwinan jika sudah mengamalkan gaya hidup sederhana ia akan menjamin kebahagiaan hidup di masa depan.
Walaupun mungkin ada yang mampu hidup bermewah selepas berkahwin, buang rasa sombong dan ego serta sentiasa mendidik anak-anak dalam suasana kehidupan yang sederhana bagi mendidik jiwa mereka menjadi mulia.
Kesimpulannya, memulakan kehidupan berumah tangga dengan cara hidup sederhana amat dituntut dalam agama Islam. Pasangan yang baru berumah tangga juga dapat menghayati konsep bersyukur dan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan apa yang dihajatkan.