10 Cara Supaya Almari Kekal Kemas Tidak Bersepah


Almari pakaian adalah salah satu keperluan utama dalam sesebuah kediaman. Memilikinya mudah, namun untuk menjaganya agak susah terutamanya golongan bekerjaya. Rimas juga jika setiap hari perlu melihat almari pakaian yang berselerak dan menyusahkan anda untuk memilih pakaian yang dimahukan.

Atas sebab itu, anda harus ikuti cara menguruskan almari pakaian agar sentiasa kemas dan tersusun. Kadang-kala, ruangan yang kecil pun boleh dimuatkan barang yang banyak. Dengan idea yang bijak, anda pasti boleh menjadikan almari pakaian sebagai ruangan yang paling kemas serta teratur.

Berikut 10 cara supaya almari kekal kemas tidak bersepah :

1. Gunakan penyangkut pakaian yang sama


Jadikan sebagai tanggungjawab anda untuk memastikan penyangkut yang digunakan adalah sama daripada segi warna, jenis, bentuk dan susunan kepalanya agar ia kelihatan seragam dan sedap mata memandang.

Anda juga perlu menitik beratkan penjagaan baju jika anda nak baju tahan lama dan kekal cantik. Oleh itu, gunakan penyangkut atau hanger yang bersesuai dengan fabrik pakaian. Untuk jaket yang berasaskan material tebal dan berat, cuba gunakan penyangkut kayu manakala penyangkut lembut yang mempunyai perincian span untuk pakaian yang lebih ringan dan mudah rosak.

2. Pastikan semua pakaian digantung menghadap arah yang sama


Demi memastikan almari kelihatan lebih tersusun, pastikan tag, saiz, butang mahupun leher kolar pakaian anda menghadap arah yang sama. Ia juga akan memudahkan anda untuk memilih dan mencapai pakaian yang ingin dipakai setiap hari.

3. Asingkan pakaian mengikut kod warna


Cipta satu kaedah yang boleh memudahkan anda untuk melihat pilihan warna pakaian yang anda miliki. Selain kelihatan cantik seperti pelangi, cara ini dapat mempercepatkan proses campur dan padan dalam memilih konsep pakaian harian. Ia juga dapat memberi motivasi kepada anda setiap kali ingin mencari padanan baju yang sesuai!

4. Sediakan ruang untuk aksessori


Aksessori seperti tali pinggang, tas tangan, tali leher dan sebagainya hendaklah diasingkan di satu ruang mengikut kategori dan mudah untuk dijumpai. Gantung tali pinggang pada cangkuk dan susun tas tangan pada rak asing.

5. Susun baju anda ikut kategori


Pelbagai tip melipat baju dengan kemas boleh didapati di internet. Oleh itu, lipat dan susun baju menghadap bahagian yang terlipat untuk memudahkan anda mengeluarkannya daripada laci pakaian kelak. Pastikan juga semuanya tersusun mengikut kod warna. Ini dapat menjimatkan ruang dan juga masa anda dalam proses memilih pakaian.

Selain itu, kumpulkan baju-baju anda mengikut kategori dan jenis seperti; baju kerja, seluar, kasut, tas tangan, tudung, pakaian dalam, pakaian tidur, pakaian hari-hari di rumah. Ini akan memberi kelebihan kepada anda untuk melihat dengan jelas apa yang anda miliki di dalam almari tersebut.

6. Cipta satu sudut untuk capai dan gerak


Sudut capai dan gerak adalah untuk barang keperluan asas yang anda akan gunakan setiap hari. Contoh termudah untuk wanita ialah peralatan solekan.

7. Manfaatkan dinding


Dinding yang kosong jangan dibazirkan begitu sahaja. Daripada dicemari sawang, ada baiknya jika anda membina rak-rak berguna yang memanfaatkan ruangan dinding kosong sehingga ke bahagian siling sebagai ruangan simpanan. Jadi, dengan adanya ruangan alternatif ini, tidaklah semua barangan anda mahu disumbatkan di dalam almari.

Kemas - lekatkan label supaya almari pakaian nampak lebih tersusun

8. Letakkan label


Lekatkan kertas papan putih atau papan hitam yang boleh anda dapati dari kedai kraf pada susunan ruang almari untuk dijadikan label. Bijak bukan? Ianya lebih teratur!

9. Asingkan pakaian yang tidak digunakan


Mereka yang gemar melancong, pasti banyak menyimpan pakaian seperti; baju sejuk, stokin, sarung tangan dan sebagainya yang tidak digunakan hari-hari. Oleh itu, asingkan ia daripada ruang simpanan almari utama anda. Boleh simpan ia dalam kotak besar.

10. Gunakan ruang almari secara menyeluruh


Meskipun almari itu telah mempunyai ruang simpanan yang sedia ada, anda sebenarnya boleh menggunakan almari secara menyeluruh. Percayalah bahawa setiap ruang kosong ada kegunaannya. Anda boleh gunakan rak tergantung, malah tong serbaguna untuk menyimpan serta memenuhi ruangan dalam almari secara optimum.

      Baca : 11 Jenis Kategori Manusia Di Media Sosial

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Anda boleh dermakan pakaian lama yang masih elok kepada yang memerlukan. Buat apa simpan barang terlalu banyak sehingga almari pakaian anda umpama perut ikan paus yang tunggu masa untuk meletup? Nah, jadi ringan-ringankan tulang untuk mengemas kini almari anda. Asingkan baju-baju lama yang anda rasa masih dalam keadaan elok, namun tidak mahu dipakai lagi untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan. Bukankah itu lebih mulia?

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: