Pastinya setiap wanita yang bergelar isteri ingin dirinya dihargai oleh suami yang menjadi belahan hati. Namun adakah pihak suami tahu cara menghargai isteri mereka?
Tidak mustahil ada yang masih tidak tahu bagaimana mahu melakukannya atau mungkin menganggap penghargaan untuk isteri itu hanya melalui hadiah yang mahal.
Berikut lelaki boleh pilih 10 cara ini untuk redakan marah wanita :
1. Jaga panggilan
Suami yang menyayangi dan mencintai isterinya, tentu tidak ragu untuk mengungkapkan rasa sayangnya. Memanggil isteri dengan panggilan manja, sayang, atau apa saja panggilan yang disukai isteri adalah contoh kasih sayang yang boleh ditunjukkan suami.
2. Layanan
Apabila suami menghargai isteri, dia akan berusaha melayan isterinya dengan lemah lembut, baik dalam sikap mahupun tutur kata. Suami begini akan berusaha menjauhi sikap kasar dan keras terhadap isteri.
Meskipun isteri bersalah atau mengecewakannya, dia akan menasihatinya dengan baik bukan dengan makian, bentakan, atau tamparan di wajah.
3. Manis wajah
Isteri yang selalu melihat senyum dan keceriaan di wajah suaminya, tentu akan lebih mudah untuk merasakan kebahagiaan. Berbeza bila suami selalu menunjukkan wajah yang masam, dia akan merasa serba salah dan tidak gembira kerana merasakan suaminya tidak bahagia bersamanya.
4. Pujian
Meskipun kelihatan remeh namun pujian yang tulus daripada seorang suami dapat memberikan kesan psikologi yang sangat besar bagi seorang isteri. Kata-kata pujian boleh menambah semangat, percaya diri dan tentu saja membuat hatinya berbunga-bunga penuh bahagia.
Pada dasarnya, setiap wanita suka dengan pujian, lebih-lebih lagi kalau pujian itu datang dari mulut suami yang sangat dicintainya. Orang yang berkongsi hidup bersamanya.
5. Hadiah
Hadiah adalah pembawa pesan cinta, dan menjadi salah satu bentuk penghargaan suami terhadap isteri. Akan lebih berkesan, bila hadiah diberikan tanpa diberitahu terlebih dahulu. Ini akan menjadi kejutan yang membahagiakan.
6. Bantu kemas rumah
Kerja rumah tangga tidak pernah habis. Suami yang baik akan berusaha meringankan beban isterinya dalam mengurus rumah tangga. Misalnya, membantu isteri mencuci, menjemur pakaian, mengemas rumah dan banyak lagi. Dengan demikian seorang isteri akan dihargai oleh suaminya.
7. Mengurus anak
Kesibukan menguruskan pelbagai kerja rumah sekali gus mengurus anak, tentu membuatkan isteri kepenatan. Terutama jika terpaksa menguruskan anak-anak yang masih kecil, apa lagi kalau anak ramai.
Suami yang membantu isteri mengurus anak, bererti dia telah mengurangi kesibukan isteri dan membuatnya lebih tenang dalam menyelesaikan pelbagai macam kerja di rumah.
8. Prihatin kesihatan
Ketika isteri sakit, segeralah mencari ubat untuk meredakan kesakitannya. Selain itu jangan benarkan isteri membuat kerja rumah sepanjang diri tidak sihat. Ia bukan saja tanda penghargaan tapi juga prihatin.
9. Hargai orang tua
Berbakti kepada ibu bapa isteri atau mentua juga merupakan satu penghargaan suami buat isteri. Bakti suami tersebut akan membahagiakan isteri dan kedua orang tuanya.
10. Jaga silaturrahim
Suami juga boleh menjalin silaturrahim dengan seluruh anggota keluarga dan sanak saudara isterinya. Berbuat baik, menghormati dan menjalin hubungan mesra terhadap menjadi tanda bahawa suami bukan sahaja menghargai isteri malah keluarganya juga.