7 Langkah Tingkatkan Tahap Kecerdasan Emosi Atau Emotional Intelligence (EQ)


Secara umumnya ramai orang kebiasaannya lebih fokus kepada IQ iaitu kecerdasan otak, namun agak jarang kita dengar tentang EQ iaitu kecerdasan emosi. Mungkinkah masyarakat kita lebih berorientasikan kecemerlangan akademik disebabkan itu, kita kurang menekankan perihal kecerdasan emosi dan sahsiah diri?

Adakah kita sememangnya menganggap kejayaan seseorang hanya bergantung kepada kepintaran? Tetapi, tahukah anda bahawa 90% orang berjaya di dunia kebanyakannya memiliki EQ yang tinggi dan tidak bergantung kepada IQ semata-mata!

Apa itu EQ?

Menurut Psychology Today, Emotional Intelligence (EI atau EQ) ditakrifkan sebagai kebolehan mengenalpasti dan menguruskan emosi diri sendiri serta orang lain. Ia melibatkan tiga kemahiran utama seperti berikut:

1. Keupayaan menganalisis emosi dalaman dan perasaan orang di sekeliling.
2. Keupayaan menggunakan emosi dalam setiap tugasan.
3. Keupayaan mengawal emosi.

Contoh situasi yang menggunakan EQ

1. Pengurus restoran yang bercakap dengan tenang dan yakin kepada pelanggan yang sedang memaki-hamun.
2. Kawan anda yang paling tenang dan boleh diharap untuk memberi nasihat atau membantu anda dalam kesusahan.
3. Ahli pasukan penyelamat yang membantu mangsa selepas berlakunya bencana alam.
4. Pasangan hidup yang jarang marah, sedia memaafkan dan mengaku kesilapan sendiri.

Kelebihan orang dengan EQ tinggi

Banyak kajian mendapati mereka dengan EQ yang tinggi mempunyai kehidupan yang lebih gembira berbanding orang lain. Tak kisahlah sama ada dalam bidang sosial ataupun profesional, mereka akan sentiasa bahagia. Orang ber-EQ tinggi juga kurang mengalami masalah kesihatan mental termasuklah kemurungan dan kebimbangan.

Selain itu, orang dengan EQ tinggi juga bahagia dalam kehidupan berpasangan dan berjaya dalam kerjaya kerana kemampuan mereka yang melebihi jangkauan. Pendek kata, mereka ini manusia yang berjaya dalam segala aspek.

Anda mahu jadi orang yang tinggi EQ?

Walaupun EQ akan meningkat secara semulajadi mengikut usia seseorang, tetapi anda sebenarnya masih boleh meningkatkan tahap kecerdasan emosi anda. Mudah saja. Amalkan beberapa perkara di bawah ini.


Berikut 7 langkah tingkatkan tahap kecerdasan emosi (EQ) :

1. Tidak berfikir perihal negatif tentang diri sendiri


Ada segelintir orang memang sudah sebati dengan pernyataan pesimistik dalam diri seperti "Saya ini seorang yang gagal", "Saya tak mampu buat lebih baik", atau "Saya tak cantik macam orang lain."

Namun, bagi orang yang tinggi EQ pula, mereka berkeupayaan untuk mengawal buah fikiran yang pesimis atau sinis dan bergantung kepada fakta sahaja sebelum membuat sebarang kesimpulan. Bagi mereka, fikiran negatif ini hanyalah 'fikiran' dan pendirian mereka tidak boleh dimanipulasi dengan mudah. Mereka mampu mengimbangi setiap perasaan yang lahir dengan realiti dan logik.

Orang dengan EQ tinggi tidak menggunakan faktor seperti kekayaan, kekuasaan, status dan populariti sebagai pendorong untuk berjaya. Mereka hanya berpegang kepada keinginan dan matlamat peribadi sahaja. Selain itu, orang dengan emosi yang cerdas tidak takut untuk keluar dari zon selesa sekiranya ingin mencapai sesuatu.

2. Tidak terlibat dengan kisah drama orang lain


Salah satu ciri orang ber-EQ tinggi ialah memiliki daya empati. Walaupun empati bermakna keupayaan menyelami perasaan dan emosi orang lain, anda perlu faham bahawa terdapat perbezaan ketara antara menunjukkan empati kepada orang tersayang dan membiarkan emosi marah atau sedih orang lain mempengaruhi diri sendiri.

Anda boleh lihat kini dalam media sosial selebriti-selebriti terkenal di mana para pengikut dan netizen bergaduh sesama sendiri walaupun perkara yang berlaku itu tidak ada kena-mengena langsung dalam hidup mereka. Ini membuktikan mereka mempunyai EQ yang amat rendah kerana membiarkan emosi orang lain mempengaruhi cara mereka berfikir malahan tindakan mereka.

