Buah pinggang atau ginjal merupakan organ yang penting kepada kesihatan kita. Buah pinggang berfungsi menapis darah, menghasilkan hormon, menyerap mineral, menghasilkan urin (air kencing), menyahtoksin dan meneutralkan asid dalam tubuh.
Sebagai salah satu organ yang penting bagi tubuh manusia, buah pinggang perlu dijaga dengan sebaiknya. Kerosakkan buah pinggang biasanya tidak dapat dikenal pasti sehinggalah berlarutan bertahun-tahun kerana buah pinggang masih mampu melakukan fungsinya walaupun cuma tinggal 20% daripada kemampuan asalnya.
Berikut 10 perkara yang menjadi punca kerosakkan buah pinggang :
1. Tidak minum air yang cukup
Fungsi paling penting buah pinggang ialah menapis darah, menyahtoksin dan bahan buangan dalam tubuh kita. Tetapi apabila kita tidak minum air kosong yang mencukupi iaitu 3 liter bagi lelaki dan 2.5 liter bagi wanita, menyebabkan toksin dan bahan buangan akan mula menimbun. Lama-kelamaan hal ini akan menyebabkan berlakunya kerosakan buah pinggang dan organ lain dalam tubuh.
2. Diet tinggi garam (sodium)
Tubuh kita memerlukan garam (sodium) untuk berfungsi dengan baik. Tetapi jika garam diambil berlebihan dalam diet kita, ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Hal ini akan memberi tekanan dan bebanan yang tinggi kepada buah pinggang.
Peraturan yang penting yang perlu kita amalkan dalam diet adalah makan tidak lebih daripada 5 gram garam dalam sehari.
3. Selalu bertangguh atau menahan buang air kecil
Ramai yang jarang ambil peduli bila rasa nak terkucil (buang air kecil) terutama bila terlalu sibuk. Perbuatan terlalu kerap menahan kencing akan meningkatkan tekanan urin. Hal ini akan menyebabkan berlakunya masalah kegagalan buah pinggang dan penyakit batu karang.
4. Pengambilan gula berlebihan
Kajian saintifik mendapati bahawa orang yang mengambil 2 atau lebih air bergula setiap hari lebih tinggi risiko mendapat masalah protein dalam air kencing. Protein dalam air kencing adalah tanda awal yang menunjukkan bahawa buah pinggang tidak berfungsi dengan sempurna.
5. Kekurangan vitamin dan mineral penting
Mengamalkan diet yang mengandungi sayur-sayuran segar dan buah-buahan adalah penting kepada kesihatan keseluruhannya kerana ia memastikan buah pinggang berfungsi dengan baik. Kekurangan vitamin dan mineral boleh mengakibatkan risiko penyakit batu karang dan menjadi punca sakit buah pinggang.
6. Mengambil sumber protein daripada haiwan berlebihan
Mengambil terlalu protein daripada sumber haiwan seperti daging (red meat) akan menambah buatan metabolik pada buah pinggang. Apabila semakin banyak protein diambil dalam diet maka semakin teruk buah pinggang terpaksa bekerja. Hal ini akan membawa kepada masalah kerosakan buah pinggang.
7. Tidak cukup tidur
Tidur yang cukup dan berkualiti pada malam hari adalah sangat penting kepada tubuh kita. Masalah gangguan tidur yang kronik selalu dikaitkan dengan banyak masalah kesihatan antaranya sakit buah pinggang.
Semasa tidur pada waktu malam, tubuh kita bekerja memperbaiki kerosakan tisu buah pinggang. Oleh itu, kita perlu beri masa kepada tubuh kita untuk menyembuh (heal) dan memperbaiki dengan sendirinya tanpa gangguan.
8. Suka kepada minuman berkafein
Kafein juga boleh menjadi punca sakit buah pinggang kerana kafein meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan tekanan berlebihan kepada buah pinggang. Pengambilan kafein yang berlebihan bagi tempoh yang lama boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang kita.
9. Penyalahgunaan pil tahan sakit
Ramai orang sakit sikit pun suka ambil pil tahan sakit atau painkiller sedangkan ada banyak cara lain yang lebih selamat untuk mengatasi rasa kesakitan tersebut contohnya minum air halia bagi sakit senggugut dan sebagainya.
Pengambilan pil tahan sakit yang berlebihan akan menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang yang teruk.
10. Pengambilan alkohol
Alkohol digelar sebagai legal toxin yang boleh menyebabkan tekanan berlebihan kepada buah pinggang dan hati, seterusnya jadi punca kerosakan kronik kepada organ tersebut.