3. Tidak kuat mengeluh dan merungut


Apabila seseorang mengeluh, ia membawa dua makna iaitu; pertama, dia merupakan seorang mangsa dan kedua, tiada jalan penyelesaian bagi masalah tersebut.

Orang dengan EQ tinggi tidak akan pernah merasa seperti dijadikan mangsa, apatah lagi merasakan seperti tidak ada jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah. Mereka tidak akan menyalahkan orang lain, sebaliknya mereka akan berfikir secara membina untuk menangani keadaan.

Mereka sedar bahawa rungutan mereka boleh mempengaruhi tindakbalas orang di sekeliling. Jadi, mereka akan mencari cara lain untuk melepaskan emosi seperti bersolat, berdoa, membuat senaman atau beriadah.

4. Tidak kata “ya” pada semua orang, diri sendiri atau setiap situasi


Selain empati, individu dengan jati diri emosi yang kuat mempunyai kawalan diri dan tahap keyakinan yang tinggi. Contoh situasi adalah seperti;

ketika Fitri keluar minum kopi bersama rakan-rakan. Malam sudah larut dan Fitri ingin beransur pulang. Namun, rakan-rakan memujuk supaya Fitri melepak dengan lebih lama. Ada yang menawarkan diri untuk belanja Fitri makan. Walaupun tawaran makanan percuma itu bunyinya sangat menarik, Fitri masih tetap dengan pendiriannya untuk pulang kerana dia perlu bangun awal keesokan paginya.

Fitri tidak kisah dikutuk rakan-rakan kerana dia mempunyai EQ tinggi dan berasa sangat muktamad dengan keputusan yang dibuat. Dia tidak akan sesekali berkata; "mungkin boleh lepak setengah jam lagi kot," ataupun "Mungkin boleh bangun lewat sikit kot."

5. Tidak bergantung pada orang lain untuk berasa gembira dan yakin


Orang yang cerdas emosi kebiasaannya mampu mengurus diri dalam semua aspek kehidupan, termasuklah kepuasan diri dan ketenangan jiwa. Mereka tidak bergantung dengan orang lain untuk memberikan mereka kebahagiaan kerana ia hanya meningkatkan risiko untuk berasa kecewa.

Mereka mengawal emosi dan perasaan sendiri dengan mencari hobi yang digemari, berusaha mencapai kejayaan untuk memuaskan hati sendiri dan menyelami perasaan sendiri untuk mencari kasih sayang serta penerimaan.

6. Tidak terlalu memikirkan masa silam


Individu yang gemar memikirkan kisah silam dan masih tidak boleh move on lebih cenderung untuk mengalami masalah gangguan emosi akibat berasa menyesal dan masih berpegang kepada nostalgia. Ini berlawanan dengan individu ber-EQ tinggi yang hanya mengingati kisah silam sebagai satu penghormatan.

Ya, sudah semestinya mereka masih ingat orang yang pernah disayangi, kesalahan yang pernah dilakukan dan peluang yang mereka lepaskan. Namun, mereka hanya mengambil pengajaran daripada semua yang berlaku dan meneruskan kehidupan dalam masa kini sambil merancang masa hadapan.

7. Tidak bergosip


Sebagaimana individu yang cerdas emosi sedaya-upaya menjauhi drama, begitu jugalah mereka akan jauhi gosip. Mereka sedar bahawa gosip amat berbahaya, tidak mendatangkan apa-apa manfaat dan boleh merosakkan.

Orang dengan EQ yang tinggi lebih gemarkan perbualan yang deep dan bermakna. Mereka tidak akan sesekali menyentuh perkara-perkara remeh yang boleh mencetekkan minda. Bagi mereka, perbuatan ini hanya membuang masa dan tenaga.

      Baca : 15 Tanda Anda Telah Memiliki Isteri Terbaik Buat Anda

ADVERTISEMENT

Kesimpulan


Masyarakat kita rata-ratanya hanya berbangga kerana mempunyai IQ yang tinggi tetapi tidak sedar bahawa tahap EQ masing-masing adalah sangat mengecewakan? Tepuk dada, tanya diri masing-masing. Tiada guna IQ setinggi gunung kalau emosi diri sendiri pun tak pandai nak kawal. Moga kita bersama-sama berubah menjadi individu yang lebih cerdik.

- Daku Amat

Tags : intelligence quotient iq emotional intelligence eq kuat gosip kecerdasan otak jaga tepi kain orang kecerdasan emosi drama sangat pengetahuan sukses motivasi
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: